Legenda Hantu mengikut Budaya

Sesetengah masyarakat kaum Melayu dan Cina masih percaya dengan kewujudan hantu, yang mana kedua-duanya ada versi legenda hantu yang tersendiri.

Perkahwinan antara kaum (interracial marriage) bukanlah sesuatu yang asing di Malaysia, malah kebanyakan kisahnya pasti mengharukan hati banyak pihak. Tetapi berbeza situasinya dengan latar filem tempatan, terutama sekali filem-filem yang bergenre seram. Dek kerana kurangnya filem di pasaran yang mengetengahkan watak-watak dari latar belakang etnik yang berbeza-beza, jelmaan ‘hantu’ yang ditonjolkan menerusi filem-filem seram ini terhad kepada satu kaum sahaja.

‘Hantu’ adalah istilah bahasa Melayu yang digunakan untuk menggambarkan entiti-entiti dari supernatural forces (alam ghaib), spirit (roh), dan apa-apa sahaja makhluk yang mempunyai elemen kerasukan jin atau syaitan. Setidak-tidaknya, inilah yang dipercayai sesetengah orang Melayu.

Kisah-kisah legenda Melayu kaya dengan cerita hantu – hantu berambut panjang berpakaian serba putih, hantu tidak berpakaian dengan tubuh berminyak, atau hantu yang menyerupai manusia lain. Antara hantu yang sering mendapat tumpuan dan diangkat menjadi ‘watak utama’ dalam filem-filem tempatan adalah pontianak, pocong, dan langsuir, di samping elemen-elemen seram yang lain seperti bomoh, bunian, dan pemilikan saka.

Pun begitu, di Malaysia di mana rakyatnya berbilang kaum, kepercayaan hantu juga berbeza-beza mengikut budaya dan kepercayaan, yang mana keunikannya tidak pernah disaksikan di mana-mana skrin besar.

Budaya yang berbeza, kepercayaan yang serupa

Di Hollywood, vampire digambarkan sebagai makhluk yang mempunyai fizikal yang sama seperti manusia serta mempunyai rupa paras yang menawan. Cukup berbeza jika dibandingkan dengan vampire di Malaysia, atau lebih dikenali dengan nama pontianak (matianak/ kuntilanak) yang selalu ditonjolkan melalui imej seorang wanita berambut panjang, berwajah pucat, dan berpakaian serba putih.

Secara kontranya, vampire mengikut kepercayaan tradisional kaum Cina yang dikenali sebagai jiangshi (selain zombie atau hantu), digambarkan mempunyai fizikal seperti manusia, tetapi berpakaian uniform rasmi Qing Dynasty, sepasang tangan yang meregang ke hadapan, berkuku panjang, dan berwajah buruk (bergantung kepada tempoh kematian roh asalnya).

Lebih menarik lagi, jiangshi tidak berjalan menggunakan kakinya, sebaliknya ia melompat (hopping) – ciri-ciri khusus yang ada pada hantu dalam folklore (cerita rakyat) kaum Melayu iaitu pocong. Berbeza dengan jiangshi, pocong lebih sinonim dengan gambaran hantu serba putih yang dililit kain kafan.

Selain itu, pertembungan antara kisah legenda kaum Melayu dan Cina juga berlaku dalam kepercayaan terhadap hantu anak kecil yang dibela tuannya, atau nama lainnya toyol. Asalnya dikatakan dari janin yang mati dalam kandungan atau digugurkan dan dihidupkan semula oleh ilmu hitam dengan tujuan yang tidak baik.

Fizikal toyol sering dikaitkan dengan anak kecil berkepala besar dan botak, hujung telinga yang meruncing, dan badan yang berwarna hijau. Masyarakat Melayu percaya bahawa toyol boleh digunakan oleh tuannya untuk perkara-perkara yang tidak bermoral, seperti mencuri atau vandalisme. Manakala masyarakat Cina yang mengenali toyol sebagai kwee kia (dalam bahasa Hokkien) percaya ia mempunyai banyak ‘kuasa’, antaranya boleh menyerupai tuannya, mengikut apa sahaja arahan tuannya termasuk membunuh, dan mengkhianati tuannya apabila cemburu dengan kehadiran anak kecil yang lain.

Dalam erti kata lainnya, terdapat banyak persamaan antara cerita rakyat masyarakat Melayu dan Cina. Yang membezakannya adalah bagaimana ia diterjemahkan ke dunia realiti.

Terjemahan realiti yang berbeza-beza

Menghargai keunikan cerita rakyat adalah kunci untuk memahami sesuatu budaya.

Tradisi setiap suku kaum masyarakat di Malaysia berbeza-beza, maka kisah-kisah legenda yang diceritakan sejak kecil juga mempunyai kelainan yang menonjolkan kreativiti budaya tersendiri.

Secara ringkasnya, setiap cerita mencerminkan nilai-nilai artistik sesuatu kaum.

Di samping itu, kisah-kisah legenda juga mendedahkan ketakutan masyarakat yang dicipta oleh collective consciousness (kesedaran kolektif).  Sebagai contoh, orang Melayu secara umumnya takut dengan figura hantu berambut panjang dan berpakaian serba putih, oleh sebab itulah pontianak tidak pernah berhenti menjadi subjek kebanyakan filem seram Melayu. Begitu juga dengan ketakukan masyarakat Cina yang lebih menjurus ke arah zaman pemerintahan dinasti.

Justeru, pelaksanaan mencampuk-adukkan hantu-hantu dari kepercayaan-kepercayaan yang berlainan akan menjadi lebih sukar. Tambahan pula, dengan isu ketegangan kaum yang masih menjadi topik perdebatan penduduk terutamanya sejak kebelakangan ini, sensitiviti banyak pihak perlu dijaga.

Walau bagaimanapun, ‘sukar’ bukan bermaksud ‘mustahil’, kerana apabila kesukaran untuk melaksanakan sesuatu berada di kemuncaknya, di situlah kreativiti diperlukan untuk menangani semua masalah yang ada dengan bijak.

Salah satu sebab mengapa masih ramai penduduk yang memandang industri filem tempatan sebagai tidak setanding filem-filem dari luar ialah kurangnya elemen masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Mungkin pada masa hadapan, dengan pemahaman yang lebih mendalam mengenai hantu-hantu dari budaya dan kepercayaan yang berbeza-beza, pengarah dan produksi dapat menghasilkan filem yang mengetengahkan elemen ini, dengan mengilhamkan dan menghimpunkan hantu-hantu ini ke dalam satu filem yang sama.

Want More Story From Us?