Kolam yang mewarnai hidup

Lukisan biasanya dihasilkan di atas kertas, tetapi hanya permukaan yang rata diperlukan untuk lukisan yang unik ini.

Kolam adalah sejenis lukisan unik yang dihasilkan hanya menggunakan tepung beras, kapur, serbuk kapur, serbuk batu atau serbuk berwarna semulajadi atau sintetik. Kolam terkenal di Sri Lanka dan India, namun, negara lain seperti Indonesia, Malaysia, dan Thailand yang mempunyai penganut agama Hindu ramai juga yang menghasilkan lukisan ini.

Pelbagai nama dan warna 

Di India Selatan dan Sri Lanka, Kolam dilukis oleh wanita setiap ahli keluarga Hindu di hadapan rumah mereka. Kolam mempunyai pelbagai nama samaran, antaranya ialah Aripan, Hase, Raongoli dan Muggulu dan nama ini mengikut daerah yang berbeza di India. Kolam yang lebih menarik dan menggunakan lebih banyak warna biasanya dilukiskan semasa majlis perayaan.

Kolam dihasilkan agar membawa kemakmuran di rumah. Setiap pagi, wanita akan melukis kolam di tanah dengan tepung beras putih. Sepanjang hari, lukisan itu mungkin akan dipijak, basah akibat hujan, atau ditiup angin, namun Kolam yang baru pula akan dilukis pada hari seterusnya. Permukaan akan dibersihkan dan diratakan supaya Kolam senang dihasilkan.

Haiwan adalah antara fakta menarik tentang kolam

Sebab utama kolam dihasilkan ialah untuk serangga dan burung di sekitar rumah. Agama Hindu menggalakkan penganutnya untuk memberi makanan kepada haiwan, jadi apabila kolam dibuat menggunakan tepung beras atau beras berwarna, ia merupakan sumber makanan untuk haiwan dan serangga tersebut. 

Selain mencantikkan kediaman dengan corak hiasan yang menawan, makanan dapat disediakan di hadapan pintu rumah. Jadi kebiasaannya akan ada serangga atau burung yang memakan beras kolam yang telah disediakan kerana itu adalah fungsi utama Kolam.

Kaum wanita menghasilkan Kolam.
Imej dari: Pinterest

Kolam juga dapat menonjolkan bakat wanita kerana melukis Kolam yang mempunyai corak yang sukar harus dilakukan dengan teliti serta menggunakan padanan warna yang menawan. Ternyata, wanita lebih terlatih dan teliti dalam kerja-kerja halus kerana mempunyai kesabaran yang tinggi berbanding lelaki dalam penghasilan Kolam.

Kolam terbesar di Malaysia sempena Deepavali 2018

Bersempena sambutan Deepavali pada tahun 2018, saluran Astro Seithigal telah memecah rekod dengan menghasilkan Kolam terbesar di Malaysia. Pencapaian itu menjadikan usaha itu layak mencatatkan nama di dalam Malaysia Book of Records sebagai “Seni Potret Terbesar diperbuat daripada Bijian Berwarna.”

Imej dari: Astro Awani

Naib Presiden Kanan Astro, Perniagaan Pelanggan India, Dr C. Rajamani menerima sijil anugerah yang disampaikan oleh wakil dari Malaysia Book of Records. Kolam tersebut direka dan dapat diihat wajah seorang wanita yang memegang lampu minyak.

Kolam tersebut pernah dipamerkan di IOI City Mall, Putrajaya pada tahun 2018. Kolam yang sangat besar ini dihasilkan menggunakan 20 orang tenaga kerja, berukuran 487.7 meter persegi dan mengambil masa yang amat lama iaitu 10 jam untuk disiapkan sepenuhnya.

Tradisi Kolam harus diteruskan

Penghasilan Kolam oleh masyarakat beragama Hindu harus diteruskan dan dikekalkan agar tradisi ini tidak ditelan zaman. Lukisan ini juga merupakan identiti mereka kerana ia sangat menyerlah lebih-lebih lagi pada musim perayaan.

Pelbagai acara seperti pertandingan melukis Kolam juga banyak diadakan di Malaysia dan ini adalah petanda yang baik untuk tradisi ini, kerana ramai lagi akan mengambil tahu dan lebih menghargai lukisan yang cantik ini.

Want More Story From Us?