Legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang

Masyarakat di Malaysia sering disajikan dengan cerita rakyat zaman dahulu kala yang diturunkan dari generasi ke generasi. Sesetengah kisah legenda ini diceritakan bukan sahaja bagi dijadikan hiburan malah, kisah-kisah ini juga boleh dijadikan tauladan dan pengajaran kepada orang zaman sekarang.

Ramai yang mengenali cerita rakyat mengenai Gunung Ledang dan Puteri Gunung Ledang. Manakala, antara lagenda yang terkenal di Sarawak pula merupakan lagenda mengenai Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang dikaitkan dengan Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang.

Kisah ini diceritakan dalam pelbagai versi dan juga dijadikan sebuah lagu rakyat.
Ilutrasi Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang.
Imej dari: femalemag

Versi yang sering diceritakan dalam legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang ini mengisahkan mengenai dua orang puteri yang dikatakan sebagai sepupu mempunyai rupa paras yang cantik. Kedua-dua puteri ini juga diceritakan mempunya suara yang sangat merdu dan diibaratkan seperti adik-beradik kembar.

Mereka berdua telah diarahkan untuk menjaga dua buah kampung di mana Puteri Santubong di Kampung Pasir Putih dan Puteri Sejinjang di Kampung Pasir Kuning. Mereka diutuskan untuk menjaga kedua-dua kampung ini bagi memelihara dan menamatkan pertelingkahan di antara dua kampung tersebut.

Kemahiran dan kecantikan Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang

Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang kedua-duanya mempunyai kepakaran tersendiri di mana Puteri Santubong bijak dalam menenun kain dan Puteri Sejinjang pula bijak dalam mengasing sekam padi menggunakan aluk (alat menumbuk padi).

Kecantikan dan kemahiran yang ditunjukkan mereka menarik minat seorang putera iaitu Putera Serapi untuk datang berkunjung. Oleh sebab kedua-dua puteri tertarik dan kagum dengan Putera Serapi yang sasa dan kacak, mereka berdua telah jatuh hati kepada putera tersebut sehingga berlaku pertelingkahan.

Pertelingkahan kerana rasa cemburu

Disebabkan rasa cemburu di antara dua puteri tersebut, berlakunya pergaduhan di mana Puteri Sejinjang yang marah ketika itu mencapai aluk, lalu mengayun aluk tersebut ke pipi Puteri Santubong. Ramai berpendapat bahawa lengkuk yang terdapat di Gunung Santubong adalah disebabkan bekas ayunan aluk tersebut.

Puteri Santubong membalas dendam terhadap Puteri Sejinjang dengan membaling sebatang tombak yang menyebabkan Puteri Sejinjang terbunuh. Kedua puteri yang terbunuh itu kemudiannya disumpah menjadi gunung.

Dua puteri yang melarikan diri

Versi lain legenda ini juga turut diceritakan mengenai dua orang puteri dari Brunei yang melarikan diri dan akhirnya berbalah kerana sering cemburu dengan kecantikan satu sama lain.

Kisah legenda ini kini dijadikan pengajaran oleh generasi zaman sekarang agar tidak bertelingkah dan cemburu antara satu sama lain dan kini Gunung Santubong dan Gunung Sejinjang menjadi tumpuan para pendaki dan pelancong dalam dan luar negara.

Want More Story From Us?