Setiap manusia pasti pernah bermimpi. Kadang kala, mimpi itu terasa seperti nyata. Ada kajian yang mengatakan bahawa mimpi boleh dikawal dan kebolehan tersebut ada pada satu kaum Orang Asli di Malaysia iaitu kaum Senoi.
Kebolehan kaum Senoi itu telah diberi gelaran sebagai Teori Mimpi Senoi oleh ahli akademik di Amerika Syarikat. Teori Mimpi Senoi ini adalah satu dakwaan yang mengatakan bahawa manusia boleh mengawal mimpi mereka untuk mengurangkan ketakutan dan meningkatkan kebahagiaan.
Digelar ‘Kaum Mimpi’
Sumber utama yang menceritakan tentang penggunaan mimpi dalam kaum Senoi adalah hasil kajian daripada Kilton Stewart, seorang ahli atropologi Amerika Syarikat. Stewart pertama kali mendapat tahu mengenai kaum Senoi ketika persinggahannya di Malaya pada tahun 1934.
Antara salah satu karyanya yang sering diperkatakan adalah sebuah buku bertajuk Pygmies and Dream Giants yang menceritakan tentang hasil kajiannya yang dilakukan di Malaysia tentang budaya mimpi kaum Senoi atau lebih dikenali sebagai kaum Sakai oleh penduduk tempatan.
Antara tiga kaum orang asli utama Malaysia
Kaum Senoi adalah kaum orang asli yang tinggal di Semanjung Malaysia. Antara penempatan mereka yang terkenal ialah di Jeram Kawan, Perak dan juga di beberapa negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Selangor dan Melaka.
Ada enam kumpulan yang berbeza iaitu Semai, Temiar, Mah Meri, Jah Hut, Semaq Beri, dan Cheq Wong. Mereka mempunyai populasi yang dianggarkan sebanyak 60 000 orang, menjadikan kaum ini antara satu daripada tiga kaum orang asli utama di Malaysia.
Perkara menarik tentang kaum Senoi yang sering diperkatakan ialah tentang kebolehan dan kemahiran mereka tentang lucid dream atau mimpi nyata sehingga mendapat gelaran sebagai Kaum Mimpi.
Mengawal mimpi diajar sejak kecil
Melalui penulisan tesis kedoktoran Stewart pada tahun 1948, beliau membentangkan hujah yang mengatakan keupayaan kaum Senoi dalam mengawal mimpi dan bagaimana mereka mendidik anak-anak mereka untuk menguasai kebolehan yang sama.
Pada setiap pagi, keluarga kaum Senoi akan berkumpul untuk sarapan dan kanak-kanak akan menceritakan mimpi mereka kepada ibu bapa dan penduduk yang lebih tua di kampung mereka. Kebiasaannya, mereka akan mentafsirkan mimpi yang dialami dengan menganalisis plot atau kisah yang berlaku dalam mimpi itu.
Tiga prinsip asas yang dipraktikkan
Kaum Senoi mempunyai tiga prinsip asas yang mereka pratikkan dan diajar kepada anak-anak mereka sewaktu perbincangan pagi itu. Prinsip pertama adalah untuk sentiasa menghadapi dan menguasai bahaya dalam mimpi. Jika ada haiwan keluar dari hutan, pergi ke arahnya dan jika ada seseorang menyerang, lawan balik.
Prinsip kedua adalah untuk sentiasa bergerak ke arah situasi-situasi yang menyeronokkan dalam mimpi. Jika sedang menikmati sensasi menyeronokkan dalam keadaan terbang atau berenang, tenang dan hadapinya dengan sepenuh hati.
Prinsip ketiga pula ialah untuk sentiasa menjadikan mimpi itu mempunyai hasil yang positif dan kreatif. Digalakkan untuk cuba mendapatkan hadiah dari mimpi tersebut sama ada dalam bentuk puisi, lagu, tarian, lakaran, atau lukisan.
Disebabkan telah diajar sejak kecil, anak-anak kaum Senoi telah biasa menghadapi apa sahaja ketidakselesaan dalam mimpi. Bagi mereka, mimpi juga adalah salah satu proses pembelajaran.
Kebolehan yang dipertikai
Namun begitu, dakwaan kaum Senoi mempunyai kebolehan mengawal mimpi ini telah dipertikaikan. Ada beberapa ahli akademik lain telah datang ke Malaysia untuk mengesahkan dakwaan tersebut tetapi hampa apabila ia tidak dapat dibuktikan.
Meski pun kaum Senoi mengetahui tentang konsep mimpi nyata, mereka tidak ada bukti atau teknik-teknik khas yang membuatkan mereka boleh mengawal mimpi secara berkumpulan atau individu melainkan pemberitahuan secara lisan.
Antara ahli akademik yang mempertikaikan dakwaan Stewart adalah George William Domhof, Profesor Psikologi dan Sosiologi dari Amerika Syarikat yang juga mengkaji kaum Senoi di Malaysia.
Menurut Domhof, Stewart adalah seorang penglipur lara yang salah faham tentang psikologi dan praktis mimpi kaum Senoi dan memasukkan ideanya yang tersendiri. Kaum Senoi sudah tentu ada teori dan praktis mimpi tetapi ia tidak sama dengan versi Amerika seperti yang didakwa.
Kajian tentang mimpi ini adalah satu kajian yang abstrak dan sukar untuk dibuktikan. Memang benar tiada bukti yang dapat mengesahkan kebolehan kaum Senoi, tetapi amalan budaya tentang mimpi ini memang wujud di seluruh dunia.