Umum mengetahui bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang berbilang kaum. Malah, disebabkan itu jugalah Malaysia dikenali di seluruh dunia kerana keharmonian masyarakat yang berkongsi pelbagai budaya.
Namun, baru-baru ini, keharmonian itu sepertinya mula goyah apabila ada perdebatan dalam kalangan rakyat di sosial media mengenai pengambilan budaya (cultural appropriation) dan penghargaan budaya (cultural appreciation).
Penyelewengan budaya
Istilah pengambilan budaya ini telah wujud sejak tahun 1980-an, ketika perbincangan kritikan mengenai perkembangan pasca jajahan Barat.
Pengambilan budaya, yang juga dikenali sebagai penyelewengan budaya (cultural misappropriation) adalah berlainan daripada asimilasi, akulturasi dan pertukaran budaya secara bersama kerana pengambilan budaya ini adalah salah satu bentuk penjajahan.
Perkara ini terjadi apabila sesuatu budaya daripada golongan minoriti di ambil oleh mereka daripada golongan dominan, dan budaya tersebut digunakan luar daripada konteks asal budaya tersebut.
Masalah ini sering kali terjadi dalam industri fesyen apabila mereka menggunakan sesuatu simbol budaya di landasan fesyen tanpa mengetahui maksud disebalik simbol budaya itu.
Konsep pengambilan budaya di Malaysia
Namun, yang menjadi persoalan, adakah konsep pengambilan budaya ini relevan untuk negara berbilang kaum dan pelbagai budaya di Malaysia?
Sejujurnya, konsep pengambilan budaya ini tiada hitam putih dan tiada garisan yang jelas mengenai konsep tersebut.
Tetapi seperti yang telah dinyatakan tadi, pengambilan budaya berlaku apabila sesuatu budaya itu digunakan di luar konteks asalnya dan tanpa mengetahui maksud disebalik budaya itu. Sebagai contoh, memakai pakaian tradisional sesuatu kaum untuk ke kelab dan parti.
Konsep itu berbeza dengan penghargaan budaya yang mana adalah menghormati budaya tersebut di samping mengenali asal-usul dan sejarahnya. Contoh mudah adalah memakai pakaian yang sesuai untuk sesuatu perayaan seperti memakai baju kurung di Hari Raya, memakai cheongsam atau samfu ketika perayaan Tahun Baru Cina dan memakai saree ketika perayaan Deepavali.
Jika dilihat daripada konteks tersebut, sepertinya Malaysia tidak ada konsep pengambilan budaya, selagi rakyat saling menghormati dan memahami budaya tersebut.
Sudah asimilasi sejak zaman berzaman
Tambahan pula, pakaian tradisi di Malaysia sudah menjadi asimilasi budaya sejak zaman berzaman kerana masyarakatnya yang terdiri daripada berbilang kaum.
Memetik kata-kata Fedtri Yahya, seorang pengacara dan penulis lirik, kepada Harian Metro, jika di peringkat antrabangsa seperti Miss World dan sebagainya, wakil negara tidak kiralah sama ada Cina atau India, kebiasaannya akan memakai busana yang melambangkan ciri-ciri budaya campuran yang ada di Malaysia.
Malah, sejak sekolah lagi pelbagai acara kebudayaan diadakan kerana Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk dan diketahui seluruh dunia bahawa negara ini terbina daripada perpaduan masyarakatnya.
Menghargai budaya merapatkan rakyat
Penghargaan budaya tidak akan memecah belahkan rakyat malah, akan merapatkan. Malaysia adalah sebuah negara yang menyambut setiap perayaan kaum yang ada di negara dan semua rakyat berpeluang untuk menyambutnya.
Jadi, setelah 63 tahun merdeka, rakyat sepatutnya menghargai dan memahami pelbagai kaum yang ada di Malaysia untuk keharmonian negara.