Sumpahan Ikan Kekacang

Alahan pada sesuatu makanan sering kali dikaitkan dengan masalah kekurangan enzim dalam badan, sama ada ianya merupakan alahan genetik ataupun sebaliknya.

Tetapi ada juga yang disebabkan oleh pantang larang ataupun sumpahan yang dibuat oleh moyang mereka terdahulu, yang mana telah melarang keturunannya daripada memakan suatu makanan itu.

Segelintir orang Kelantan dikatakan tidak boleh makan ikan kekacang atau barracuda fish oleh kerana pantang larang moyang mereka terdahulu. Sekiranya mereka melanggar pantang larang ini, kulit badan akan luka dan juga gelembung darah akan memenuhi badan. Tetapi, kebanyakan orang yang terkena sumpahan ikan kekacang ini ialah mereka yang namanya bermula dengan Nik dan Wan.

Disebabkan ribut petir

Pantang larang memakan ikan kekacang ini bermula sekitar tahun 1300 Masihi, yang mana seorang ulama dari keturunan Hussein Ibni Ali, cucu Nabi Muhammad S.A.W telah berlayar ke Nusantara dengan tujuan menyebarkan dakwah Islamiyah ke Nusantara. Nama ulama itu ialah Syed Hussein Jamadil Al-Kubra, anak kepada Sheikh Ahmed Jalal dan menetap di India pada. Namun beliau meninggalkan ahli keluarganya bagi menyebarkan syiar Islam.

Semasa pelayaran ke Nusantara, tiba-tiba berlaku ribut petir dan laut bergelora, yang dikatakan telah menenggelamkan kapal yang dinaiki. Ujian Allah sangat berat sehingga Syed Hussein Jamadil Kubra hampir berputus asa.

Namun beliau tidak henti-henti berdoa dan meletakkan keyakinan yang tinggi terhadap pertolongan daripada Allah S.W.T. Beliau juga bernazar akan membina masjid sekiranya terselamat daripada ujian ini.

Berkat kesabaran dan doa Syed Hussein yang tiada henti, Allah S.W.T telah menghantarkan pertolongan kepada beliau.

Diselamatkan oleh ikan kekacang

Kehadiran sekawan ikan kekacang yang muncul secara tiba-tiba, telah memberi pertolongan kepada Syed Hussein dengan menutup lubang-lubang pada kapal ulama itu dengan badan mereka, yang mana menjadi antara punca kapalnya hampir karam.

Bukan itu sahaja, sekawan lagi ikan kekacang kemudian hadir dan berkumpul di bawah kapal Syed Hussein lalu menolak kapalnya ke daratan, menyebabkan beliau akhirnya selamat tiba di Kampung Laut yang berada di daerah Tumpat, Kelantan.

Keajaiban dan kekusaan Allah yang dialami oleh Syed Hussein Jamadil Kubra itu telah menyebabkan beliau bersumpah serta melarang keturunannya daripada memakan ikan kekacang. Sekiranya ada diantara keturunannya didapati memakan spesies ikan kekacang tersebut, maka akan mudaratlah kesihatan si pemakan itu.

Susulan kejadian tersebut, Syed Hussein Jamadil Kubra membuat keputusan untuk tinggal di negeri Kelantan dan membina sebuah masjid di Kampung Laut berikutan nazar yang telah dilafazkan oleh beliau ketika berdoa di kapal tempoh hari.

Sebab Nik dan Wan

Larangan memakan ikan kekacang ini kebanyakannya kepada mereka yang mempunyai Nik dan Wan pada awal nama mereka adalah kerana mereka dikatakan ada kaitan dengan Syed Hussein Jamadil Kubra.

Negeri Kelantan dahulunya telah menerima kedatangan dua orang Wali daripada keturunan Ahlul-Bait, iaitu Syed Hussein Jamadil Kubra dan Shaikh Tanauddin. Dengan adanya keturunan ini, lahirla Wali Songo atau Wali 9 dan juga keturunan Nik dan Wan di negeri Kelantan dan seluruh Asia Tenggara. Keturunan Nik dan Wan ini juga merupakan pengasas kepada kesultanan Melayu di Nusantara termasuklah Brunei dan Selatan Filipina.

Larangan memakan ikan kekacang ini bukanlah sumpahan namun lebih kepada penghargaan Syed Hussein Jamadil Kubra terhadap makhluk Allah itu. Jadi ingatlah bahawa setiap yang terjadi itu adalah di atas keizinan Allah.

Want More Story From Us?