Pernikahan antara roh

Ghost marriage atau ‘perkahwinan hantu’ wujud dalam kalangan masyarakat Cina, dan ia dipraktikkan supaya roh orang yang telah meninggal dunia tidak keseorangan dalam kehidupan akhirat.

Setiap kaum di Malaysia mempunyai budaya yang unik dan tersendiri. Bagi masyarakat Cina, terdapat satu tradisi perkahwinan yang berusia lebih 3,000 tahun lamanya dan tidak mustahil masih dipraktikkan sehingga ke hari ini.

‘Perkahwinan hantu’ (ghost marriage) ialah upacara pernikahan yang melibatkan pasangan pengantin yang telah meninggal dunia, sama ada salah seorang atau kedua-duanya sekali.

Rekod pertama ditemui ketika pemerintahan Dinasti Han

Tradisi ghost marriage ini dipercayai berasal dari zaman pemerintahan Dinasti Qin (221 – 206 sebelum masihi), tetapi bukti pertama upacara ini dijalankan ditemui ketika zaman pemerintahan Dinasti Han (206 sebelum masihi – 220 masihi).

Bermula dari negara Cina, tradisi ini mula tersebar ke negara-negara lain seperti Hong Kong dan Taiwan, juga di mana-mana sahaja tempat masyarakat berbangsa Cina membina penempatan mereka termasuklah Asia Tenggara.

Kepercayaan kepada kehidupan akhirat menjadi pendorong utama

Terdapat beberapa sebab kenapa tradisi ini dipraktikkan, tetapi asasnya bergantung kepada kepercayaan kepada kehidupan akhirat (afterlife/ underworld) yang wujud dalam kalangan masyarakat Cina, terutama sekali mereka yang masih mengamalkan cara hidup tradisional.

Apabila seorang lelaki meninggal dunia tanpa sempat mendirikan rumah tangga, ia menjadi kewajipan keluarga untuk mencarikan seorang ‘pengantin mayat’ (ghost bride) untuk dikahwinkan dengannya. Tujuannya ialah supaya rohnya yang berada di kehidupan akhirat tidak akan keseorangan.

Mereka juga percaya bahawa sekiranya lelaki yang meninggal dunia ini tidak dikahwinkan, rohnya akan terus menghantui keluarganya serta membawa nasib malang.

Budaya mengutamakan anak lelaki yang lebih tua

Antara budaya masyarakat Cina tradisional yang lain ialah mengutamakan anak lelaki, oleh itu sekiranya seorang anak lelaki menyatakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga tetapi abangnya telah meninggal dunia tanpa sempat berkahwin, orang tuanya boleh mencarikan pengantin perempuan untuk dikahwinkan dengan si abang.

Selepas upacara ghost marriage itu selesai, barulah si adik dibenarkan berkahwin.

Pengantin perempuan memerlukan nama keluarga pengantin lelaki

Bagi pihak perempuan pula, ghost marriage boleh memastikan mereka tidak akan mengembara sendirian di kehidupan akhirat, di samping memastikan nama keluarga suami akan menjadi pembimbing mereka di sana.

Namun di sebalik tradisi usang ini, timbul juga isu-isu lain terutama sekali dengan penglibatan aktiviti-aktiviti jenayah. Kerajaan Cina melarang tradisi ghost marriage pada tahun 1949 dan mengharamkan perdagangan mayat pada tahun 2006, tetapi ia masih diteruskan di kawasan-kawasan terpencil.

Misalnya pada 2017, 27 mayat perempuan dilaporkan dicuri dari tanah perkuburan sejak 2013 di wilayah Shanxi untuk dijadikan pengantin mayat dalam upacara ghost marriage. Aktiviti pemerdagangan mayat juga ada dilaporkan, selain pembunuhan wanita yang kemudiannya dijual kepada keluarga yang mencari pengantin mayat untuk anak lelaki mereka.

Tradisi ghost marriage kekal hidup

Drama siri The Ghost Bride yang baru-baru ini ditayangkan di Netflix membawa serpihan kisah ghost marriage ke skrin, secara tidak langsung menunjukkan bahawa tradisi ini turut sama dipraktikkan di Malaysia sejak lama dahulu.

Mungkin ia tidak lagi diamalkan secara terbuka di kawasan-kawasan bandar yang lebih membawa imej moden, tetapi bagi mereka yang masih menekankan ciri-ciri budaya tradisional masyarakat Cina, tidak mustahil untuk tradisi ghost marriage terus kekal hidup.

Want More Story From Us?