Nasib barongan si harimau Johor

Persembahan Tarian Barong suatu masa dahulu pernah melambangkan kesejahteraan masyarakat di Johor, tetapi hari ini ia semakin dilupakan.

Barong ialah spesis makhluk yang hidup dalam kisah-kisah mitologi Bali, Indonesia yang berupa seperti seekor harimau kumbang.

Seni tradisional ini pernah dipopularkan menerusi Tarian Barong dalam kalangan masyarakat Johor, dan ia pada asalnya diperkenalkan oleh masyarakat Jawa Timur yang menetap di beberapa daerah di Johor.

Seni warisan yang dibawa oleh pengaruh Jawa
Ilutrasi topeng barongan.
Imej dari: freepik.com

Pada tahun 1722, masyarakat Melayu Jawa berhijrah dari daerah Ponorogo dan Jawa Timur setelah kejatuhan kerajaan Riau-Lingga. Penghijrahan mereka disertai dengan warisan yang dibawa dari tempat asal mereka, yang seterusnya berkembang bersama seni kebudayaan Melayu.

Antaranya, Tarian Barong yang walaupun dipersembah di Johor, masih mempunyai unsur masyarakat etnik Jawa. Ia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu barongan dan putera raja, dan pelawak dan putera raja. Penari yang membawa watak barongan dalam sesebuah persembahan akan memakai topeng harimau.

Kisah si harimau dan putera raja

Terdapat cerita yang menyatakan bahawa Tarian Barong ialah suatu tarian berkelompok yang meniru gerakan seekor harimau (barongan) yang perkasa dan berperanan sebagai tokoh yang dominan di dalam hutan.

Menurut cerita ini lagi, ketika barongan sedang memerhatikan seekor burung merak yang sedang mengembangkan ekornya, burung tersebut melompat ke atas kepala barongan dan kedua-duanya mula menari. Kemudian, seorang Juru Iring (Pamong) yang bernama Garong yang sedang mengiringi putera raja dengan menunggang kuda tiba di kawasan itu.

Pamong turun dari kudanya, lalu menyertai barongan dan merak menari.

Islam melarang kerana ada unsur pemujaan

Selain dipercayai menceritakan kisah-kisah Nabi Sulaiman as yang berkeupayaan bercakap dengan binatang, Tarian Barong juga mempunyai unsur pemujaan.

Dini, upacara ‘Sajan’ (sajiaan) yang diibaratkan seperti makanan untuk memanggil semangat harian akan dilakukan terlebih dahulu sebelum pertunjukan Barongan dimulakan untuk menjaga dan melindungi keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana setiap kampung dikatakan mempunyai penunggu, oleh itu mereka perlu meminta keizinan melalui upacara Sajan.

Kemudian, bacaan dimulakan untuk memanggil semangat harimau yang bernama ‘Joblongko’ supaya pertunjukan nampak lebih ‘hidup’ apabila Barongan dirasuk semangat harimau.

Walau bagaimanapun, selepas ajaran Islam semakin kuat, upacara ini tidak lagi dilaksanakan kerana mempunyai unsur-unsur pemujaan yang dianggap tidak bertepatan dengan ajaran islam.

Tarian Barong Johor.
Video dari: Bare Feet with Mickela Mallozzi
Warisan seni yang terus dilupakan

Malangnya, warisan berunsur tarian teater ini idak lagi diketengahkan oleh pihak kerajaan Malaysia rentetan kejadian pada 2007 apabila Kementerian Pelancongan Malaysia telah menghentikan semua persembahan kebudayaan yang berasal dari Indonesia seperti Tarian Barong dan endang ekoran buat sementara bagi meredakan kontroversi yang dicetuskan oleh para aktivis kebudayaan Indonesia.

Kini Tarian Barongan masih lagi dipersembahkan di Batu Pahat, Pontian, dan Muar, namun ia semakin pupus dan dilupakan oleh masyarakat. Barongan yang dahulunya gagah perkasa kini hilang dari persada seni warisan negara.

Want More Story From Us?