Miri, Sarawak kini terkenal dengan tarikan peranginannya, tetapi lebih daripada itu, ia juga merupakan tapak kelahiran industri petroleum di Malaysia.
Penemuan minyak di Sarawak pertama kali direkodkan pada tahun 1882 oleh Tuan Residen Baram yang pertama, iaitu Claude Champion de Crespigny yang dilantik oleh Rajah Kedua Sarawak Sir Charles Brooke. Namun semangat beliau untuk terus menerokai aktiviti carigali minyak dipandang sepi oleh Sir Charles berikutan tiada apa-apa tindakan yang diambil.
Prospek de Crespigny bahawa carigali minyak bakal membawa nama Sarawak ke status lebih tinggi diteruskan oleh pengganti beliau iaitu Dr. Charles Hole pada tahun 1888. Nota yang ditinggalkan de Crespigny mendorong beliau untuk meneruskan kajian tentang takungan minyak yang muncul di setiap resapan (seepage) yang ada di Baram. Beliau percaya dengan kemahiran dan cara yang betul, carigali minyak di Sarawak boleh diuruskan secara komersial.
Sekitar 1907, Dr. Hose menulis kepada Sir Charles untuk memohon persetujuan membentangkan peta kajiannya serta menunjukkan sampel minyak yang ada kepada mana-mana syarikat minyak. Sir Charles akhirnya menjemput Dr. Hose untuk berbincang mengenai hal itu. Walaupun Sir Charles tidak gemarkan idea-idea baru, beliau tetap bersetuju dengan cadangan Dr. Hose.
Maka bermulalah episod penerokaan industri minyak di Sarawak.
Dr. Erb, seorang pakar petroleum dari London, tiba untuk meneruskan hasil kajian Dr. Hose dengan lebih mendalam lagi. Ia bermula dengan penggalian tanah pada 10 Ogos 1910 di Bukit Kanada di Miri, di mana terletaknya telaga yang menjadi titik tolak sumber carigali minyak. Kejayaan inilah yang kemudiannya mengharumkan nama Shell.
Hari ini, telaga minyak tersebut dikenali sebagai Miri Well Number One ataupun dengan nama Grand Old Lady, dan ia dikenang sebagai monumen tinggalan sejarah.
Penaklukan Jepun dan pembangunan semula
Selepas kejayaan industri carigali minyak di Miri, produksi minyak ini mula mengalami kejatuhan sekitar tahun 1920-an. Maka penerokaan dilanjutkan ke kawasan antara Sungai Seria dan Sungai Berawa, sebelum sebuah lagi tapak carigali minyak ditemui di Seria pada tahun 1929. Segala perkakasan dan pemasangan yang digunakan di Miri dipindahkan ke Seria sejurus itu, sekali gus menjadikan sumbangan Miri kepada hasil minyak terus berkurang.
Selepas serangan ke atas Pearl Harbor pada tahun 1941, beberapa pesawat risikan dari Jepun mula kelihatan berlegar-legar antara Lutong dan Miri. Sedar akan usaha penaklukan yang sedang dilakukan oleh tentera Jepun, perkakasan dan alat yang ada dimusnahkan dan dihantar ke Singapura. Pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi turut sama dihantar pergi.
Jepun berjaya menakluki Sarawak dalam masa yang singkat, serta mengambil alih penghasilan carigali minyak di Miri. Pekerja-pekerja yang telah dihantar ke Singapura dibawa pulang semula untuk bekerja di bawah pengurusan Ryo Hai Kyu Sho. Hasil minyak melambung tinggi pada tahun 1944, namun orang awam hidup dalam kesengsaraan sepanjang pemerintahan Jepun. Namun kejatuhan Jepun kepada Pasukan Tentera Bersekutu pada 21 Jun 1945 perlahan-lahan memulihkan semula kehidupan mereka.
Sebulan sebelum program pembangunan semula carigali minyak pasca-peperangan disempurnakan iaitu pada penghujung Ogos 1946, telaga minyak pertama yang digali selepas tentera Jepun mengundur diri mencecah kedalaman 3,346 kaki dan mampu menghasilkan 420 tong minyak sehari. Kilang penapis di Lutong dibina semula, jalan-jalan dibaiki, dan kemudahan untuk para pekerja disediakan.
Perlahan-lahan dan penuh kepastian, industri petroleum Sarawak akhirnya pulih sepenuhnya.
Selepas pembentukan Malaysia pada 16 September 1963, penduduk Sarawak diberi hak untuk mentadbir negeri mereka sendiri, dan Bandaraya Miri terus berkembang maju sehingga menjadi pusat peranginan tarikan pelancong serta tempat di mana terletaknya Tapak Warisan Dunia UNESCO iaitu Taman Negara Gunung Mulu.