Perak, Johor pernah sambut Aidilfitri sehari awal

Satu Syawal merupakan satu tarikh yang dinanti-nantikan oleh umat Islam kerana pada tarikh tersebut, mereka akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ia juga adalah hari kemenangan kepada umat Islam setelah sebulan berpuasa pada bulan Ramadhan.

Bagi mentukan tarikh Hari Raya, akan ada dua kaedah iaitu dengan cara melihat anak bulan (rukyah) ataupun dengan cara kiraan (hisab). Pada masa kini, umat Islam tiada masalah bagi menentukan tarikh tersebut kerana ada pihak tertentu yang bertanggunjawab untuk melakukannya. Jadi, tidak akan timbul masalah menyambut Hari Raya awal atau lambat.

Tetapi pernah terjadi suatu ketika dahulu, negeri Perak dan Johor menyambut Hari Raya Aidilfitri sehari awal berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

Penampakan anak bulan

Peristiwa unik ini terjadi pada tahun 1983, ketika Perak berada di bawah pemerintahan Almarhum Sultan Idris Shah dan Almarhum Sultan Johor.

Kisah ini bermula apabila beberapa kumpulan nelayan yang pulang selepas menangkap ikan di laut mengatakan mereka telah nampak anak bulan. Berita itu tersebar ke orang ramai dengan pantas.

Untuk menguatkan lagi dakwaan tersebut, pasukan marin yang menjaga perairan negara juga mengesahkan penampakan anak bulan yang menandakan kehadiran bulan Syawal. Tetapi tiada rekod dan bukti khas untuk menguatkan kenyataan tersebut yang menjadi permulaan kepada peristiwa ini.

Sultan mengisytiharkan hari raya

Desas-desus mengenai penampakan anak bulan itu dikatakan telah sampai ke pengatahuan mufti. Setelah mufti mendapat khabar tersebut, hal itu terus dimaklumkan kepada Sultan kerana baginda mempunyai kuasa penuh untuk mengisytiharkan hari raya.

Setelah perkhabaran itu sampai ke pengetahuan Sultan, tanpa membuang masa, baginda terus mengarahkan semua jentera kerajaan negeri untuk memberitahu seluruh rakyat mengenai perkhabaran tersebut melalui institusi kerajaan negeri.

Imej dari: ohbulan.com
Yakin itu adalah anak bulan

Jabatan Penerangan dan pihak polis juga telah menggunakan pembesar suara untuk mengumumkan hari raya kepada seluruh rakyat di bandar dan pelusuk kampung. Dikatakan baginda membuat keputusan tersebut kerana baginda yakin anak bulan yang dilihat oleh para nelayan dan marin itu adalah sahih dan benar.

Keesokan harinya, Perak dan Johor telah menyambut satu Syawal sehari awal berbanding negeri-negeri lain, dan juga negara lain seperti Brunei, Singapura dan Indonesia.

Membawa kekecohan orang ramai

Namun begitu, pengumuman secara mengejut itu telah menimbulkan kekecohan kepada orang ramai. Kebiasaannya, juadah hari raya seperti lemang, rendang dan lain-lain lagi akan disediakan bermula pada malam hari raya.

Oleh sebab pemberitahuan yang tiba-tiba itu, ramai berasakan mereka mungkin belum bersedia dengan bahan-bahan masakan kerana menyangkakan bahawa mereka masih mempunyai satu hari lagi untuk berpuasa.

Ada juga khabar yang mengatakan beberapa penduduk yang tinggal di kawasan sempadan Perak dan Selangor hampir bergaduh kerana mereka yang berada di Tanjung Malim, Perak berlagak makan dan hisap rokok.

Peristiwa unik ini dikatakan belum lagi pernah terjadi buat kali kedua. Kini, kaedah dan cara yang lebih sistematik telah digunakan oleh negara untuk menentukan tarikh Hari Raya Aidilfitri bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang.

Want More Story From Us?