Suku kaum Tidong di Sabah masih mengikut adam resam perkahwinan yang tersendiri. Antara yang paling mendapat perhatian ialah larangan penggunaan tandas selama tiga hari.
Populasi suku kaum Tidong (atau Tidung) dianggarkan seramai 70,000 hingga 80,000 orang, bertaburan di kawasan utara Kalimantan Timur dan pantai timur daerah Sandakan sampai ke Tawau, Sabah.
Mereka ini juga merupakan antara puak di kepulauan Borneo yang mempunyai tradisi perkahwinan yang unik sehingga mendapat perhatian antarabangsa.
Larangan penggunaan tandas
Bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga, mereka tidak dibenarkan menggunakan tandas selama tiga hari dan tiga malam selepas tamat majlis perkahwinan. Ia sebenarnya suatu pengorbanan yang dilakukan oleh pasangan untuk memastikan perkahwinan mereka dijauhi perceraian, kecurangan, dan kematian anak pada usia yang muda.
Pasangan pengantin hanya diberikan sedikit makanan dan minuman untuk mengurangkan keperluan penggunaan tandas, dan tingkah laku mereka akan diperhatikan beberapa ahli keluarga yang lain supaya peraturan yang ada tidak dilanggar.
Pengorbanan untuk kebahagiaan perkahwinan
Bagi orang luar, tradisi ini mungkin kelihatan seperti satu penderitaan. Manakan tidak, dipaksa untuk tidak mandi, membuang air, dan apa-apa sahaja aktiviti kebersihan selama tiga hari berturut-turut sebaik sahaja memulakan alam perkahwinan. Tetapi bagi suku kaum Tidong ini, mereka melakukannya dengan kepercayaan penuh bahawa ia akan membawa kebahagiaan kepada perkahwinan mereka kelak.
Selepas tempoh tiga hari itu tamat, pasangan pengantin dibenarkan membersihkan diri dan alam perkahwinan mereka boleh dimulakan.
Pengantin perempuan ditemani tujuh gadis
Sama seperti etnik-etnik lain di Borneo, terdapat pecahan dalam suku kaum Tidong yang kemudiannya bercampur dengan suku lain seperti Suluk, Banjar, dan Bugis. Apatah lagi dengan kedatangan Islam pada pertengahan kurun ke-18 dan ke-19, tradisi yang diamalkan mereka turut sama berubah.
Suku kaum Tidong yang beragama Islam mempunyai adat resam perkahwinan mereka yang tersendiri. Misalnya, pada malam berinai, bakal pengantin perempuan akan ditemani tujuh orang gadis yang memakai kain batik dan membawa lilin hidup di tangan mereka. Bakal pengantin akan dimandikan di hadapan mereka semua dengan memakai kain putih dan kuning.
Tujuh gadis ini juga menggalas tanggungjawab untuk melayan pengantin perempuan bagaikan seorang puteri.
Berjalan di atas hamparan kain kuning
Pada hari akad nikah, pengantin lelaki akan berjalan di atas hamparan kain kuning, yang asalnya dijadikan hantaran pada majlis pertunangan seperti yang diminta pihak keluarga pengantin perempuan. Tiang-tiang rumah juga dibalut dengan kain kuning ini.
Selepas akad nikah, pengantin lelaki perlu melepasi tujuh orang gadis yang memegang sehelai kain melintang merentasi bilik pengantin perempuan. Tamat upacara perkahwinan, pasangan pengantin tidak dibenarkan memijak tanah selama tiga hari, dan tidak dibenarkan turun ke air sampailah inai tiada lagi di jari.
Teruskan tradisi masyarakat Tidong
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa etnik-etnik bumiputera Sabah memang kaya dengan budaya dan adat mereka, dan kehadiran masyarakat Tidong menambahkan lagi warna-warninya negeri di bawah bayu ini.
Semoga tradisi perkahwinan ini tidak akan lapuk dek zaman.