Suku kaum Bajau di Borneo hidup dengan bergantung kepada hidupan laut. Keistimewaan mereka termasuklah kemahiran menyelam dalam suatu jangka masa yang lama.
Pengembara laut (sea gypsy) mengamalkan cara hidup pelayaran nomad di perairan, dan mereka bergantung hidup sepenuhnya kepada hasil laut. Di Kepulauan Borneo, puak ini dikenali sebagai suku kaum Bajau Laut.
Di Sabah, kaum Bajau merupakan etnik bumiputera kedua terbesar. Tetapi tidak seperti mereka (Bajau Samah) yang menetap di daratan dan mahir menunggang kuda, kaum Bajau di Timur Sabah tinggal di rumah-rumah kayu yang didirikan di atas permukaan laut. Bagi yang tidak bernegara (stateless), mereka lebih memilih untuk mendiami rumah bot (lepa-lepa boat) supaya mudah untuk mereka belayar mencari bekalan makanan.
Suku Bajau Laut adalah penyelam handal, malah dengan teknik itulah mereka memburu ikan-ikan di laut.
Orang Bajau mempunyai saiz limpa yang lebih besar
Seorang pengkaji genetik, Melissa Ilardo, menziarahi kaum Bajau di Jaya Bakti, Indonesia pada tahun 2015 dan menghabiskan masa selama beberapa bulan di sana untuk menjalankan kajian. Hasil kajian tersebut mendapati bahawa kaum Bajau mempunyai saiz limpa (spleen) 50% lebih besar berbanding jiran terdekat mereka kaum Saluan yang jarang sesekali terlibat dengan aktiviti di lautan.
Mengikut hipotesis asal, saiz limpa kaum Bajau dikatakan membesar dengan rutin harian menyelam, tetapi Ilardo kemudiannya mendapati bahawa individu Bajau lain yang bukan seorang penyelam juga mempunyai saiz limpa yang lebih besar berbanding manusia biasa. Oleh itu, kajian diteruskan sehingga beliau mengesahkan bahawa terjadinya mutasi kepada genetik kaum Bajau selari dengan aktiviti menyelam (diving) yang telah dipraktikkan kaum ini sejak berkurun-kurun lamanya.
Gen yang dikenali sebagai PDE10A adalah yang bertanggungjawab mengubah saiz limpa orang Bajau. PDE10A dipercayai meningkatkan penghasilan hormon tiroid yang dipanggil T4, dan hormon inilah yang membesarkan saiz limpa mereka.
Fungsi limpa adalah untuk menapis darah dan mengitar semula sel-sel darah merah. Secara teknikal, manusia boleh hidup tanpa limpa, tetapi jika saiznya lebih besar, ia boleh membekalkan lebih banyak oksigen kepada tubuh melalui aliran sel darah merah. Justeru, dengan hanya berbekalkan gogal (goggle) dan lembing kayu buatan sendiri, orang Bajau mampu menyelam selama 13 minit dalam suatu masa pada kedalaman 200 kaki.
Di samping keupayaan menakjubkan dalam menahan pernafasan dalam satu jangka masa yang panjang, kebanyakan orang Bajau juga memecahkan gegendang telinga mereka di usia muda untuk memudahkan aktiviti menyelam. Hanya berkaki ayam ketika menyelam, tetapi mereka mampu berjalan di dasar laut (seabed).
Gaya hidup yang kini terancam
Orang Bajau sudah bergantung hidup kepada hidupan laut sejak berdekad-dekad lamanya. Dari ikan-ikan besar, mereka kini hanya mampu menangkap yang kecil-kecil. Jika ini berterusan, mungkin bekalan makanan untuk mereka meneruskan hidup sebagai pelayaran nomad tidak lagi ada di masa hadapan.
Ancaman terbesar kaum Bajau ialah kekurangan hasil laut yang disumbangkan oleh pemanasan global (global warming), pencemaran laut yang banyak membunuh hidupan marin, dan aktiviti penangkapan ikan yang berlebihan (overfishing) oleh pukat tunda (trawler) serta bom ikan (fish bombing).
Bukan sahaja bekalan makanan mereka di laut kian susut, bahkan campur tangan dari pihak berkuasa juga telah memaksa ramai dari kalangan mereka untuk berpindah ke darat dan memulakan hidup baru jauh dari tradisi budaya yang telah sebati dengan identiti diri mereka sejak sekian lama.
Sehingga ke hari ini, kaum Bajau hidup dikelilingi stigma dan persepsi negatif yang dilemparkan rakyat sekeliling yang ternyata tidak mengenali mereka sebaliknya melahirkan stereotaip melalui kata-kata yang dibawa dari mulut ke mulut tanpa sebarang bukti kukuh.
Yang sebetulnya, kaum Bajau sedang menderita kerana nasib yang tidak dipeduli dan masa depan anak-anak kecil mereka yang tidak lagi terjamin.
Jika kaum ini tiada lagi, negara-negara seperti Filipina, Indonesia, dan termasuklah Malaysia sendiri bakal kehilangan sesuatu yang istimewa. Nilai berharga yang orang Bajau mampu sumbangkan kepada kajian perubatan juga akan menjadi sia-sia.