Menyingkap sejarah Kesultanan Selangor

Sultan Selangor yang pertama ditabalkan pada tahun 1766, dan baginda berasal dari keturunan Bugis yang tiba di Tanah Melayu sekitar abad ke-16.

Sejarah Kesultanan Selangor menyimpan kisah pengaruh keturunan kaum Bugis yang tiba di Tanah Melayu pada abad ke-16. Dari peradaban yang tercipta di sekitar Johor, Selangor, dan Pulau Pinang, kehadiran mereka kemudiannya menjadi permulaan kepada kejatuhan Raja Kechil pada abad ke-18 yang pernah memerintah Empayar Johor-Riau yang juga mempunyai kuasa ke atas Selangor pada ketika itu.

Peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1722, apabila lima saudara berketurunan Bugis iaitu Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi sedang mengembara seluruh Alam Melayu. Kelima-lima mereka membantu Raja Sulaiman Badrul Alam Shah, putera kepada Sultan Abdul Jalil yang dahulu memerintah Johor-Riau sebelum empayar tersebut ditawan Raja Kechil.

Kisah ini juga menandakan penglibatan Bugis dalam politik dan ekonomi Tanah Melayu.

Sultan pertama Selangor berketurunan Bugis

Pada tahun 1740, Daeng Chelak yang tinggal di Riau mengembara ke Selangor bersama angkatan tentera baginda untuk menentang Daeng Matekko yang membuat kekacauan di Kuala Selangor. Daeng Matekko dikatakan pernah mempunyai hubungan baik dengan Raja Kechil yang telah ditewaskan Raja Sulaiman. Peperangan ini menyaksikan kekalahan Daeng Matekko yang kemudiannya lari ke Siak, sekali gus mencapai semula keamanan di Selangor.

Sejak itu, Daeng Chelak sering berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor untuk memastikan keamanan tersebut terus terjaga. Baginda telah menikahi Daeng Masik Arang Pala dan dikurniakan tiga orang cahaya mata. Sepanjang Daeng Chelak berkunjung ke Kuala Selangor, penduduk di situ memohon baginda supaya terus tinggal di Selangor tetapi ditolak baginda. Sebaliknya baginda menamakan putera baginda, Raja Lumu, sebagai Yamtuan Muda Selangor pada 1743.

Pada tahun yang sama juga, Raja Lumu diisytihar sebagai Raja Selangor oleh Sultan Muhammad Shah ibni Sultan Mansur Shah III, selepas Raja Lumu membantu baginda menaiki takhta sebagai sultan Perak yang ke-14.

Selepas Daeng Chelak mangkat pada 1745, baginda meninggalkan kekosongan untuk gelaran Yamtuan Muda Riau. Raja Lumu tidak mewarisi peninggalan bapanya, sebaliknya gelaran itu diserahkan kepada sepupu baginda, Daeng Kemboja yang ditabalkan sebagai Yamtuan Muda Riau ke-3.

Raja Lumu memegang sandaran Raja Selangor sehingga 1766 sebelum baginda ditabal menjadi Sultan Selangor yang pertama. Walau bagaimana pun, perjalanan baginda tetap terisi dengan banyak konflik dan halangan.

Sultan Salehuddin Shah – Sultan Selangor yang pertama

Pada Februari 1756, Raja Sulaiman menawarkan Pihak Belanda untuk melombong timah (tin mining) di Selangor kerana baginda beranggapan bahawa Selangor masih berada di bawah Empayar Johor-Riau.

Tindakan tersebut nyata ditentang Daeng Kemboja, Raja Tua Klang, dan juga Raja Lumu. Demi memperkuat pengaruhnya serta membebaskan Selangor dari pemerintahan Empayar Johor-Riau, Raja Lumu memohon pengiktirafan daripada Sultan Perak ke-16 iaitu Sultan Mahmud Shah ibni Sultan Muhammad Shah.

Catatan dalam Misa Melayu ada menyebut tentang kedaulatan dan kebesaran Sultan Perak, oleh sebab itulah Raja Lumu memilih Sultan Perak untuk memberi pengiktirafan supaya kedudukan baginda dan keturunan baginda nanti sebagai raja pemerintahan Selangor yang sebenarnya lebih kukuh dan Selangor tidak lagi tunduk kepada pemerintahan Johor-Riau.

Demi menjadikan Selangor sebuah kerajaan yang bebas memerintah tanpa pengaruh Johor-Riau, Raja Lumu berkunjung ke Perak untuk mendapat pengiktirafan tersebut. Ekoran itu, Sultan Mahmud Shah menabalkan Raja Lumu sebagai Sultan Selangor yang pertama pada November 1766. Baginda memilih nama gelaran Sultan Salehuddin Shah.

Sultan Salehuddin Shah mangkat pada 1778 sebelum digantikan oleh putera baginda, Raja Ibrahim Marhum Saleh yang diberi gelaran Sultan Ibrahim Shah.

Generasi demi generasi telah berganti, namun sejarah keturunan Bugis dalam Kesultanan Selangor akan sentiasa dikenang dan dihargai.

Want More Story From Us?