Tarian Mak Yong Warisan Melayu Sepanjang Zaman

Walaupun telah diharamkan di Kelantan, tarian Mak Yong ini telah mendapat pengiktirafan dunia melalui Karya Agung Warisan Tidak Ketara pada tahun 2005 oleh UNESCO.

Tarian dapat didefinisikan sebagai satu seni tari pergerakkan badan, kaki dan tangan mengikut rentak muzik yang dimainkan. Tarian yang dipersembahkan dari setiap kaum mempunyai asal usul dan tujuan tersendiri.

Dengan kepelbagaian kaum dan budaya di Malaysia, setiap satunya mempunyai keistimewaan dan kisah disebalik sesebuah tarian yang dicipta atau ditarikan. Begitu juga dengan tarian Mak Yong yang berasal daripada negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan.

Kombinasi Nyanyian dan Tarian

Mak Yong atau Makyung merupakan sejenis tarian Melayu tradisional yang berasal dari Patani dan Kelantan. Ia adalah satu jenis seni drama kombinasi nyanyian dan tarian diiringi oleh muzik tradisional Melayu Patani yang tersendiri.

Drama tari ini menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja.

Nama “Mak Yong” ini dikaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun. Ia menjadi persembahan harian dan drama tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah, Perlis serta sejauh Kepulauan Riau di Indonesia.

Ia dipersembahkan bukan sahaja sebagai hiburan tetapi juga sebagai istiadat raja memerintah dan cara perubatan merawat orang sakit. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultanan Kelantan sehingga 1920-an.

Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.

Asal-Usul Mak Yong

Mak Yong diasaskan di kerajaan Patani yang kini merupakan sebahagian daripada Thailand. Usia sebenar Mak Yong tidak dapat dikenalpasti kerana Mak Yong diwarisi secara lisan dalam kalangan penduduk kampung.

Bagaimanapun, fakta mengatakan ia bebas daripada pengaruh-pengaruh luar menunjukkan ia sekurang-kurangnya berusia 800 tahun dan hampir pasti lebih awal lagi. Menurut Hikayat Patani, Mak Yong dibawa ke Kelantan lebih 200 tahun dahulu dan kemudiannya berkembang ke negeri-negeri lain.

Semar selalu berada dalam persembahan wayang kulit di
Jawa dan Sunda

Lagenda biasanya mengaitkan tarian dengan semangat padi yang digelar Mak Hiang namun, ada juga yang mempercayai ia dicipta oleh makhluk digelar Semar. Para sejarawan tidak pasti sama ada Mak Yong berasal dari tradisi rakyat atau teater istana.

Sungguhpun begitu ia ditonton oleh semua lapisan masyarakat untuk menghormati semangat padi, berterima kasih bagi tuaian atau merawat penyakit.

Perkembangan Mak Yong

Pada tahun 1909, Mak Yong dipersembahkan oleh rakyat tanpa dinaungi kerajaan Patani lagi, kerana pada tahun ini Patani dijajah secara mutlak oleh Siam. Mak Yong dijadikan seni hiburan setelah tamat pertunjukan dan sambung pula Joget Longeng bagi mendapat kutipan yang lumayan kepada anak buahnya dan juga Mak Yong sebagai pertunjukan pelepas angin kepada seseorang (buat ubat).

Alat Muzik yang sering dimainkan ketika persembahan tarian Mak Yong

Alat muzik yang utama dalam persembahan Mak Yong ialah Rebab, dua biji Gendang ibu & anak dan dua biji Gong ibu & anak manakala Biola (Juala) untuk mengiringi joget. Setiap satu selak cerita mampu dipersembahkan hingga 3 jam beberapa malam untuk ditamatkan sesebuah cerita yang panjang.

Kebanyakan peranan dilakonkan oleh wanita dan Tok Peghe (hamba rakyat) sahaja lelaki ceritanya berasaskan cerita rakyat. Mak Yong dibawah naungan istana sehingga 1920 di mana ia sering dipertontonkan dikalangan orang kenamaan dan pertunjukan istiadat kerajaan Melayu Patani kepada khalayak ramai.

Pengkitirafan Dunia

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu “Mengadap Rebab” diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Penari yang terlibat dalam pementasan seni tari Mak Yong akan menggunakan perhiasan pakaian yang cantik dan boleh membuatkan penonton terpersona melihat kejelitan penari – penari serta kehalusan seni tari yang dipersembahkan.

Disebabkan elemen yang digunakan dalam seni tari Mak Yong sering dikaitkan dengan unsur – unsur pemujaan dan dilihat memesongkan akidah serta melanggar syariat, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengharamkan seni persembahan ini di Kelantan pada 1991.

Walau bagaimanapun, Mak Yong terus mendapat pengiktirafan di persada dunia apabila Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) mengiktirafkan Mak Yong sebagai salah satu Karya Agung Warisan Tidak Ketara (Intangible Cultural Heritage) dari Malaysia pada tahun 2005.

Seni persembahan Mak Yong membuat kemunculan semula pada tahun 2019 selepas hampir 30 tahun ia diharamkan. Namun, perubahan dibuat bagi memastikan ia patuh syariah yang dikehendaki kerajaan Kelantan.

Elemen tradisional persembahan masih melibatkan watak, alat muzik serta pakaian namun persembahan tidak lagi melibatkan wanita dan pengubahsuaian dialog dilakukan. Pengubahsuaian ini turut menjadikan Mak Yong sebagai salah satu tarikan baru kesenian di Kelantan selain dikir barat dan wayang kulit.

Want More Story From Us?