Sambutan Maulidur Rasul: Memperingati Baginda Rasulullah SAW

Tahun ini pada 28 Oktober di Malaysia menandakan bahawa umat Islam di negara ini akan menyambut hari kelahiran baginda Rasulullah SAW.

Namun, Maulidur Rasul bukan sahaja hari keputeraan baginda Rasulullah tetapi untuk memperingati usaha baginda dalam menyebarkan Islam.

Irhas

Terdapat beberapa peristiwa penting sebelum dan selepas kelahiran baginda Rasulullah SAW.

Peristiwa luar biasa ini dirujuk sebagai Irhas iaitu satu perkara luar biasa kepada manusia normal dan hanya diberikan kepada bakal nabi.

Irhas ini ada tiga kategori iaitu irhas yang telah dinyatakan dalam kitab dan tidak boleh diubah, tanda-tanda kerasulan yang dibuktikan menerusi perkhabaran orang alim melalui iham dan sebagainya serta kejadian luar biasa yang berlaku sewaktu kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

Sejak dalam kandungan

Tanda-tanda kerasulan baginda boleh dilihat semasa baginda di dalam kandungan ibunya lagi iaitu Siti Aminah. Aminah mengetahui tentang kandungannya juga melalui malaikat bahawa beliau telah mengandungkan seorang Nabi dan Penghulu kepada seluruh umat manusia.

Allah SWT turut memerintah malaikat supaya membuka pintu syurga Firdaus ketika Nur Muhammad milik baginda masuk ke dalam Rahim Aminah. Ketika itu, seluruh haiwan serta tumbuhan mengetahui akan kelahiran baginda.

Tentera bergajah

Malah, seperti yang telah disebutkan dalam Al-Quran, surah Al-Fil, tentera bergajah datang untuk menyerang kota Mekah. Tentera bergajah itu diketuai oleh seorang yang menaiki gajah besar bernama Mahmudi.

Apabila mereka hampir tiba ke kota Mekah, dikatakan gajah-gajah itu berhenti dan berundur dengan izin Allah. Walaubagaimanapun, seperti yang telah dinyatakan dalam kitab suci Al-Quran, sekumpulan burung Ababil telah datang menyerang dan menghancurkan tentera-tentera bergajah itu.

Kelahiran seorang Rasul teragung

Semasa kelahiran Nabi Muhammad S.A.W, ibu baginda, Aminah menyaksikan nur cahaya keluar daripada tubuh baginda. Cahaya tersebut dikatakan mampu menyinari sehingga ke Istana Bursa di Syria. Ada juga yang berkata cahaya tersebut mampu menerangi seluruh dunia.

Dikatakan pada malam kelahiran baginda juga, berhala-berhala yang terdapat di kawasan tersebut mengalami kerosakan dan kemusnahan.

Menurut riwayat datuk Nabi Muhammad S.A.W, Abdul Mutalib : “Ketika aku sedang berada di Kaabah, tiba-tiba berhala jatuh dari tempatnya dan sujud kepada Allah. Lalu aku mendengar suara dari dinding Kaabah berkata, telah lahir nabi pilihan yang akan membinasakan orang kafir dan mensucikanku daripada berhala-berhala ini dan akan memerintahkan penyembahan Yang Maha Mengetahui.”

Api di negara Parsi yang tidak pernah terpadam selama beribu tahun dan menjadi kepercayaan masyarakat Parsi telah terpadam ketika baginda di lahirkan.

Tasik Sava juga tenggelam ke dalam tanah dan ladang-ladang ibu susuan baginda Halimatus Sa’adiah turut kembali menghijau sejurus baginda dilahirkan.

Dibelah dadanya

Ketika berusia empat tahun baginda telah didatangi malaikat Jibrail dan Mikhail dan membelah dada baginda serta mengeluarkan segumpal darah. Darah tersebut telah dicuci dengan salji.

Ada juga yang berpendapat darah itu dicuci di dalam bejana emas dengan air zam-zam lalu diletakkan semula di tempatnya. Perkara ini jelas diterangkan di dalam surah Insyirah.

Muliakan kekasih Allah

Meskipun sambutan Maulidur ini hukumnya tidak wajib namun, sambutan ini amat digalakkan kerana mengajak umat Islam untuk memuliakan baginda Rasulullah.

Sambutan Maulidur Rasul juga tidak salah jika disambut dengan meriah seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha malah digalakkan untuk disambut dengan meriah kerana umat Islam juga akan mendapat pahala apabila mengadakan sambutan itu

Umat Islam menyambut hari keputeraan baginda Rasulullah seolah-seolah baginda masih hidup dan ini bermakna ajaran baginda itu berjalan sehingga hari khiamat.

Selain itu,sambutan Maulidur Rasul ini turut menunjukkan rasa cinta umat Islam terhadap baginda Rasulullah dan diibaratkan menjaga pusaka baginda Rasulullah iaitu Al-Quran dan hadis.

Medium dakwah

Sambutan Maulidur Rasul ini juga boleh dijadikan sebagai medium dakwah dalam menyampaikan ajaran yang dibawa oleh baginda dan memperingati perjuangannya dalam menyebarkan ajaran Islam.

Penganjuran ceramah, qiamullai dan perarakan yang akan diadakan secara besar-besaran, secara tidak langsung akan menjadi medium dakwah dalam menyebarkan ajaran baginda dan juga Islam.

Sambutan ini wajar dilakukan bagi memperingati segalan ajaran baginda yang kini dilihat semakin pudar dalam kalangan masyarakat.

Jadi, bagi tidak mensia-siakan fadilat sambutan Maulidur Rasul ini, diharapkan semua umat Islam dapat menghayati dan sama-sama beramal ajaran baginda. Akhir kata, selamat menyambut Maulidur Rasul.

Want More Story From Us?