Setiap negeri mempunyai makanan tradisionalnya sendiri yang unik dan istimewa. Makanan tradisional begitu dekat dengan jiwa rakyat kerana makanan tradisional mampu mengamit seribu kenangan.
Bagi rakyat negeri Pahang, sambal hitam belimbing buluh ini merupakan salah satu makanan tradisi yang semakin popular, bukan sahaja dalam kalangan rakyat negeri itu sendiri malah, untuk rakyat negeri lain juga.
Asal usul
Sambal hitam ini merupakan pembuka selera yang sangat terkenal di Pahang dan sambal ini memang sukar untuk dapat di negeri lain. Kebiasaannya, sambal ini ditemui di Jerantut, Raub dan Kuala Lipis, menyebabkan ramai pengunjung luar datang ke daerah tersebut untuk merasai keenakan sambal ini.
Oleh itu, sambal hitam yang telah diwarisi sejak turun temurun ini membuatkan makanan tradisi negeri Pahang itu menjadi salah satu identiti buat daerah tersebut. Bukan itu sahaja, sambal ini juga terkenal oleh kerana proses pembuatannya yang unik.
Cara memproses
Untuk menyediakan sambal hitam warisan Pahang ini bukanlah mudah, malah ia memakan masa yang agak lama untuk disiapkan. Bahan utama sambal ini merupakan belimbing buluh yang telah direbus bersama garam dalam masa yang lama sehingga belimbing tersebut kecut dan berwarna coklat.
Cili, bawang dan ikan bilis juga diperlukan, di samping menjadi bahan penyedap buat sambal ini. Kesemua bahan tersebut bakal dicampur dan dimasak sehingga sambal itu menjadi kehitaman. Oleh sebab itu ianya digelarkan sambal hitam.
Keunikan rasa
Dikatakan tempoh yang diperlukan untuk memastikan sambal hitam ini betul-betul masak dan dapat disimpan dalam tempoh yang lama adalah dalam dua sehingga tiga jam. Keunikkan rasa yang masam, pedas dan manis membuatkan sambal ini sentiasa dijadikan pilihan sebagai pelengkap makanan.
Sambal ini amat sesuai di makan dengan apa-apa juadah terutama sekali nasi putih. Kalau dipadankan dengan nasi putih panas-panas sememangnya sedap, bak kata orang Pahang “sedap aokme weh”.
Dengan kewujudan pelbagai platform sosial media, sambal ini boleh didapatkan dengan senang dan tidak perlu lagi ke daerah kelahiran sambal hitam itu untuk mendapatinya. Mungkin oleh kerana proses pembuatannya yang lama dan agak rumit, sambal ini dijual dengan harga yang agak mahal di pasaran tetapi jangan risau, harga itu berbaloi dengan rasanya yang enak!