Tarian singa, bukan harimau

Tarian singa sinonim dengan sambutan Tahun Baru Cina. Ia dipersembahkan sebagai simbol tuah dan kekayaan bagi masyarakat Cina.

Apabila sambutan Tahun Baru Cina tiba, persembahan tradisional tarian singa adalah antara yang menjadi kemestian di Malaysia dan juga serantau Asia Tenggara. Oleh sebab tarian singa dikatakan membawa tuah (luck) dan kekayaan (fortune), ia mendapat permintaan yang tinggi pada Tahun Baru Cina dan juga sebagai permulaan kepada sesuatu perniagaan.

Rupanya kadangkala disalahertikan sebagai harimau atau naga. Walaupun kisah-kisah tentang singa ini berbeza mengikut penempatan kaum Cina di seluruh negara Cina, singa dalam tarian ini memainkan peranan penting dalam cerita-cerita rakyat dan tradisi mereka.

Sejarah singa di Cina

Tidak sukar untuk meneka bahawa asal-usul tarian singa bermula dari Cina, dan ia telah direkodkan dalam teks manuskrip seawal kurun ke-3 Masihi. Kebanyakan ritual atau tarian masyarakat Cina menggunakan topeng haiwan ketika dipersembahkan, kebiasaannya seperti naga, burung phoenix, dan harimau, sebelum singa mula diperkenal dan menjadi popular.

Singa juga banyak dikaitkan dengan agama Buddha di mana tugu pasangan singa biasanya diletakkan di luar kuil-kuil untuk melindungi kuil-kuil ini daripada semangat roh jahat.

Jenis-jenis singa yang berbeza

Dalam tradisi masyarakat Cina, terdapat dua jenis singa: Northern Lion (Singa Utara) dan Southern Lion (Singa Selatan).

Singa Utara biasanya membuat persembahan menggunakan sepasang singa jantan dan betina. Dengan bulu yang panjang dan tebal di kepala dan badan mereka, tarian Singa Utara umumnya lebih menyeronokkan dan mempunyai sifat semulajadi yang kurang kompetitif.

Singa Selatan (yang biasanya dipersembah di Malaysia) pula berasal dari GuangZhou dan lebih menjadi pilihan di Asia Tenggara. ia dirias dengan bulu yang pendek dan dihias berwarna-warni. Kepala singa dibuat daripada buluh dan aluminum dan dibina secara mekanik supaya mata, mulut, dan matanya boleh bergerak.

Sejarah Singa Selatan berbeza dengan Singa Utara, yang mana ia berasaskan kisah makhluk yang dikenali sebagai “Nian”.

Kisah dongeng Nian

Mengikut cerita-cerita rakyat, makhluk dongeng “Nian” (membawa maksud “Tahun” dalam bahasa Cina) tinggal di pergunungan kampung-kampung. Nian menyerang orang-orang kampung dan menjadikan kanak-kanak sebagai makanan musim sejuk ketika makanan di gunung mula berkurang.

Ilutrasi legenda Nian.
Imej dari: Travel China Guide

Selepas serangan itu, orang-orang kampung mula mencari jalan untuk menghalang Nian daripada menyerang kampung mereka lagi. Demi melindungi diri mereka, orang-orang kampung yakin bahawa Nian takut akan tiga perkara: bunyi yang bising, api, dan warna merah.

Justeru, tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini, di mana masyarakat Cina akan memakai pakaian dan menghias rumah mereka dengan warna merah, serta menyalakan bunga api pada hari Tahun Baru Cina; tujuannya untuk menyelamatkan diri mereka daripada serangan Nian.

Ini juga sebabnya mengapa istilah “Guo Nian” digunakan ketika menyambut Tahun Baru Cina; di mana “Guo” bermaksud mengatasi (overcome) atau melewati (pass) Nian.

Pentingnya mempersembahkan tarian singa

Ketika sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia, kumpulan tarian singa sering mendapat tempahan untuk membuat persembahan di mana-mana kediaman, kedai, dan juga sekolah untuk membawa kegembiraan dan tuah.

Sambil singa-singa menari mengikut rentak simbal dan dram, secara tradisionalnya, singa-singa ini akan mendekati sebiji buah atau sayur (biasanya buah oren atau kubis) dan “makan” buah tersebut.

Buah-buah ini digantung di tempat tinggi, maka singa-singa akan menari ke arahnya, sementara penari di dalam kepala singa harus mencapai dan mengupas buah itu tanpa menghentikan tarian. Perlakuan ini adalah untuk menunjukkan kekayaan.

Selepas itu, singa-singa ini akan menghampiri orang ramai yang akan menghulurkan sampul merah (angpao), sebagai ganjaran untuk persembahan mereka.

Malaysia menjuarai pertandingan tarian singa

Kumpulan tarian singa Malaysia dikenali sebagai antara yang terbaik di dunia, seperti yang dibuktikan Lion Dance Association yang telah pun mengekalkan gelaran tersebut untuk kali ke-11 ketika pertandingan antarabangsa 2018.

Setiap dua tahun, pertandingan tarian Genting World Lion dianggap sebagai pertandingan yang paling dikenali kerana membawa pertandingan tarian singa ke peringkat antarabangsa. Pertandingan ini menjadi tuan rumah kepada kumpulan-kumpulan tarian singa dari seluruh dunia untuk bersaing, seperti AS, Vietnam, dan Hong Kong.

Persembahan tiang tinggi tarian singa.
Imej dari: wenyang.com

Kumpulan-kumpulan ini bersaing dengan pertunjukan seni mempertahankan diri seperti wushu, serta beberapa persembahan akrobatik lagak aksi dan daya kreativiti. Di samping itu, gabungan persembahan tiang tinggi (high pole performances) dan tarian singa juga dicipta dan diperkenal di Malaysia.

Persembahan tarian singa memang sangat bising dengan warna yang terang sebagai hiburan untuk semua lapisan umur dan budaya bersesuaian dengan tujuannya yang sebenar. Apa yang suatu masa dahulu ditakuti kini disambut sebagai satu simbol tuah dan kekayaan bagi masyarakat Cina.

Want More Story From Us?