Amalan mentafsir mimpi sudah diamalkan sejak turun-temurun. Walaupun kebarangkalian untuk mimpi tersebut menjadi kenyataan amat tipis, segelintir masyarakat di Malaysia masih lagi percaya bahawa mimpi adalah satu mesej penting yang mempengaruhi kehidupan seseorang.
Psikologi mengatakan mimpi datang daripada emosi kehidupan sebenar seseorang yang membantu individu tersebut melihat perkara yang positif apabila bangun daripada tidur.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat mimpi adalah satu idea yang membolehkan individu tersebut mengatur keinginan yang tidak dapat dilaksanakan di dunia realiti.
Komunikasi daripada kuasa ghaib
Bagi masyarakat Iban, mimpi dilihat sebagai satu medium komunikasi daripada Tuhan atau pun kuasa ghaib untuk menyampaikan suatu ramalan atau petanda. Selain itu, mimpi juga mempengaruhi aktiviti yang bakal dilakukan oleh mereka.
Mereka percaya tanpa sebuah mimpi, kejayaan dan kemakmuran sebenar Iban adalah mustahil untuk dicapai.
Mimpi dan kelahiran semula
Bagaimana pula masyarakat Hindu menjelaskan mimpi? Masyarakat Hindu percaya mimpi adalah salah satu cara yang menghubungkan masa lalu dan masa depan yang akan datang dalam kehidupan mereka.
Sesetengah mimpi merupakan petunjuk daripada kehidupan lampau, atau pun kelahiran semula (rebirth). Setiap karakter yang hadir dalam mimpi mempunyai maksud karakter yang berbeza berdasarkan kepercayaan mereka.
Mendapatkan kehidupan yang lebih baik
Bagi masyarakat Cina, mentafsir mimpi adalah peluang untuk meraih kejayaan atau tuah dalam kehidupan mereka. Mentafsir mimpi berupaya membantu individu tersebut membuat keputusan atau perubahan yang positif dalam kehidupan.
Amalan mentafsir mimpi telah dilakukan oleh Zhougong (The Duke of Zhou) dalam bukunya “Zhougong’s Dream Dictionary” yang telah memberi tafsiran mengenai semua jenis mimpi termasuklah bermimpi Tuhan dan semangat ghaib, benda hidup, dan sebaliknya.
Mimpi menurut Islam
Masyarakat Melayu berpegang pada ajaran Islam bahawa mimpi yang benar (mimpi yang baik) itu datang daripada Allah, mimpi yang buruk itu datang daripada syaitan dan mimpi yang terkesan daripada kehidupan realiti sehingga dibawa ke alam mimpi.
Namun, tidak dinafikan masih ada segelintir daripada mereka yang percaya sesetengah mimpi membawa mesej tertentu, contohnya jika si dara bermimpi dipatuk ular maka dia akan dipinang oleh seseorang. Mimpi tersebut masih lagi dipercayai turun-temurun.
Mimpi adalah sebahagian daripada keinginan seksual
Di negara Barat, Sigmund Freud sangat terkenal dengan ilmunya dalam mentafsir mimpi.
Mimpi biasanya dilihat sebagai aktiviti mental ketika tidur yang membolehkan minda untuk bertindak terhadap apa-apa pemikiran dan kemahuan yang belum diperoleh. Namun, Freud melihat mimpi sebagai elemen yang muncul daripada ‘keinginan seksual’ (sexual desires) dan ‘simbolisme’ (symbolism) daripada individu itu sendiri.
Pelbagai tafsiran dihasilkan bagi menjelaskan setiap mimpi yang hadir dalam tidur seseorang itu. Namun kewujudan mimpi masih lagi suatu yang misteri dan setiap individu menjelaskan mimpi mengikut kepercayaan dan kefahaman masing-masing.
Bukan semua mimpi itu indah, malah 5% daripada populasi dunia mengalami mimpi ngeri (nightmares) sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu. Walau apa pun tafsirannya, mimpi ialah suatu aspek yang sangat kompleks dalam kehidupan seseorang manusia dan sebab itulah sehingga kini satu soalan penting yang menjadi asas kepada topik berkenaan mimpi secara saintifiknya masih belum terjawab.
Kenapa manusia bermimpi?