Keris kebanggaan Melayu

Mungkin dilihat sebagai senjata biasa, namun ia merupakan warisan Melayu.

Keris merupakan satu senjata dan alat mempertahankan diri yang sangat unik di kalangan masyarakat Melayu pada zaman dahulu. Pahlawan dan pembesar tanah air mempunyai talian yang erat dengan keris kerana gandingan ini telah berjaya menentang anasir luar.

Dengan reka bentuknya yang lain daripada yang lain, sebilah keris digunakan sebagai senjata terakhir di medan peperangan. Walaupun pendek, ia sangat berbahaya dan sesiapa yang ditikam dengan keris pasti akan merana dan kecederaannya boleh membawa maut.

Keris ini dapat menunjukkan betapa hebatnya pemikiran orang Melayu pada zaman dulu, kerana setiap bahan, kaedah pembuatan, dan cara penggunaannya sangat terperinci dan bersebab. Dengan kata lainnya, sebilah keris bukan sesuatu senjata yang boleh dipandang remeh.

Pembuatan dan penjagaan

Menghasilkan sebilah keris merupakan perkara yang tidak mudah. Kadang-kala, sebanyak 17 logam yang berbeza digunakan dalampembuatan keris, dan setiap logam ini mempunyai ciri-ciri khas. Antara logam yang digunakan ialah ‘Pulasani’ dan ‘Pamor’.

Penghasilan sebuah keris pula mengambil masa paling kurang dua minggu, tetapi mampu juga berlanjutan hingga sebulan bergantung kepada kualiti dan keunikan keris tersebut. Sebelum memulakan proses pembuatan pula, ayat suci Al-Quran harus dibacakan supaya pembuatan berjalan dengan lancar. Sesetengah orang pula membaca doa-doa tertentu supaya keris tersebut ‘bersemangat’.

Terdapat juga cara untuk menjaga jangka hayat sebilah keris, iaitu dengan mengasapkan keris tersebut. Asap yang biasa digunakan untuk proses ini ialah asap kemenyan, untuk mengelakkan keris tersebut daripada berkarat.

Walau bagaimana pun, proses ini bukanlah satu proses pemujaan seperti yang ramai salah anggap.

Keris Taming Sari

Keris ‘legenda’ dan keris yang paling terkenal dalam sejarah masyarakat Melayu sudah pastinya Keris Taming Sari. Keris ini pernah menjadi hak milik pahlawan terhandal Tanah Melayu iaitu Hang Tuah yang berjuang demi Kesultanan Melayu Melaka.

Keris Taming Sari.
Imej dari: Aswadz.blogspot

Keris ini pada mulanya milik Taming Sari, seorang pahlawan Majapahit. Ada sumber mengatakan keris ini tidak dihasilkan menggunakan logam seperti keris yang lain, tetapi keris ini asalnya merupakan seekor ular, yang ditangkap oleh pahlawan Majapahit tersebut untuk beradu tenaga.

Hang Tuah telah berjaya menewaskan Taming Sari dalam sebuah perlawanan yang mengambil masa tiga hari. Keris ini merupakan keris sakti kerana mampu membuat pengguna tersebut ‘kebal’. Hang Tuah berjaya mengalahkan Taming Sari setelah menukar keris itu dengan keris itu beliau, namun, Taming Sari telah meletakkan sumpah ke atas keris itu sebelum meninggal.

Kegunaan lain keris

Selain digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri di medan peperangan, keris juga merupakan lambang kedaulatan dan kebesaran sesebuah kerajaan. Keris panjang Diraja ini disaluti dengan emas dan ‘mata’ keris ini adalah gandingan 11 bilah keris dari setiap negeri.

Ada juga yang percaya bahawa keris boleh digunakan sebagai pendinding untuk rumah. Biasanya keris yang digunakan dengan niat sebegini berkait rapat dengan jin, dan ‘pendinding’ ini berfungsi untuk memberi keselamatan kepada penghuni dan menghalau anasir-anasir jahat.

Sebagai kesimpulan, keris merupakan sesuatu objek yang tersirat seribu makna, daripada sejarah hinggalah bahan yang digunakan. Keris yang diwarisi dari zaman dahulu dan juga keris yang digunakan dalam upacara kesultanan haruslah dijaga sebaiknya, kerana ia juga merupakan identiti dan keunikan senjata bagi masyarakat Melayu dan juga negara Malaysia.


Want More Story From Us?