Rangka tulang purba manusia ditemui di Gua Niah pada tahun 1966. Ia menjadi bukti wujudnya peradaban manusia pra-sejarah di Sarawak lebih 37,000 tahun yang lalu.
Negeri Sarawak memang tidak asing lagi dengan catatan arkeologinya. Selain menerima beberapa penghormatan sebagai tapak warisan dunia, tempat-tempat bersejarah juga telah banyak direkodkan sebagai permulaan kepada peradaban manusia.
Antaranya, Gua Niah yang terletak di kawasan pergunungan batu kapur iaitu Gunung Subis di pedalaman Miri dipercayai telah menjadi tapak pra-sejarah kewujudan manusia di Asia Tenggara sejak 40,000 tahun dahulu.
Pertama kali diterokai oleh Alfred Russel Wallace
Gua batu kapur terbesar di Malaysia ini pertama kali ditemui oleh naturalis British iaitu Alfred Russel Wallace ketika ekspedisi Borneo beliau sekitar tahun 1855. Hasil kajian yang dilakukan ketika ekspedisi tersebut dimuatkan dalam buku beliau iaitu The Malay Archipelago dan kertas kajian Sarawak Law.
Kedua-dua tulisan ini juga membantu memperkukuh lagi teori natural selection (pemilihan semulajadi) oleh Charles Darwin, yang seterusnya menyumbang kepada teori human evolution (evolusi manusia).
Penemuan tengkorak berusia 37,000 tahun
Eskavasi berikutnya yang dilakukan oleh ahli arkeologi British gagal menemui sebarang tinggalan penting sejarah. Sehinggalah sekitar tahun 1950-an, Tom Harrison mengetuai ekspedisi ke Gua Niah yang akhirnya berjaya membuat penemuan signifikan yang pertama.
Ekspedisi yang berlarutan selama 13 tahun itu menemui serpihan tengkorak manusia yang terkambus dalam kedalaman 101-110 inci dari permukaan tanah kawasan yang dikenali sebagai Hell Trench. Berdasarkan kesan radiokarbon pada tinggalan arang, tengkorak tersebut disyaki telah berusia 40,000 dan diberi nama Deep Skull.
Namun, pada awal 2000-an, Graham Barker dari Cambridge University mengkaji semula Deep Skull dan tapak ia ditemui. Beliau mendapati bahawa rangka tulang tersebut sebenarnya berusia 37,000 tahun.
Tengkorak milik seorang wanita
Secara anatomiknya, rangka tulang yang ditemui adalah tinggalan manusia moden (hom0sapien) tertua di dunia. Kajian oleh Don Brothwell pada awalnya mendapati tengkorak tersebut milik seorang remaja lelaki berketurunan orang asli Australia, iaitu dari Tasmania.
Walau bagaimanapun, kajian terkini hasil perbandingan yang dilakukan dengan penemuan-penemuan yang lain mendapati Deep Skull adalah milik seorang wanita separuh abad yang berketurunan orang asli Borneo.
Hipotesis yang tercipta daripada kajian ini ialah manusia terawal (orang asli Borneo) yang hidup di kawasan Gua Niah berasal dari keturunan orang asli Australia, sebelum digantikan dengan peladang dari Cina Selatan.
Deep Skull menjadi bukti kewujudan manusia pra-sejarah di Sarawak
Wakil dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak akan berlepas ke Florida, Amerika Syarikat dalam masa terdekat untuk membawa pulang rangka tulang purba ini ke Sarawak. Ia bakal dipamerkan di Kompleks Muzium Sarawak yang baru siap dibina dan dijadualkan beroperasi pada penghujung tahun ini.
Semestinya ia akan menjadi tarikan pelancong yang cintakan tinggalan sejarah dan arkeologi, tetapi yang lebih signifikan tentunya peranan Deep Skull sebagai bukti kewujudan manusia pra-sejarah di Sarawak.