Legenda Bujang Senang: Buaya tembaga jelmaan pahlawan Sarawak mati dibunuh

Kewujudan koloni buaya sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Sarawak yang tinggal di kawasan lembah sungai. Tetapi, antara legenda yang terkenal melibatkan buaya di Sarawak adalah kisah legenda Bujang Senang yang masih menjadi perbualan masyarakat sehingga ke hari ini.

Bujang Senang merupakan spesis buaya tembaga yang agresif, malah dikatakan lebih kejam berbanding ikan jerung. Bujang Senang terkenal dengan kepanjangan badannya yang berukuran 19 meter dan mempunyai jalur putih di belakang badannya.

Buaya ini mula mendapat perhatian masyarakat setempat kerana ramai orang telah menjadi mangsanya dan ada sesetengah orang mengatakan bahawa buaya ini ‘berpuaka’ kerana ia merupakan jelmaan seorang pahlawan Sarawak.

Jelmaan seorang pahlawan

Bujang Senang dikatakan kononnya merupakan seorang pahlawan Sarawak yang bernama Simalungun. Mitos ini menceritakan yang isteri Simalungun telah diculik dan ketika Simalungun cuba menyelamatkan isterinya, isterinya dibunuh. 

Simalungun membalas dendam dengan menyerang musuh-musuhnya. Mitos ini juga mengatakan yang beliau mempunyai ilmu kebal yang menyebabkan musuh-musuhnya susah untuk mencederakannya. Namun, kekebalan Simalungun dapat ditangkis apabila dia berada di dalam sungai dan Simalungun berjaya dibunuh oleh musuhnya. Mayat beliau dan isterinya dibiarkan tenggelam dalam sungai.

Salah seorang saudara kepada Simalungun yang merupakan seorang dukun handal mendapat tahu nasib saudaranya itu daripada mimpi. Keesokannya, dia pun ke tebing sungai dan meminta semua tuhan mitos Iban untuk menukarkan Simalungun menjadi seekor buaya yang berwarna putih. 

Dari situ, wujudlah seekor buaya yang ingin membalas dendam terhadap orang yang telah membunuh Simalungun dan isterinya di kawasan sekitar Batang Lupar.

Membuat kemunculan semula

Bujang Senang menjadi igauan ngeri kepada masyarakat Iban kerana ia dikatakan bersaiz sebesar sebuah bas dan mampu membaham ramai mangsa dengan sekali lahap sahaja.

Walaupun Bujang Senang mula mengganas pada 1940-an, buaya gergasi ini kembali membuat kemunculan semula pada tahun 1982 apabila ia membaham Penghulu Bangan dari Rumah Panjang Pali di Sri Aman. Serangan tersebut telah menggemparkan orang ramai dan pihak polis melancarkan operasi untuk mencari Penghulu Bangan selama lima hari. Akhirnya pencarian hanya menjumpai mayat lelaki itu sahaja.

Pihak polis juga melancarkan Operasi Buaya Ganas untuk menangkap Bujang Senang dari terus membahayakan penduduk di sungai besar di negeri itu seperti Batang Sadong, Samarahan, Lupar, Layar, dan Saribas tetapi Bujang Senang gagal ditemui. Operasi itu tidak berjaya dan Bujang Senang semakin mengganas sehingga dikatakan 13 orang telah menjadi mangsanya daripada tahun 1982 hingga tahun 1991.

Bujang Senang dibunuh

Pada tahun 1992, Bujang Senang membaham mangsa ke-14 iaitu Dayang anak Bayang, ketika gadis Iban itu menyeberang Sungai Pelaban, cabang Batang Lupar bersama ibunya.

Bujang Senang akhirnya berjaya dibunuh oleh penduduk setelah sekian lama bermaharajalela dan mengganas dengan 40 das tembakan menggunakan paku sepanjang 10 sentimeter.  Walau bagaimanapun, dakwaan bahawa  buaya raksasa itu sebesar bas didapati tidak benar kerana saiz sebenar Bujang Senang adalah 5.46 meter panjang dan lilitan perut 2.12 meter. 

Imej dari: Ilovekch.com

Ia masih dikategorikan sebagai ‘buaya raksasa’ selepas gambar jasadnya dipertonton kepada umum. Tengkoraknya kini dipamerkan di ladang buaya Jong di Sarawak dan Bujang Senang juga dikatakan sebagai buaya keempat terbesar di dunia.

Tetapi, orang tempatan percaya yang Bujang Senang sebenar masih berkeliaran di Sungai Sarawak dan yang ditembak itu sebenarnya Dayang Fatimah Eneng Emas, iaitu isteri Bujang Senang.

Want More Story From Us?