Kesultanan Melayu Terengganu mula diasaskan pada tahun 1708 ketika Tun Zainal Abidin ditabalkan sebagai Sultan Terengganu yang pertama.
Sultan Mizan Zainal Abidin adalah Sultan Terengganu ke-18 yang kini memerintah negeri tersebut, juga dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-13 pada 2006 sehingga 2011. Sebelum baginda, terdapat 17 orang sultan yang pernah memerintah negeri Terengganu.
Kesultanan Melayu Terengganu mula diasaskan lebih 300 tahun yang lalu iaitu sekitar 1708M, apabila Sultan Zainal Abidin I ditabal sebagai Sultan Terengganu yang pertama.
Diputerakan pada 1677/78 kepada Bendahara Johor ke-18
Tun Zainal Abidin diputerakan pada tahun 1677/78 di Johor ketika pemerintahan Sultan Ibrahim Shah dan sebahagian daripada pemerintahan Sultan Mahmud Shah II, sebelum diambil sebagai putera angkat oleh Paduka Raja Laksamana Tun Abdul Jamil atau dikenali sebagai Wan Deraman dalam catatan sejarah Terengganu dan Pahang.
Pada tahun 1688, baginda yang berusia sepuluh tahun ketika itu mengikut Tun Abdul Jamil yang telah diusir oleh para pembesar Johor ke Patani. Pengusiran itu berlaku ekoran dakwaan bahawa Tun Abdul Jamil cuba merampas takhta kerajaan daripada Sultan Mahmud Shah II yang masih kecil.
Walau bagaimanapun, Tun Abdul Jamil berjaya dibunuh oleh sekutu pembesar Johor di Teluk Datuk, sementara Tun Zainal Abdin bersama keluarga Tun Abdul Jamil sempat melarikan diri ke Patani. Di sana, baginda dijadikan putera angkat oleh Raja Patani yang juga dikenali dengan gelaran Nang Chayam dan Raja Mas Jayam.
Dijemput pulang semula ke Johor sebelum pertabalan
Ketika Sultan Abdul Jalil IV ditabalkan sebagai Sultan Johor, Tun Zainal Abidin dijemput pulang semula ke negeri tersebut. Baginda diberikan negeri Terengganu, sebelum berangkat semula ke Patani.
Dari situlah, Nang Chayam menghantar Tun Zainal Abidin ke Terengganu dengan diiringi 80 orang Patani bersama kelengkapan pertabalan diraja termasuklah Keris Panjang Nang Chayam yang masih digunakan sehingga ke hari ini, serta beberapa orang ulama.
Pertabalan baginda sebagai Sultan Terengganu yang pertama disempurnakan oleh Qadi Wan Imam Mahmud. Penemuan duit kupang emas Terengganu yang mencatatkan nama baginda menjadi bukti bahawa baginda ditabalkan sebagai sultan pada tahun 1708, manakala sumber Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Haji pula merekodkan baginda menaiki takhta pada tahun 1725 dan pertabalan tersebut disempurnakan oleh Raja Tua.
Takhta diturunkan kepada putera bongsu baginda
Sultan Zainal Abidin I mangkat pada 7 Mac 1733 di Bukit Nangka. Baginda kemudiannya dimakamkan di Bukit Keledang, berhampiran Kuala Terengganu.
Almarhum sultan meninggalkan enam orang putera (beberapa sumber mengatakan tujuh orang putera), namun takhta pemerintahan akhirnya jatuh kepada putera bongsu baginda, Engku Tuan Mansur.
Jika mengikut kisah sejarah yang dicatatkan, selepas kelahiran Engku Tuan Mansur, seorang pembesar tua telah meramalkan bahawa baginda akan menjadi seorang raja yang besar apabila dewasa kelak. Kekanda-kekanda baginda percaya dan berpegang teguh dengan ramalan ini, oleh itu takhta pemerintahan diserahkan kepada Engku Tuan Mansur pada 26 Februari 1741, yang kemudiannya menggunakan gelaran Sultan Mansur Riayat Shah I.
Pemerintahan Sultan Mansur Shah I menjadi titik tolak kestabilan negeri Terengganu, seterusnya memperkuat kuasa institusi Raja-Raja Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.