Perkahwinan Masyrakat India Yang Unik

Setiap masyarakat dan kaum mempunyai adat perkahwinan mereka tersendiri mengikut suku kaum masyarakat tersebut. Maka, tidak hairanlah jika masyarakat India pun mempunyai adat perkahwinan yang cukup unik dan berlainan daripada kaum lain.

Meskipun proses perkahwinan kaum India hampir serupa dari segi adat dan budaya masyarakat Melayu namun, kedua-dua kaum tersebut tetap mempunyai perbezaan yang membuatkan budaya masing-masing unik.

Masyarakat India juga mempunyai suku kaum yang tersendiri dan setiap kaum mempunyai proses perkahwinan yang sedikit berbeza tetapi perbezaan itu tidaklah terlalu ketara.

Perkahwinan dalam masyarakat India turut mempunyai pelbagai peringkat sebelum pasangan pengantin itu mempunyai ikatan yang sah dengan pasangan mereka.

Menilai kesesuaian pasangan untuk anak

Peringkat pertama sebelum pasangan akan berkahwin adalah untuk melalui proses merisik. Merisik bukan sahaja terdapat dalam adat masyarakat Melayu tetapi juga terdapat dalam adat masyarakat India.Tujuan merisik adalah untuk melihat atau ‘meninjau’ keadaan bakal pengantin idaman si teruna dan dara.

Merisik ini kebiasaanya dilakukan oleh pihak pengantin lelaki, yang mana ibubapa pihak lelaki akan menilai samada seseorang itu sesuai atau tidak untuk dijadikan pasangan hidup anak mereka. Masa untuk bertandang ke rumah pihak perempuan juga dirahsiakan tetapi ada juga yang tidak merahsiakannya.

Merisik ini juga mempunyai peringkat dan dalam peringkat tersebut, beberapa aspek yang perlu diberi tumpuan ialah faktor etnik, ekonomi, status sosial dan juga aspek umum seperti tahap pendidikan, jenis pekerjaan dan lain-lain.

Menilai tahap keserasian

Selepas melepasi adat merisik, bakal pengantin lelaki akan mengunjungi rumah bakal pengantin perempuan untuk melihat wajah calon isterinya bagi menilai tahap kesesuaian mereka bersama.

Adat penyesuaian bakal pengantin ini dikenali sebagai Thirumanam Poruttam Paartal  akan dijalankan terlebih dahulu oleh kerana dalam ajaran Hindu, tidak ada konsep penceraian. Terdapat  21 aspek yang diambil kira untuk menetukan kesesuian pasangan bakal pengatin dengan cara tilikan dimanak hindu.

Antara tilikan yang masih diamalkan adalah Tina poruttam/Natcattira poruttam, Kana poruttam, Mahentira poruttam, Pentiikka poruttam, Yooni poruttam, Raasi poruttam, Raasiyaati paati poruttam, Vaiya poruttam, Racau poruttam dan Veetai poruttam.

Ikat Janji (Niccayam)

Prosedur ini dilakukan selepas mendapat persetujuan kedua-dua belah pihak dan wakil lelaki akan datang ke rumah pihak perempuan dalam jumlah bilangan ganjil dengan membawa beberapa barangan seperti kelapa, sirih pinang dan lain-lain.

Bakal pengantin lelaki akan melafazkan ikat janji bagi meyatakan persetujuannya untuk berkahwin dengan pengantin perempuan dan perkahwinan akan diumumkan kepada orang ramai.

Kedua-dua pengantin juga akan menukar sirih pinang sebagai tanda ikatan. Setelah berbincang mengenai hari perkahwinan dan belanja untuk penggantin perempuan, kad jemputan dan sebagainya, upacara niccayam akan dilakukan, secara lazimnya akan dijalankan dengan bertukar-tukar kalungan bunga.

Seperti majlis pertunangan

Dalam masyarakat India juga, mereka mempunyai sebuah majlis yang diumpamakan seperti majlis pertunangan dalam masyarakat Melayu, yang digelar sebagai parisam. Adat parisam ini terbahagi kepada dua iaitu parisam biasa dan udan parisam.

Parisam biasa adalah pemberian hadiah yang dijalankan lebih awal daripada hari perkahwinan manakala udan parisan pula dilakukan pada hari yang sama dengan majlis perkahwinan tetapi pada waktu pagi.

Sebelum hari perkahwinan

Sebelum berlangsungnya hari perkahwinan, terdapat beberapa perkara penting yang perlu dijalankan terlebih dahulu seperti penyediaan Thaali dan Mukuurtta Kaal.

Penyediaan Thaali ini adalah penting kerana ia merupakan lambang suci perkahwinan kedua-dua penggantin yang dikalungkan pada leher mereka. Pada Thaali itu akan diikat dengan segumpal benang putih yang disapu dengan kunyit.

Terdapat banyak jenis Thaili seperti lingath thaali, pottut thaali, tennant thaali dan sebagainya oleh kerana kepelbagaian suku dalam kalangan masyarakat India.

Adat penyediaan Thaali ini akan dilakukan tujuh atau sembilan hari lebih awal sebelum perkahwinan di mana pihak lelaki akan membawa emas, cendana, Kumkum, sirih pinang, kelapa dan bayaran upah untuk pembuat Thaali.

Manakala adat mukuurtta kaal ini pula dilakukan sebagai menandakan perkahwinan akan dilangsungkan di rumah tersebut. Adat ini dilakukan lima hari sebelum hari pekahwinan dilangsungkan dan ianya diadakan pada hari yang baik mengikut firasat masyarakat India.

Upacara Perkahwinan

Perkahwinan masyarakat India turut dikenali sebagai thirumanan, yang membawa maksud penyatuan atau ikatan suci melalui perkahwinan antara pasangan suami isteri agar kekal hingga ke akhir hayat.

Namun begitu, terdapat tiga jenis perkahwinan dalam masyarakat India iaitu, Vaitikat Thairumanam, Tamil Thairumanam dan Diya Thairumanam di mana perkahwinan ini dijalankan adalah berlandaskan aspek suku kaum itu sendiri.

Majlis perkahwinan juga dimulakan dengan upacara niccayam dengan memberi hadiah seperti pakaian dan lain-lain. Kad undangan juga turut disapu dengan air kunyit serta dibawa ke kuil dalam jumlah ganjil sebagai tanda rasmi udangan ke perkahwinan.

Upacara Kanggenam iaitu menanam sebatang pokok yang lurus serta disapu dengan serbuk kunyit tiga hari sebelum hari perkahwinan dilangsungkan dan pengantin lelaki juga tidak dibenarkan keluar selama tiga hari sebelum hari perkahwinan.

Upacara perkahwinan dilakukan oleh Pedanda yang berdoa supaya pengantin hidup bahagia sehingga hari tua. Pedanda akan menabur sembilan jenis bijirin setelah selesai acara menyarung cincin.

Kepelbagaian budaya dan adat yang terdapat di Malaysia inilah, yang membuatkan negara ini berbeza dan istimewa berbanding negara-negara lain.

Oleh demikian, rakyat sepatutnya berbangga dengan kepelbagaian budaya dan adat ini serta terus memiliharanya agar keharmoniannya terus terbela.

Want More Story From Us?