Tradisi tatu masyarakat Dayak di Kepulauan Borneo sangat unik, seunik kisah-kisah yang tersembunyi di sebalik setiap satunya.
Masyarakat Dayak di Sarawak mengamalkan kehidupan yang penuh dengan adat dan kepercayaan yang telah bertahan sejak berkurun lamanya. Selain terkenal dengan ruai rumah panjang dan sejarah headhunters (pemburu kepala), mereka juga mempunyai keunikan tradisi mencacah tatu (traditional tattooing) yang dilakukan menggunakan teknik ketukan (hand-tapped tattoo).
Dari kaki ke tangan dan juga seluruh badan, setiap tatu yang dilukis menyimpan kisah-kisah tersendiri.
Bermula dari tatu Bunga Terung
Ukiran tatu yang paling lazim dan pertama kali dicacah pada tubuh kaum lelaki masyarakat Iban adalah Bunga Terung (eggplant flower). Bentuknya menyerupai Bunga Terung, dipadankan dengan ukiran gelung (coil) atau ‘tali nyawa’ membelit di tengah-tengahnya yang menggambarkan simbol kitaran hidup (Circle of Life) si pemakai dari zaman kanak-kanak sehingga mereka menginjak dewasa.
Tatu Bunga Terung ini dicacah pada kedua-dua belah bahagian antara luar lingkaran tulang selangka dan bahu, tempat di mana tali beg biasanya tergalas.
Kanak-kanak lelaki Iban menerima cacahan tatu Bunga Terung seawal usia 16 tahun, menandakan mereka sudah ‘cukup umur’ (coming-of-age) dan bersedia untuk melalui bejalai iaitu suatu pengembaraan di mana mereka pergi melawat rumah panjang komuniti Iban yang lain. Sesuatu bejalai boleh memakan masa berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya.
Tatu Bunga Terung dipercayai mampu memberikan kekuatan kepada si pemakai ketika belajai. Setiap bantuan yang dihulurkan dalam memudahkan hidup komuniti Iban sepanjang bejalai akan dihadiahkan dengan satu ukiran tatu di badan. Mereka dianggap suci (sacred) dan layak diberikan tatu yang sempurna ukirannya. Lebih banyak pencapaian, lebih banyak tatu di badan mereka.
Contoh tatu yang boleh didapati ialah tatu berbentuk ketam, haiwan mistik seperti naga, dan katak di bahagian leher yang dikatakan paling sukar dan menyakitkan.
Apabila mereka akhirnya pulang ke rumah panjang mereka, semua tatu yang ada di badan diibaratkan seperti peta yang telah merekodkan setiap hala tuju yang mereka lalui dan segala pencapaian yang telah mereka kecapi.
Bermacam-macam jenis ukiran tatu yang boleh dicacah di seluruh tubuh, kecuali tatu tegulun (hand tattoo) kerana ia diterhadkan hanya untuk mereka yang telah mengambil nyawa seseorang.
Tatu si pemburu kepala
Dengan campuran unsur-unsur moden, sesiapa sahaja boleh mendapatkan tatu tradisi Iban pada hari ini. Akan tetapi, tatu tegulun hanya dibenarkan untuk diukir pada tangan mereka yang mempunyai pengalaman hidup sebagai seorang pemburu kepala.
Masyarakat Iban percaya bahawa roh seseorang individu akan kekal di kepala (atau tengkorak), oleh sebab itulah mereka mempraktikkan tradisi menyimpan kepala musuh dalam setiap peperangan yang ditempuh supaya kuasa yang ada di kepala mangsa boleh dipindahkan kepada yang menang. Mereka inilah yang digelar sebagai headhunter atau pemburu kepala.
Apabila sekumpulan musuh berjaya ditumpaskan, pemburu kepala dirai dengan ukiran tatu di tangan dan jemari mereka sebagai simbol kejayaan dan keberanian.
Selain tatu tegulun, ada juga bentuk-bentuk tatu lain yang dicacah di seluruh tubuh pahlawan perang (warrior) untuk ‘menjaga’ mereka sepanjang peperangan. Tatu burung enggang dipercayai sebagai utusan Dewa Peperangan (God of War), manakala tatu kala jengking dan naga anjing dibuat untuk melawan penunggu hutan yang jahat.
Tatu wanita menandakan mereka sudah bersedia untuk berkahwin
Tatu juga menjadi penarik golongan wanita, walau tradisi ini sudah semakin dimamah usia. Malah untuk wanita etnik Kayan juga, terdapat beberapa bentuk tatu yang diukir sebagai tanda mereka sudah mencapai status wanita yang boleh dikahwini, juga untuk melindungi mereka daripada roh-roh jahat.
Semakin mereka menginjak usia, jumlah tatu juga bertambah, melingkari paha, betis, sehingga ke jari kaki. Walau bagaimanapun, bahagian badan yang terlindung hanya boleh dicacah tatu oleh mereka yang datang dari keluarga berada kerana bayaran kepada pencacah tatu lebih tinggi. Ia berupa pedang, gong, khinzir, dan juga manik.
Meski setakjub mana pun tradisi mencacah tatu ini, generasi baharu masyarakat Dayak ramai yang memilih untuk tidak bertatu, sementara yang berminat untuk mencacah tatu lebih memilih bentuk yang dipengaruhi elemen-elemen Barat dan bukannya bertujuan untuk meneruskan tradisi turun-temurun mereka.
Sukar untuk mencari pencacah tatu di Sarawak yang masih meneruskan tradisi tatu berteknik ketukan, bahkan yang tinggal sudah pun lanjut usia dan tidak mempunyai pelapis. Pun begitu, jika penduduk Sarawak masih mementingkan keberlangsungan budaya mereka, maka mempertahankan tatu tradisi ini haruslah menjadi suatu kemestian.