Ramadan 2020: tanpa bazar dan Tarawih di masjid

Jika tahun-tahun sebelumnya suasana di mana-mana sahaja sentiasa meriah dengan bazar, solat Tarawih berjemaah, dan budaya moreh ketika bulan Ramadan, tahun ini Muslim di Malaysia melalui pengalaman yang jauh berbeza.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, bukan Ramadanlah namanya kalau tiada Bazar Ramadan yang boleh dikunjungi setiap petang untuk mencari juadah berbuka puasa, sementara sebelah malamnya pula diisi dengan solat Tarawih berjemaah di masjid-masjid dan surau-surau.

Tetapi memandangkan negara kini masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semuanya telah berubah. Tiada lagi bazar, semua masjid dan surau ditutup, dan tradisi pulang ke kampung menjelang Aidilfitri sama sekali tidak dibenarkan.

Secara tidak langsung, rakyat Malaysia telah pun mengadaptasi diri mereka dengan norma baharu ini.

Bazar Ramadan beralih dalam talian

Walaupun para peniaga tidak lagi dibenarkan berniaga di tapak jualan Bazar Ramadan, itu tidak bermakna mereka harus berhenti mencari rezeki di bulan yang mulia ini. Dengan adanya perkhidmatan Bazar Ramadan atas talian (e-Bazar) atau Bazar Ramadan digital, para penjual yang biasanya mengaut keuntungan yang tinggi ketika Ramadan masih dapat berniaga.

Antara platform yang digunakan ialah Facebook, Instagram, dan penyebaran iklan makanan melalui aplikasi WhatsApp. Pada awalnya, ramai yang bersedih kerana tidak dapat lagi melihat dan menghidu sendiri kelazatan makanan yang dijual, namun mereka mula menyambut baik setelah bazar-bazar ini mula beroperasi sepenuhnya.

Kemeriahan yang biasanya mengiringi bazar tidak dapat lagi dirasai, tetapi orang ramai masih berpeluang memilih juadah melalui paparan skrin dan hanya perlu menunggu sehingga penghantar makanan tiba di depan pintu rumah. Dengan cara ini, keselamatan diri sesama penjual, pembeli, dan penghantar lebih terjaga.

Kemeriahan warna-warni kuih-muih yang tidak dapat dilihat pada Ramadan tahun ini.
Imej dari: Malaysia.travel

Di samping itu, perkhidmatan e-Bazar ini juga memberi peluang kepada peniaga-peniaga busana hari raya untuk berniaga, seperti baju kurung dan baju Melayu, kasut, koleksi tudung, serta barangan elektronik.

Tarawih di rumah bersama keluarga

Sebelum ini, solat Jumaat telah dibatalkan di seluruh negara. Apabila Ramadan tiba, keputusan yang sama dibuat untuk solat Tarawih. Memandangkan solat Tarawih ialah solat sunat Muakkad, iaitu solat sunat yang sangat digalakkan dalam Islam kerana ia menjadi amalan Rasullah swt, Muslim di Malaysia boleh melakukan ibadah ini di rumah bersama keluarga mengikut garis panduan yang diberikan JAKIM.

Berita yang pada awalnya disambut dengan hati yang berat bertukar menjadi satu pengalaman luar biasa apabila orang ramai dapat berkumpul dan bersolat bersama ahli keluarga masing-masing. Bagi mereka yang jarang atau tidak pernah sesekali mendirikan solat berjemaah bersama keluarga sendiri, sudah tentu ini akan menjadi kenangan yang sangat berharga.

Selain itu, para isteri juga meluahkan rasa teruja untuk solat Tarawih berimamkan suami tercinta, dan anak-anak yang akan berimamkan ayah tersayang. Dari pihak para suami pula, ada yang teruja, dan ada juga yang bimbang akan kelancaran bacaan surah-surah ketika solat.

Pun begitu, norma baharu ini tentunya akan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dalam menghadapi pandemik COVID-19.

Tiada lagi tradisi balik kampung?

Sudah menjadi kewajipan untuk warga kota meredah lebuhraya yang sesak untuk pulang ke kampung beberapa hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. Tetapi dengan larangan rentas negeri yang diumumkan pihak kerajaan, barangkali tradisi ini tidak dapat lagi diteruskan.

Kesedihan berjauhan dari keluarga pada pagi Syawal pastinya akan terasa, tetapi jika ini yang perlu dilakukan untuk memastikan negara bebas COVID-19, ia adalah tanggungjawab semua untuk patuh.

Tidak dapat beraya bersama ibu bapa di pagi raya, tidak mengapa, asalkan mereka selamat dan terlindung daripada bahaya wabak COVID-19.

Want More Story From Us?