Kenan disebabkan langgar pantang larang

Tidak dapat dinafikan bahawa masyarakat Melayu memang terkenal sebagai antara bangsa yang mempunyai banyak pantang larang dan peraturan yang tersendiri. Aturan yang diwarisi secara turun-temurun itu kadang-kala tidak mengambil dari segi prespektif agama Islam, sama ada ianya rasional atau tidak.

Kenan adalah antara pantang larang yang berkait dengan masyarakat Melayu. Ianya berkait rapat dengan pantang larang yang perlu dijaga sewaktu tempoh kehamilan ibu, sama ada pihak ibu itu sendiri ataupun bapa.

Menurut Kamus Dewan, perkataan Kenan mempunyai dua maksud – yang pertama adalah tanda atau cacat pada kulit, anggota, tubuh dan lain-lain semenjak lahir dan yang kedua, adalah keganjilan tertentu kepada kelakuan, bahasa tubuh atau gerak geri yang meyerupai binatang, seperti salakan anjing dan menyerupai kera.

Perbuatan ibu bapa

Dikatakan punca kenan ini terjadi kepada anak adalah kerana perbuatan ibu bapanya yang telah membunuh, menyeksa atau melakukan sesuatu sehingga lupa akan anak yang dikandung itu.

Antara pantang larang yang dikaitkan dengan kenan bagi ibu yang hamil adalah tidak boleh mencaci atau bercerita tentang kecacatan jika tidak mahu bakal anaknya dilahirkan cacat. Suami juga tidak boleh mencucuk sesuatu atau pergi memancing kerana dikhuatiri anaknya akan lahir dengan bibir sumbing.

Keluarga atau orang yang mengandung juga tidak boleh menyeksa atau membunuh binatang. Ibu yang sedang hamil tidak boleh terperanjant atau mengenangkan sesuatu benda keterlaluan, kalau tidak, anak dalam kandungan akan terkena kenan atau cacat.

Sebenarnya ada banyak lagi pantang larang ketika hamil yang dikaitkan dengan kenan dan rata-ratanya merujuk kepada perbuatan atau kelakuan ibu bapa sepanjang tempoh kehamilan. Selain daripada untuk mengelak perkara buruk terjadi kepada bayi dalam kandungan, ia juga dapat menjaga keharmonian alam sekitar tanpa menzalimi makhluk lain.

Faktor saintifik

Dalam masyarakt Melayu, ada beberapa jenis kenan yang pernah berlaku dalam negara, sehingga pernah mendapat liputan akhbar seperti Harian Metro dan Kosmo. Meskipun segelintir masyarakat mempercayai bahawa kenan itu terjadi oleh kerana perbuatan ibu bapa namun, keadaan atau kecacatan yang dialami oleh anak mereka sebenarnya adalah kerana beberapa faktor saintifik.

Sebagai contoh, kenan monyet, yang mana seluruh tubuhnya mengalami pertumbuhan bulu yang luar biasa terutama di muka dan bahu. Dalam istilah saintifik, kenan monyet digelar sindrom Ambras, yang mana adalah masalah genetik yang jarang berlaku. Dikatakan punca utama kepada penyakit ini adalah kerana masalah kromosom dan setakat ini, masih belum wujud sebarang rawatan khusus terhadap penyakit ini.  

imej dari: Disease pictures

Selain itu, kenan ikan yang dirujuk kepada bayi mempunyai bibir sumbing sejak lahir, bukanlah oleh kerana perbuatan bapa mereka yang pergi memancing. Sebaliknya, perkara ini terjadi adalah kerana faktor genentik dan juga faktor lain seperti ubat-ubatan, penyakit atau infeksi yang dialami ibu ketika hamil. Pengambilan minuman beralkohol atau merokok ketika hamil turut menyumbang kepada kejadian ini. Risiko bayi untuk terkena bibir sumbing adalah tinggi jika ibu bapa atau saudara kandung pernah mengalami penyakit ini.

imej dari: Margaret Vincent / stocksy
Hukum syirik

Walaupun ada beberapa kes kenan berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu memang ada dan benar-benar belaku namun, ia tidak boleh dikaitkan semata-mata oleh kerana perbuatan ibu bapa yang melanggar pantang larang sewaktu tempoh kehamilan.

Para pengkaji menyifatkan kepercayaan kepada kenan termasuk dalam hukum syirik. Hal ini kerana kepercayaan kepada kenan telah menimbulkan ragu-ragu dalam melakukan aktiviti harian. Keyakinan di dalam hati yang mengatakan bahawa ada kuasa lain yang dapat mempengaruhi masa depannya sama ada baik atau buruk, boleh membawa kepada syirik.

Meskipun percaya kepada pantang larang yang diamalkan oleh nenek moyang adalah diharuskan namun, jika ia bertentangan dengan syarak maka ia diharamkan dan sepatutnya dielakkan.

Walaupun kepercayaan kenan itu adalah syirik, perbuatan menzalimi binatang juga adalah dilarang dalam syariat Islam. Oleh itu, ibu bapa yang sedang melalui proses kehamilan, digalakan untuk menjaga adab dalam interaksi antara manusia dan juga makhluk-makhluk lain.

Secara kesimpulannya, adat zaman dahulu ada baik dan buruknya tetapi janganlah terlampau taksub sehingga menyebabkan berlakunya syirik. Bak kata pepatah, buang yang keruh, ambil yang jernih.

Want More Story From Us?