Perayaan Kuih Bulan, Dewi Bulan dan Pemberontakan

Pada malam bulan mengambang penuh dan menerangi kegelapan di bumi, ahli keluarga masyarakat Cina akan berkumpul untuk meraikan salah satu perayaan yang penting buat mereka selain Tahun Baru Cina.

Jika dilihat sekarang, rata-rata sedang mempromosikan sejenis kuih yang digelar sebagai kuih bulan. Apabila kuih-kuih bulan ini mula berada di pasaran, bermakna Perayaan Kuih Bulan atau Perayaan Pertengahan Musim Luruh (Mid-Autumn Festival) sudah semakin hampir.

Perayaan Kuih Bulan ini disambut pada hari ke-15 pada bulan ke-8 di kalendar Cina setiap tahun. Kebiasaannya, tarikh tersebut akan jatuh di antara bulan September atau bulan Oktober dan pada tahun ini, tarikh tersebut jatuh pada 1 Oktober 2020.

Memuja, menghargai bulan

Dikatakan perayaan Kuih Bulan ini telah bermula sejak lebih 3000 tahun yang lalu pada Dinasti Zhou. Pada waktu itu, kebanyakan maharaja akan memuja bulan ketika musim menuai kerana mereka percaya bahawa praktik itu akan memberikan hasil tuaian yang banyak pada tahun berikutnya.

Pada Dinasti Tang, memerhati bulan telah menjadi aktiviti popular di kalangan orang-orang atasan dan kemudiannya, rakyat-rakyat jelata juga mula melakukan aktiviti tersebut bersama keluarga.

Setiap hari ke-15 pada bulan ke-8 di kalendar Cina telah diisytiharkan sebagai Perayaan Kuih Bulan oleh Dinasti Song sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang telah berusaha keras dalam penuaian.

Imej dari: manchestermoonfestival
Si Pemanah dan Dewi Bulan

Perayaan ini juga mempunyai beberapa versi mitos dan lagenda namun yang dikenali ramai adalah kisah Houyi, si pemanah dan Chang’e, dewi bulan.

Menurut mitos zaman dulu, di bumi ada 10 buah matahari yang menyebabkan cuaca panas yang teramat terik sehingga memusnahkan segala tanaman dan membawa maut kepada orang ramai.

Sehinggalah satu hari, seorang pemananah hebat, Hou Yi berjaya menjatuhkan sembilan buah matahari dengan panahannya dan menyelamatkan bumi, menyebabkan ramai orang ingin belajar memanah dengannya.

Hou Yi telah dianugerahkan ubat yang membolehkannya untuk hidup abadi oleh Permaisuri di Langit, Wang Muniangniang. Ubat tersebut akan menjadikan orang yang memakannya menjadi dewa atau dewi di kayangan.

Oleh kerana Hou Yi terlampau sayangkan isterinya, Chang’e, dia mengambil keputusan untuk tidak memakannya dan simpan sahaja di rumah.

Namun, Pang Meng, salah seorang anak murid Hou Yi tahu akan perkara tersebut dan berhasrat untuk mencuri ubat itu ketika Hou Yi tiada di rumah. Jadi pada hari ke-15 pada bulan ke-8 kalendar Cina, Hou Yi telah keluar untuk memburu dan Pang Meng memecah masuk rumah Hou Yi, memaksa Chang’e untuk memberikan ubat tersebut.

Chang’e berkeras untuk tidak memberinya dan mengambil keputusan untuk memakan ubat tersebut, menyebabkan dirinya terus terbang ke bulan, yang mana akan menjadi tempat tinggalnya buat selamanya, dan menjadi dewi bulan.

Apabila Hou Yi kembali ke rumahnya dan mengetahui perkara tersebut, dia berasa teramat sedih. Pada malam tersebut, bulan sangat bulat, besar dan terang sehingga dia boleh melihat bayangan Chang’e bergerak dengan jelas.

Jadi, setiap hari, Hou Yi akan berdoa kepada Chang’e yang berada di bulan dengan meletakkan makanan yang disukainya di tempat tertentu.

Orang ramai mula bersimpati dengan nasib Chang’e dan bersama-sama berdoa dengan meletakkan pelbagai jenis makanan, untuk tuah dan kesejahteraan hidup mereka.

imej dari: CGTN.com
Disebalik Kuih Bulan

Perayaan Kuih Bulan ini juga berkait rapat dengan satu peristiwa bersejarah untuk memperingati perjuangan rakyat Cina yang bangkit menuntut kebebasan di bawah pemerintahan kejam Mongol.

Kekejaman pemerintahan Mongol telah memaksa pihak Ming bersepakat untuk memberontak demi dinasti mereka.

Pemimpin Xhu Yuan Zhang dan pengikutnya, Liu Bo Wen telah menyelitkan nota ke dalam kuih bulan dan diedarkan kepada rakyat.

Nota itu memberi pesanan dan menerangkan cara-cara untuk rakyat bersatu menentang puak Mongol yang menindas mereka selama ini.

Pada malam perayaan, mereka telah berjaya menggulingkan kerajaan Mongol, menjadikan kuih bulan makanan kebanggaan dan juga simbol perjuangan keadilan.

Semenjak itu, perayaan ini disambut dengan memakan kuih bulan sempena memperingati peristiwa bersejarah itu.

Mengeratkan perpaduan

Setiap negara dan etnik China meraikan Perayaan Kuih Bulan ini dengan cara yang berbeza namun tujuannya tetap sama iaitu untuk memperjuangkan keamanan dan mengeratkan perpaduan.

Jadi, sambutlah perayaan yang bermakna ini bersama-sama tanpa mengira agama dan bangsa serta menikmati kelazatan kuih bulan sambil melihat purnama di malam hari.

Want More Story From Us?