Tarian Igal-Igal, Selit wang di jari penari

Masyarakat Sabah yang mempunyai pelbagai bangsa dan budaya merupakan aset penting yang patut dibanggakan kerana menjadikan masyarakat mereka unik dan penuh dengan warna warni kehidupan.

Dengan penduduk yang berbilang kaum dan agama, bukan sesuatu yang luar biasa bagi masyarakat Sabah untuk mempunyai lebih kurang 80 jenis tarian yang merupakan identiti bagi setiap suku kaum.

Meskipun masih ada masyarakat Sabah yang mempraktikkan budaya mereka dalam kehidupan seharian dan menjadikan banyak tarian masih popular namun ada juga tarian yang semakin dilupakan akibat peredaran zaman.

Antara tarian Sabah yang masih popular  ialah tarian igal-igal yang merupakan tarian tradisional yang terkenal di daerah Semporna khususnya dikalangan suku kaum Bajau dan Tausug atau Suluk.

Simbolik helang laut

Orang Bajau dikenali sebagai golongan “gipsi laut” manakala  orang Tausug pula sebagai “orang arus” dimana ‘tau’ bermaksud orang dan ‘sug’ bermaksud arus laut. Oleh itu, tarian igal-igal ini terkenal dalam kalangan suku kaum Bajau dan Tausug kerana demografik mereka yang hidup berdekatan dengan laut.

Tarian igal-igal ini turut dikenali sebagai tarian helang laut dan perkataan ‘igal’ itu juga berasal daripada perkataan Inggeris, eagle yang bermaksud helang. Masyarakat Semporna juga dikatakan menyelit simbolik helang dalam tarian ini kerana  mereka  menghormati haiwan tersebut.

Justeru, gerak tari tarian unik ini dilihat memasukkan unsur-unsur angin bertiup dan ombak serta mengikut gerakan helang.

Tarian igal-igal ini boleh dipersembahkan secara berkumpulan, berpasangan atau bersendirian. Kebiasaannya, tarian ini akan diiringi dengan muzik tradisional dan juga dua orang penyanyi yang akan berlawan pantun secara spontan.

Muzik dan pakaian

Alunan muzik tradisional untuk tarian ini selalunya menggunakan alat muzik tradisional seperti kulintangan, gong , tagungguk, tambur. Namun begitu, ada juga yang diiringi dengan alat muzik yang lebih moden  seperti keyboard atau organ.

Bukan itu sahaja, terdapat juga segelintir  pemuzik yang  mengharmonikan irama tradisional Bajau dan Tausug dengan lagu kontemporari seperti lagu Hindustan dan Indonesia.

Pakaian rasmi untuk tarian igal-igal ini akan dihias dengan manik-manik yang berkilauan, tanjak dan sampin bagi kaum lelaki. Tanjak dan “salung” atau sarung kuku panjang yang bentuknya meliuk untuk menonjolkan lagi gemalai tarian itu bagi kaum wanita.

Tarian igal-igal ini akan dipersembahkan setiap tahun pada bulan April semasa pesta Regatta Lepa atau Pesta Sambulayang. Masyarakat Bajau juga akan mempamerkan ukiran lepa atau perahu yang dihiasi dengan layar berwarna-warni yang dipanggil sambulayang.

Semasa pesta ini, orang bajau di atas lepa akan memainkan muzik tradisional dan menari tarian igal-igal.

Tarian igal-igal di majlis perkahwinan

Selain Regatta Lepa, tarian igal-igal ini turut dipersembahkan semasa majlis perkahwinan.  Tetamu  akan menari atau “mengalai” di hadapan pengantin di pelamin.

Adat turun-temurun ini akan menyatukan tetamu yang hadir apabila mereka semua beramai-ramai menepuk tangan sambil penari mengikuti rentak muzik yang dimainkan. Adakalanya, pengantin itu sendiri akan mengalai bersama.

 Tetamu  akan ke hadapan dan menyelit “sabod” atau wang di jari penari ketika mereka sedang menari sebagai tanda hormat dan berterima kasih atas hiburan penari.

Penari-penari boleh mendapat sabod sebanyak RM200 dan ke atas bergantung kepada tetamu-tetamu yang hadir. Sabod ini tidak wajib untuk diberi dan boleh diberi mengikut kehendak dankemampuan masing-masing.

Bagi masyarakat Semporna, sudah menjadi satu kebiasaan untuk mengalai sewaktu majlis perkahwinan kerana tarian ini sudah menjadi satu adat yang diwaris turun-temurun. Diharap, tradisi ini dapat dikekalkan walaupun arus pemodenan di Sabah semakin mengembang.

Klik di sini untuk video tarian igal-igal.

Want More Story From Us?