Lun Bawang di Borneo

Lun Bawang membawa maksud orang di kawasan pedalaman. “Lun” bermaksud Orang manakala “Bawang” membawa maksud Ulu. Suku Kaum Lun Bawang berasal dan tinggal di kawasan pedalaman tanah tinggi Borneo iaitu Kalimantan Timur, Brunei, Sabah, dan Sarawak.

Di Sabah, etnik Lun Bawang lebih dikenali sebagai etnik Lun Dayeh yang bermaksud orang pedalaman iaitu sekelompok masyarakat yang mendiami kawasan hulu sungai.

Di Brunei pula, etnik Lun Bawang lebih dikenali sebagai Lun Bawang Murut atau Southern Murut yang mana ramai populasi mereka terdapat di daerah Temburung, Brunei Darussalam.

Sementara di Sarawak, populasi etnik Lun Bawang banyak tertumpu di Bahagian Limbang seperti di Trusan, Ba Kelalan, Long Semadoh, dan Long Uping yang terletak di Daerah Lawas.

Sejarah asal suku kaum Lun Bawang

Penempatan awal suku kaum Lun Bawang dikenalpasti di tanah tinggi Kerayan Kelabit iaitu di kawasan tengah utara Borneo. Mereka telah berhijrah ke Sabah, Sarawak, dan Brunei sekitar abad ke-17 dan ke-18. akan tetapi kebanyakan daripada mereka masih berada di Kalimantan.

Suku kaum ini juga terkenal sebagai pahlawan yang berani, penyerang, dan pemburu kepala  yang digeruni. Mereka tinggal di kawasan tanah tinggi yang menjadikan mereka mudah untuk menyerang musuh di kawasan tanah rendah kerana bentuk fizikal di kawasan pergunungan telah melatih stamina dan ketangkasan masyarakat Lun Bawang.

Gaya hidup etnik Lun Bawang

Masyarakat ini mengamalkan pertanian tradisional untuk menyara kehidupan dengan menanam padi bukit dan sawah padi. 

Namun, semasa pemerintahan Brooke, kaum ini dianggap sebagai etnik yang paling teruk dan sangat berbahaya kerana sikap mereka yang tidak mengamalkan cara hidup yang sihat. Rumah panjang dikatakan mereka kotor, dan mereka sentiasa dalam keadaaan mabuk kerana meminum burak (air tapai beras) setiap hari.

Tabiat dan cara hidup suku kaum ini tercatat dalam sebuah buku yang ditulis Sherley Lees yang bertajuk Drunk Before Dawn.

Kedatangan Agama Kristian dalam suku kaum Lun Bawang

Semasa pertengahan abad ke-20, ramai masyarakat daripada suku kaum ini diserang penyakit-penyakit berjangkit seperti Malaria, TB, dan sebagainya. 

Akibat daripada cara hidup yang tidak sihat, apabila wabak kolera melanda di bumi Sarawak sekitar tahun 1904 hingga 1905, jumlah suku kaum ini hampir pupus apabila jumlah populasi mereka yang seramai 20,000 orang menurun hingga tinggal hanya 3,000 orang sahaja.

Pemimpin-pemimpin masyarakat ini segera mengambil tindakan dan mengubah cara hidup mereka dengan kesedaran untuk membaiki taraf hidup mereka. Akhirnya mereka telah berganding bahu dengan mubaligh-mubaligh Kristian pada ketika itu untuk mengamalkan cara hidup yang lebih sihat berdasarkan agama kristian yang mereka anuti.

Kini, segala kepercayaan, pegangan animisme, dan pantang larang turun-temurun ditinggalkan serta-merta sehingga menyebabkan pelupusan beberapa adat resam yang masih boleh digunakan. 

Perubahan ini juga melibatkan aspek kesihatan, akademik, dan sosio-ekonomi, serta secara tidak langsung telah meningkatkan populasi kaum Lun Bawang yang kini menjadi antara suku kaum yang masih kekal di Sarawak.

Want More Story From Us?