Penglipur Lara, Tukang Kisah yang Menjadi Sejarah

Satu masa dahulu, Tanah Melayu pernah diwarnai dengan kesenian sastera lisan yang bukan sahaja menghibur, malah mendidik nilai nasionalisme dan moral yang baik kepada penduduknya.

Sastera lisan ini selalunya dibawa oleh si tukang cerita, atau digelar ‘Penglipur Lara’ yang membawa maksud pencerita yang menghiburkan hati mereka-mereka yang dalam kesedihan.

Cerita-cerita sang penglipur lara ini biasanya membawa unsur-unsur roman dan adventure, yang acapkali dirangka di sekitar golongan istana, putera puteri dan raja-raja dengan gambaran kemewahan, keindahan dan kesaktian bersama kejadian luar biasa (supernatural).

Peranan sang penglipur lara ini amat mustahak ketika zaman keagungannya yang bermula sejak abad ke-20 dek kerana kurangnya aktiviti yang dapat menghimpunkan rakyat dan memberikan pendidikan serta membina rohani masyarakat.

Hikayat Malin Demam merupakan contoh hikayat utama penglipur lara
Sumber: Malim Deman kebanggaan Lenga (bharian.com.my)

Malahan, hampir semua penduduk Tanah Melayu ketika itu tidak boleh membaca mahupun menulis, maka sastera lisan ini menjadi unsur pendidikan pertama dan asli yang hadir untuk menaikkan ketamadunan bangsa Melayu.

Peranan penglipur lara ketika awal ketamadunan Tanah Melayu adalah suatu warisan negara dan kehilangan seni sastera lisan ini adalah sebuah kerugian terbesar yang akan dihadapi oleh masyarakat Melayu.

Keunikan Aneka Penglipur Lara

Penglipur lara itu sendiri banyak, sehingga enam jenisnya di seluruh Semenanjung.

Penglipur yang di utara Semenanjung itu digelar Selampit, seperti di negeri Perlis dan Kedah.

Penglipur Selampit menggunakan gendang keling ketika persembahan dan hikayat dibacakan.

Jika di Kedah ada juga penglipur lara yang mempersembahkan dikir dan nyanyian tanpa sebarang alat muzik tersendiri dan dikenali dengan nama Jubang.

Ada pula penglipur yang dipanggil Awang Batil seperti di negeri Perlis dan Langkawi, lazimnya membawa persembahan cerita berbentuk dikir, puisi lisan dan pertuturan biasa.

Digelar Awang Batil kerana mereka menggunakan alat yang dipanggil batil, berperanan sebagai (tempat tadahan air).

Jika di utara membawa Selampit, jauh ke timur di Kelantan, Pattani dan Perlis pula dikenali sebagai Tarik Selampit dengan persembahan nyanyian, dikir dan pertuturan biasa dengan alunan merdu rebab.

Penglipur di Pahang dan Terengganu pula gemar menyanyi dalam bercerita ketika persembahan mereka sambil ditemani dengan alunan muzik rebana untuk menaikkan suasana.

Di Selangor dan Minangkabau pula dikenali sebagai Kaba yang gemar akan gaya dikir dalam penceritaannya sambil menggunakan biola dan rebab sebagai penaik seri dalam cerita.

Di negeri-negeri lain dalam Semenanjung hanya dikenali sebagai penglipur lara sahaja, dengan gaya persembahan yang sama membawa dikir, puisi dan pertuturan harian ditemani aluan dan paluan muzik tradisional.

Nasib Penglipur Lara di Malaysia

Meskipun pernah dijulang sebagai penghibur dan pendidik rakyat, kini, penglipur lara hanyalah sebuah terma sejarah yang semakin menghilang dalam jiwa bangsa Melayu.

Peningkatan arus pemodenan telah menaikkan jumlah rakyat yang mampu membaca dan menulis, sekaligus beralih mencari sumber pendidikan dan hiburan melalui kaedah bukan lisan.

Hari ini, kehadiran penglipur lara semakin sukar dikenali rakyat, sehingga tiada yang mampu mewarisi atau mewujudkan semula budaya negara itu.

Buktinya, dari semua jenis penglipur lara, yang masih kekal didengar dan masuk ke media hari ini hanyalah Awang Batil dan Tok Selampit.

Romli Mahmud yang berusia 69 tahun di Perlis boleh dikatakan sebagai Awang Batil yang terakhir mewarisi kesenian itu sebelum ia pupus buat selamanya.

“Orang muda hari ini dilihat sudah tidak lagi minat belajar seni (Awang Batil) ini. Ada yang cuba belajar pun tidak dapat menguasai. Bang Li (Romli) kadang kala susah hati memikirkan sekiranya satu hari nanti tiada ada lagi Awang Batil yang dapat menghiburkan kita,” jelas Romli dalam sebuah temu bual bersama Utusan Malaysia.

Sumber: Nik Abdullah Nik Omar (Seni tarik selampit masih bertahan (bharian.com.my))

Manakala Hassan Jantan, 66 tahun pula merupakan waris Tok Selampit terakhir yang masih mendendangkan hikayat rakyat dengan alunan gesekan rebab di Kelantan.

Baginya, seni Tok Selampit bukanlah seni yang mudah kerana perlu bijak melagukan cerita yang dipersembahkan selari dengan irama rebab yang dimainkan.

Begitulah tingginya kesenian penglipur lara sehingga sukar diwarisi.

Perjuangkan Warisan Budaya

Meskipun Malaysia menuju ke arah kemodenan, adat dan budaya warisan kita haruslah dibawa bersama.

Keunikan adat dan budaya inilah yang menjadi roh serta jiwa bangsa, sekaligus menetapkan semangat nasionalisme di dalam generasi akan datang agar mereka terus mengenang asal usul kita.

Penglipur lara juga tidak terkecuali kerana keunikannya membawa pendidikan dan hiburan berupa dikir dan puisi dapat menghidupkan keilmuan sastera dan linguistik Melayu buat rakyat Malaysia.

Want More Story From Us?