Kebiasaanya, urutan badan dilakukan menggunakan tangan, tidak kira sama ada urutan tradisional mahupun Thailand. Namun, teknik urutan yang diperkenalkan dari Taiwan ini adalah berbeza dan amat unik.
Teknik urutan yang digunakan semakin meluas dalam kalangan masyarakat Cina, dan dilaporkan terkenal di Pulau Pinang ini menggunakan pisau sebagai salah satu alatan utama urutannya dan dikatakan telah berusia lebih 2000 tahun.
Disapu iodin
Dipercayai wujud daripada sami ketika zaman China kuno, pisau yang digunakan bukanlah sebarang jenis pisau tetapi pisau pemotong daging.
Urutan yang dikenali sebagai dao liao di Taiwan ataupun terapi urutan pisau ini memerlukan iodin sebelum proses rawatan itu dimulakan. Jadi, pisau tersebut akan ditajamkan menggunakan batu asah yang disapu dengan iodin terlebih dahulu.
Kebiasaanya, mereka yang menerima rawatan ini akan ditutup dengan kain terlebih dahulu sebelum pisau yang telah diasah tajam itu digunakan pada tubuh mereka.
Cara urutan ini dijalankan juga adalah menarik kerana terapi ini dilakukan secara berirama di kesuluruhan badan. Tempoh rawatan biasanya boleh berlanjutan sehingga satu jam, bergantung kepada permintaan pelanggan.
Mengembalikan keseimbangan badan
Urutan ini berkait dengan amalan masyarakat Cina yang mementingkan tenaga dalam badan dan dikatakan ia mampu untuk membantu mencari chi positif mereka di samping mampu menyentuh jiwa.
Justeru itu, pisau daging dikatakan adalah sebagai alat konduktif untuk mengalirkan aliran tenaga positif dan negatif masuk serta keluar daripada kulit.
Walaupun kelihatan ganas namun urutan ini mampu untuk merangsang peredaran dan mengembalikan kesimbangan ke tubuh badan.
Malah, ia juga mampu membuang toksin yang terdapat dalam badan dan akan membuatkan mereka yang menerima rawatan ini berasa segar sejurus urutan tersebut habis dilakukan.
Merawat masalah tidur
Terapi urutan ini dipercayai boleh merawat keadaan kronik seperti arthritis dan insomnia. Kebanyakan mereka yang menggunakan rawatan ini mendedahkan bahawa mereka mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam dan selepas menerima urutan terapi pisau ini, masalah mereka dikatakan telah pulih.
Bahkan, urutan ini juga mampu meningkatkan kualiti tidur seseorang. Meskipun ururtan ini kelihatan menyeramkan tetapi ada juga yang mampu untuk tertidur ketika rawatan ini dilakukan kerana keselesaan yang diberi.
Walaupun menggunakan pisau sebagai alat utama urutan namun ianya tidaklah merbahaya atau memuadaratkan malah, memberi banyak kebaikan. Mungkin bagi mereka yang ada keberanian, bolehlah mencuba rawatan ini bagi mendapat kesegaran badan untuk menjalani kehidupan seharian dengan lebih sihat.