Ruang gua Sarawak (Sarawak Cave Chamber) adalah yang terbesar keluasannya di dunia. Mula diterokai sejak 40 tahun yang lalu, dan masih dikaji sehingga ke hari ini.
Sekumpulan caver (peneroka gua) warga British menjalankan ekspedisi ke Taman Negara Gunung Mulu pada Disember 1980 sehingga Mac 1981. Tujuannya adalah untuk mengkaji kawasan hutan tadahan hujan di Borneo di samping membantu kerajaan Malaysia untuk memahami Taman Negara Gunung Mulu yang baru sahaja dibangunkan dengan lebih mendalam lagi.
Pelbagai rintangan terpaksa dilalui sepanjang menyusuri rangkaian gua di taman itu seperti terperangkap di takungan air, ditimpa ribut dan hujan lebat, dan kecederaan yang agak parah. Rangkaian gua yang dijumpai termasuklah Gua Angin, Gua Clearwater, Gua Water Polo, Gua Harimau Bintang (Leopard Cave), dan Gua Imperial.
Ketika ekspedisi itu berjalan, salah seorang daripada sekumpulan saintis tersebut, Hans Friederich yang dalam perjalanan pulang dari mengkaji Sungai Melinau Paku akhirnya menemui Gua Nasib Bagus (Good luck Cave).
Beberapa hari kemudian, empat lagi peneroka, Andy Eavis, Tony White, Dave Checkley dan Danny Lawi mula menjejaki Gua Nasib Bagus untuk meneroka keajaiban yang mungkin ada. Perjalanan menyusuri Gua Nasib Bagus membawa mereka ke satu laluan yang besar. Sementara Lawi ditinggalkan untuk membina tapak kem di pintu masuk gua, Eavis, White, dan Checkley meneruskan pengembaraan mereka ke sepanjang laluan di dalamnya.
Eavis menyusun batu-batu kecil di suatu sudut gua sebagai penanda (cairn) supaya mereka tidak tersesat semasa meneroka. Sejurus kemudian, sambil memeta setiap penjuru yang ada, ketiga-tiga mereka mula mengembara merentasi landasan berbatu tajam itu. Semakin jauh mereka berjalan, suasana menjadi semakin hening dan bunyi air sungai yang mengalir perlahan-lahan berubah sayup. Gelapnya hanya ditemani cahaya lampu yang tergantung di kepala masing-masing.
Mereka tertanya-tanya, adalah ia suatu ruang bawah tanah yang belum pernah ditemui atau sekadar satu lorong gelap yang berukuran gergasi?
Setelah 12 jam bergelut dalam kegelapan, kehilangan tenaga, dan kecederaan-kecederaan ringan, ketiga-tiga mereka akhirnya memutuskan untuk berpatah balik berpandukan kompas yang membawa mereka kembali ke pintu masuk gua dengan menyusuri arah aliran sungai. Penanda yang dibuat Eavis di permulaan ekspedisi mereka tadi akhirnya jelas di pandangan.
Mereka meninggalkan laluan itu dan kembali semula ke tapak kem di mana Lawi sedang menunggu. Saat itu barulah mereka sedar, mereka telah pun menemui sebuah cave chamber (ruang bawah tanah/ ruang gua) yang terbesar di dunia.
Sarawak Chamber pada hari ini
Sejak penemuannya hampir 40 tahun yang lalu, Sarawak Chamber telah menjadi tarikan pelancong-pelancong dari dalam dan luar negara. Bermula dengan menyelusuri batu-batu kapur yang mencanak tinggi (juga dipanggil The Pinnacles) untuk tiba ke Gua Nasib Bagus, meredah aliran sungai yang menghala ke pintu masuk ruang bawah tanah yang dikelilingi arca stalaktit, batu-batu tajam, dan tanah yang berlumpur, sehinggalah memasuki ke dalam satu lorong gelap (void) yang seperti tiada hujungnya, ia pasti mencabar fizikal dan memberi kepuasan kepada mereka yang menggemarkan aktiviti percutian lasak.
Ukuran dimensinya yang seluas 700m x 400m dan ketinggian bumbung 100m dikatakan mampu memuatkan 40 buah pesawat Boeing 747, selain menjadi tempat tinggal haiwan-haiwan seperti kelawar, burung, dan labah-labah gergasi.
Taman Negara Gunung Mulu telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO pada tahun 2000 kerana kekayaan semulajadinya yang terdiri daripada ketebalan hutan tadahan hujan, kepelbagaian fauna, dan keindahan pemandangan yang menghijau.
Penghargaan yang diberikan ini nyata meletakkan Sarawak Chamber pada status yang tinggi di mata dunia.
Ada tujuh keajaiban dunia, tetapi tapak bersejarah kebanggaan Sarawak ini adalah keajaiban Malaysia.