Memenggal kepala tradisi masyarakat Borneo

Suatu ketika dahulu, di kepulauan Borneo terdapat satu tradisi menakutkan diamalkan oleh kebanyakan suku kaum Borneo – tradisi memenggal kepala. 

Amalan memenggal kepala atau nama lainnya, penggait dan tonggorib ini telah diamalkan oleh hampir kesemua etnik di kepulauan Borneo kecuali kaum Penan di Sarawak. 

Tradisi memenggal kepala ini boleh dilihat sebagai satu amalan yang menggerunkan sehingga Tanah Borneo pernah digelar sebagai Barbaric Borneo oleh penjajah British kerana kekejaman dan perasaan tidak takut mereka.

Sebagai tanda kemenangan

Pada zaman dahulu, peperangan antara kaum sering berlaku di Borneo. Bagi meraikan kemenangan mereka, mereka akan memenggal kepala mangsa yang tewas dan menyimpannya sebagai trofi kemenangan. Kepala-kepala tersebut akan dibawa pulang dan diikat di tiang rumah. 

Tindakan ini mungkin dilihat sebagai satu perkara tidak berhati perut tetapi bagi mereka, ini menunjukkan kekuatan sesatu kaum tersebut. Bagi kaum Iban di Sarawak, lelaki yang membawa pulang kepala adalah lambang kejantanan mereka. Lelaki tersebut kemudian akan diangkat sebagai orang terhormat di kalangan kaum mereka.  

Tetapi bagi kaum Murut, tujuan mereka memenggal kepala bukanlah sebagai lambang kemenangan semata. 

Kaum Murut pemburu tersohor 

Kaum Murut terkenal di Tanah Borneo sebagai pemburu kepala yang tersohor sehingga digeruni oleh kaum lain. Hal ini kerana kaum Murut dikatakan lebih ganas dan lebih kejam dalam memburu kepala berbanding kaum lain.

Mereka yang tergolong dalam suku Murut dikatakan tidak mempunyai belas kasihan, bahkan mereka akan memenggal kepala sesiapa sahaja yang mereka jumpa tidak kira sama ada lelaki, perempuan mahu pun kanak-kanak. 

Menurut kepercayaan kaum Murut, lelaki yang gagal memenggal sekurang-kurang satu kepala akan dipandang rendah dalam suku mereka. Bukan itu sahaja, lelaki yang mahu berkahwin diwajibkan untuk mendapatkan satu kepala untuk diberikan kepada pengantin perempuan. 

Kepala mangsa yang telah dipenggal.
Imej dari: Phinemo
Bukan trofi semata-mata

Memang benar kepala-kepala yang dipenggal itu diibaratkan seperti trofi dan menunjukkan kekuatan kaum tersebut tetapi ia juga digunakan untuk tujuan ritual keagamaan dan perubatan. Masyarakat dahulu percaya bahawa setiap kepala tersebut mempunyai roh dan semangat seseorang yang disebut sebagai tandahau

Bagi masyarakat Kadazandusun kuno, mereka menggunakan kepala tersebut sebagai penjaga rumah. Mereka percaya bahawa sesebuah rumah perlu ada penjaganya dan dengan menggunakan semangat tandahau, ini akan dapat melindungi rumah dan penghuninya daripada serangan musuh dan haiwan buas.

Manakala bagi kaum Murut pula, kepala tersebut digunakan untuk tujuan kerohanian. Kepala itu akan diletakkan pada asas jambatan besar untuk memastikan jambatan tersebut tahan lama. Mereka juga akan menanam tengkorak mangsa di kawasan sawah padi agar ia dapat tumbuh subur.

Tradisi lenyap selamanya

Tradisi menakutkan ini tidaklah bertahan lama apabila amalan ini perlahan-lahan pudar di kepulauan Borneo, bermula dari Sarawak kerana peraturan atau undang-undang tegas dan keras daripada Dinasti Brooke untuk kaum di Kalimantan.  

Kemudian di Sabah pula, amalan ini terhenti kerana terdapat kawalan pihak berkuasa di pedalaman. Kaum Murut dikatakan adalah kaum terakhir yang mengamalkan tradisi memburu kepala sebelum ia betul-betul lenyap di kepulauan Borneo pada 18 Masihi.

Meski pun tradisi memenggal kepala ini tidak lagi diamalkan tetapi ia kekal menjadi satu kisah yang menunjukkan kegagahan dan keberanian masyarakat Borneo. 

Want More Story From Us?