Malaysia sememangnya kaya dengan pelbagai makanan istimewa terutama hidangan tradisional yang terdapat di setiap negeri. Ia menjadi sebahagian keunikan dan identiti bagi mengenali dengan lebih dekat kepelbagaian sosial dan budaya sesuatu masyarakat di negara ini.
Laksa tergolong dalam kategori mi sup dengan tambahan bahan makanan laut yang dimakan bersama dengan mi beras. Hanya dengan satu hirupan sup dapat memberikan rasa pedas, masam, manis, dan juga rasa segar daripada kuah laksa itu sendiri.
Laksa bukan sahaja terkenal di Malaysia, malah ia juga terdapat di beberapa buah negara sekitar Asia iaitu di Indonesia, Singapura, dan juga di Selatan Thailand.
Asal usul laksa
Asal-usul laksa bermula ketika China pertama kali mengunjungi dan berdagang dengan penduduk setempat di Kepulauan Melayu pada awal abad ke-15. Perkahwinan antara orang China dengan penduduk setempat telah mencipta satu komuniti yang menarik yang dikenali sebagai Peranakan.
Telah dikatakan bahawa para isteri pedagang-pedagang ini mulai menambahkan perisa mereka sendiri dalam sup tradisional China, kemudian lahirlah laksa.
Nama ‘laksa’ sendiri diambil daripada bahasa Sanskrit yang bermaksud ‘sepuluh ribu’. Sepuluh ribu merujuk kepada kiasan bahan-bahan yang dimasukkan untuk mencipta laksa.
Variasi laksa di Malaysia
Setiap jenis laksa mempunyai keunikannya yang tersendiri. Antara laksa yang terkenal di Malaysia merupakan Laksa Penang. Laksa Penang pernah dinobatkan kedudukan ketujuh dalam 50 Makanan Terbaik Dunia oleh CNN.
Laksa Penang disajikan dengan hirisan timun, daun salad, telur, dan dihidangkan dengan kuah isi ikan memberikan gabungan rasa masam manis dan pedas membuatkan makanan ini menarik minat penggemar laksa dan juga pelancong luar.
Laksa Johor pula mempunyai kisah menarik dan epik tersendiri. Ini kerana Laksa Johor adalah gabungan yang menggabungkan spageti Itali dan kuah gaya melayu. Makanan ini mempunyai sejarah lebih dari 100 tahun.
Keistimewaan laksa Johor ialah ia mempunyai sentuhan Barat kerana disajikan dengan spageti dan kuahnya juga lebih pekat jika dibandingkan dengan Laksa Penang.
Laksa juga mempunyai variasinya sendiri di bahagian Pantai Timur Malaysia yang dikenali sebagai Laksam. Hidangan ini disajikan dengan mi beras yang sedikit tebal dan rata yang mempunyai tekstur yang lebih kenyal.
Laksam selalunya dimakan pada waktu pagi dan dimakan dengan sambal bagi menaikkan rasa pedas dalam hidangan itu, memandangkan kuahnya manis dan juga berkrim.
Di seberang Laut China Selatan pula, Laksa Sarawak menjadi hidangan kegemaran masyarakat di sana dan juga orang luar. Kuah Laksa Sarawak dihasilkan menggunakan udang dan pes tersendiri dan dihidangkan dengan potongan ayam, telur dadar yang dihiris, dan juga kacang buncis.
Apa yang menarik dengan resepi Laksa Sarawak ini ialah ia disertakan lebih daripada 20 bahan yang berbeza, memberikan rasa yang kompleks dan aromatik.
Setiap negeri ada laksa tersendiri
Jelas dapat dilihat keunikan sajian ini, di mana setiap negeri memiliki versi laksa tersendiri walaupun sesetengah darinya mempunyai rasa yang hampir sama.
Tetapi, dengan kepelbagaian variasi laksa dan asal-usulnya yang kaya dengan sejarah menjadikannya kisah menarik tentang bagaimana makanan dapat menyatukan pelbagai budaya.