Setibanya Ramadan, jadual setiap umat Islam pasti berubah. Mereka berpuasa sepanjang hari, sementara malam diisi dengan solat tarawih serta ibadah-ibadah lain demi mencari reda Allah swt.
Saf-saf di masjid dan surau mula kelihatan penuh pada waktu malam, orang ramai berpusu-pusu membeli juadah di bazaar, dan alunan al-Quran mengisi rumah tanpa mengira masa – itu tandanya Ramadan telah pun tiba.
Bulan yang penuh rahmat, diisi dengan ibadah, dan pencarian malam Lailatul Qadar untuk mereka yang beragama Islam.
Kisah bermulanya Ramadan berkait rapat dengan penghijrahan Nabi Muhammad saw dari Mekah ke Madinah, serta peristiwa pemindahan kiblat dari Masjid Al-Aqsa ke Masjidil Haram ketika baginda berada di Madinah.
Peristiwa penghijrahan Muhammad saw dari Mekah ke Madinah
Dakwah Nabi Muhammad saw di bumi Mekah bukanlah mudah, malah ia dipenuhi dengan pelbagai rintangan dan cabaran sehinggakan pada kemuncaknya orang kafir Quraisy merancang untuk membunuh baginda. Oleh itu, ketika malam percubaan bunuh ke atas baginda dilakukan, baginda menerima wahyu daripada Allah swt untuk berhijrah ke Madinah.
Ditemani Saidina Abu Bakar, Nabi Muhammad saw memulakan perjalanan dari Mekah ke Madinah dengan hanya menunggang seekor unta. Semasa dalam perjalanan pun, orang-orang kafir Quraisy masih membuat percubaan untuk membunuh baginda. Namun dengan kuasa Allah swt, baginda dan Saidina Abu Bakar diselamatkan oleh sarang labah-labah di muka pintu Gua Tsur ketika bersembunyi di sana.
Setibanya Nabi Muhammad saw di Madinah, kaum Muhajirin dan Ansar bersatu menyambut ketibaan baginda atas nama Islam, dan dari situlah terbinanya masyarakat Islam di bawah pemimpin agung iaitu Rasullah saw sendiri.
Penghijrahan ini juga menjadi permulaan kepada sebuah institusi Islam yang lebih kuat.
Surah al-Baqarah, ayat 183
Perintah berpuasa pada bulan Ramadan diturunkan ketika tahun kedua Nabi Muhammad saw berada di Madinah selepas penghijrahan baginda, iaitu pada bulan Sya’ban (bulan sebelum Ramadan dalam kalendar Hijrah) pada tahun yang sama amalan berpuasa mula dilakukan.
Ia diturunkan melalui surah al-Baqarah (ayat 183), iaitu surah kedua dalam kitab al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa” (QS. Al Baqarah: 183)
Namun, perintah berpuasa ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana berpuasa telah pun dijadikan amalan umat terdahulu sebelum kerasulan Nabi Muhammad saw, cuma ia berbeza daripada beberapa aspek. Misalnya, Alkitab (Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu) ada menyebut tentang perintah puasa yang dilakukan pada bulan-bulan tertentu atau pun puasa yang dilakukan khusus untuk mendekatkan diri kepada Tuhan.
Maka selepas turunnya perintah berpuasa di bulan Ramadan ini, Nabi Muhammad saw memerintahkan para sahabatnya untuk berpuasa bagi sesiapa yang mengkehendakinya mengikut rukun yang telah disyariatkan. Bagi yang tidak pula, mereka diwajibkan membayar fidyah.
Setelah itu, barulah amalan berpuasa diwajibkan bagi setiap Muslim, kecuali bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat uzur syarie.
Puasa adalah rukun Islam yang ketiga
Terdapat banyak hadis yang boleh dirujuk tentang berpuasa. Antaranya:
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda,
الصِّيَامُ جُنَّةٌ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَجْهَلْ وَإِنْ امْرُؤٌ قَاتَلَهُ أَوْ شَاتَمَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي صَائِمٌ مَرَّتَيْنِ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ تَعَالَى مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ يَتْرُكُ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ وَشَهْوَتَهُ مِنْ أَجْلِي الصِّيَامُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا
“Puasa adalah perisai. Maka janganlah dia berkata-kata kotor dan berbudat bodoh. Apabila ada orang lain yang memerangi atau mencacinya, hendaklah dia katakan, ‘Aku sedang puasa’ (dua kali). Demi Tuhan yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah ta’ala daripada bau minyak kasturi. Dia rela meninggalkan makanan, minuman, dan syahwatnya kerana Aku. Puasa itu untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Satu kebaikan dibalas sepuluh kali lipatnya.” (HR. Bukhari dalam Kitab as-Shiyam)
Selain itu, kepentingan berpuasa dapat dilihat melalui Rukun Islam, di mana berpuasa di bulan Ramadan disebut sebagai rukun yang ketiga selepas mengucap dua kalimah syahadah dan solat lima waktu sehari semalam. Oleh itu, hendaklah setiap orang yang bertakwa berpuasa demi menjalankan tanggungjawab kepada agama yang dicintai.
Bukan menahan lapar dan dahaga semata
Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menahan hawa nafsu, menahan mulut daripada berkata-kata yang buruk, menahan telinga daripada mendengar yang sia-sia, dan juga menahan mata daripada melihat yang menjurus kepada dosa.
Di samping dapat berkumpul bersama ahli keluarga untuk bersahur, berbuka, dan bersolat tarawih berjemaah, setiap ibadah juga dijanjikan pahala yang berlipat kali ganda.
Ingatlah pengorbanan Rasullah saw dalam menegakkan ajaran Allah swt, dan semoga setiap hari yang dilalui di bulan Ramadan mendapat rahmat dan keberkatan yang tidak putus-putus daripada-Nya.