Jauh terpencil di Sungai Kajang, Sarawak, ada sekumpulan puak Orang Asli yang dikenali sebagai Punan Vuhang.
Hutan tadahan hujan di pedalaman Sarawak, negeri yang terletak di Malaysia Timur dan juga di Kepulauan Borneo, ialah di mana sekumpulan Orang Asli (Indigenous People) dikenali dengan nama Punan Vuhang membina tempat tinggal mereka jauh dari peradaban manusia yang lain.
Pada tahun 1995, jumlah puak Punan Vuhang yang direkodkan hanyalah seramai 70 orang, dan mereka tinggal di sepanjang dua rumah panjang di Long Lidem, Sungai Kajang.
Gelaran hunter-gatherer
Punan Vuhang mengamalkan cara hidup nomad dengan bergantung sepenuhnya kepada hasil hutan demi kelangsungan hidup sejak tamadun mereka terbentuk, justeru mereka digelar pemburu-pengumpul (hunter-gatherer).
Sejak awal lagi, mereka menekankan kepentingan ekonomi dan sosial melalui pemburuan dan pengumpulan sumber dari hutan. Sumber-sumber ini cukup untuk menampung hidup mereka, sekali gus mematahkan debat para pengkaji bahawa puak mereka sentiasa hidup dalam kebuluran sehingga pemburu-pengumpul terpaksa keluar mencari makanan tanpa henti.
Kekayaan hujan tadahan hujan di Borneo mampu menampung sumber pemakanan harian Punan Vuhang untuk bertahun-tahun lamanya. Walaupun makanan mereka adakalanya berkurang, tiada kebimbangan yang timbul dalam kalangan puak ini kerana mereka tahu pemburu-pengumpul yang ada akan merantau lebih jauh untuk mencari makanan hari berikutnya dan ia akan dikongsikan dengan yang lain.
Perubahan mula berlaku pada tahun 1968 apabila puak Punan Vuhang mula menjadikan pertanian sebahagian daripada kehidupan mereka. Sejak itu, golongan wanita mula diberi peluang untuk bekerja di ladang serta meringankan beban para lelaki.
Dengan berlakunya perubahan ini, pemburu-pengumpul tidak lagi memburu dan mengumpul sumber hutan untuk ditukar kepada pedagang, sebaliknya menjadi petani yang mampu menjana pendapatan hidup mereka sendiri.
Kepercayaan sistem kosmologi sebelum Kristian
Kaum etnik Punan Vuhang berasal dari Vuhang iaitu sebuah pulau yang terletak di Balui. Pada asalnya, masyarakat Punan terbahagi kepada beberapa pecahan iaitu Punan Vuhang, Punan Terkalet, dan Punan Nuo.
Punan Terkalet dan Punan Nuo terpaksa meninggalkan tempat tinggal mereka di Baleh dan Katibas setibanya kaum etnik Kayan dan Iban dari Kalimantan ke Sarawak. Pergaduhan yang tercetus antara kaum etnik Punan Terkalet dan Punan Nuo dengan Kayan dan Iban memaksa kedua-dua kaum Punan memohon perlindungan dari Punan Vuhang. Sejak itu, terjadilah penggabungan antara ketiga-tiga Punan, dan kesemua mereka digelar Punan Vuhang.
Sebelum agama Kristian dianuti masyarakat Punan Vuhang pada penghujung 1960-an, mereka mengamalkan kepercayaan kepada roh dan bomoh. Sistem kosmologi Punan Vuhang berkait rapat dengan empat elemen utama yang mempengaruhi aktiviti sosial mereka, iaitu elemen roh yang terdiri daripada dua; roh baik dan roh jahat orang yang telah mati, bomoh, dan ramalan atau tanda-tanda sesuatu yang akan berlaku di masa depan.
Ini dikuatkan lagi dengan cerita-cerita lisan tentang Punan Vuhang yang dikatakan tidak mempunyai hubungan baik dengan Punan Terkalet sebelum penggabungan mereka. Kedua-dua pihak menggunakan roh-roh yang dihantar bomoh-bomoh dari puak masing-masing untuk menyerang antara satu sama lain.
Antara insiden yang berlaku yang dipercayai dimulakan oleh roh-roh ini ialah banjir besar yang menenggelamkan musuh, pokok-pokok menjadi layu, dan dahannya jatuh mengenai puak Punan Vuhang. Apabila keadaan menjadi semakin di luar kawalan, seorang bomoh dari Punan Vuhang bernama Nyuvuhan akhirnya memutuskan untuk menggunakan kuasanya untuk menghentikan pergaduhan antara kedua-dua belah pihak.
Setelah perdamaian dicapai, Nyuvuhan menjadi ketua puak Punan Vuhang yang pertama, diikuti keturunannya dekad-dekad berikutnya.
Kehidupan masyarakat etnik ini amat unik kerana mereka mempunyai pertalian yang utuh dengan alam sekitar. Malangnya hari ini, komuniti Punan Vuhang tidak lagi seramai dahulu dan ia semakin berkurang dari tahun ke tahun.
Sebagaimana puak Orang Asli yang lain seperti Penan masih bergelut dengan konflik hak tanah adat yang memberi kesan buruk kepada kebajikan populasi mereka, Punan Vuhang pula terus berjuang untuk meneruskan legasi dan keturunan mereka di bumi Borneo. Andai suatu hari nanti tiada lagi yang mampu bertahan, maka hilanglah satu puak Orang Asli yang mencerminkan identiti Sarawak.