Mengikut cerita orang dulu-dulu, Tasik Chini di Pekan, Pahang telah menjadi ‘rumah’ kepada seekor naga sejak berdekad-dekad lamanya. Malah, ada juga yang percaya naga yang mendiami Tasik Chini sebenarya lebih daripada seekor.
Walaupun naga secara umumnya dianggap sebagai haiwan yang hanya wujud dalam kisah-kisah dongeng iaitu sebagai makhluk bersayap, bertanduk, berkaki empat, dan berupaya menghasilkan api melalui mulutnya, ada juga segelintir yang percaya bahawa ia betul-betul wujud dan hanya memunculkan diri kepada mereka yang terpilih.
Kisah Naga Sisek Emas dan Naga Sisek Perak
Cerita legenda tentang Tasik Chini banyak menyebut tentang dua ekor naga yang dikatakan telah dimakan sumpahan tasik itu pada zaman dahulu, iaitu Naga Sisek Emas dan Naga Sisek Perak. Naga Sisek Emas dipercayai sebagai jelmaan seorang lelaki, manakala Naga Sisek Perak pula adalah seorang perempuan.
Sekitar tahun 70-an dan 80-an, jelmaan kedua-dua ekor naga dapat dilihat di kawasan tasik terutamanya ketika musim banjir. Kepercayaan ini dikuatkan lagi dengan cerita seorang pelancong England yang pergi menyelam di kawasan jeti.
Sebaik sahaja tiba di dasar tasik, dia ternampak pagar batu. Pelancong tersebut kemudian menyusuri pagar batu itu sehingga terjumpa pintu pagar utama. Di sebalik pintu utama pula, dia ternampak sepasang mata berwarna merah.
Orang ramai percaya bahawa sepasang mata merah itu adalah milik salah satu daripada dua ekor naga yang mendiami tasik itu.
13 tahun menderita penyakit kerana ‘disumpah’ naga
Selain itu, antara kisah yang paling banyak disebarkan dalam kalangan orang tempatan ialah tentang seorang peneroka Felda Chini 2 yang disumpah dengan sejenis penyakit kulit.
Bahasan Abdullah yang kini berusia 51 tahun pernah terserempak dengan seekor naga yang menghuni Tasik Chini pada tahun 1986. Ketika itu, dia keluar memancing di kawasan Laut Gumum dengan menaiki sampan apabila dua ekor ular tersekat di jaringnya. Dia bertindak membunuh kedua-dua ular dan mencampakkannya ke dalam laut.
Semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan bot, Bahasan ternampak tiga lengkungan badan seekor naga berwarna hitam muncul di permukaan air. Secara tiba-tiba, ombak menjadi sangat kuat sehingga memaksa dua orang lelaki warga Indonesia yang sedang mandi di tasik untuk segera meninggalkan tempat itu.
Sejak itu, Bahasan dijangkiti suatu penyakit aneh. Badannya menjadi lemah dan dipenuhi kudis berair yang berbau hanyir. Hampir 30 orang bomoh ditemui dan dia juga pernah dimasukkan ke hospital, tetapi tiada ubat yang mampu mengubati penyakitnya. Sehinggalah seorang bomoh dari Terengganu menjelaskan bahawa Bahasan perlu mengubati penyakitnya itu sendiri.
13 tahun menanggung penderitaan, akhirnya Bahasan kembali ke tasik yang sama, di mana dia terjumpa dua ekor ular yang dibunuh itu. Sambil berdoa, air tasik dicampurkan dengan tanah sebelum disapukan ke seluruh badan. Cara yang sama dilakukan setiap hari, dan perlahan-lahan dia mula sembuh.
Bahasan sedar ramai yang tidak percaya dengan ceritanya, tapi dia masih teguh dengan pendirian bahawa memang ada sekurang-kurangnya seekor naga yang menghuni Tasik Chini dan ‘sumpahan’ yang ditanggung selama 13 tahun boleh dijadikan bukti.
Kisah dongeng yang dijadikan teladan
Mungkin ramai masyarakat pada hari ini yang menganggap kisah-kisah berkenaan naga Tasik Chini hanyalah rekaan semata-mata, tetapi itu tidak bermakna tiada walau secebis kesahihan di sebaliknya. Sama ada ia rekaan atau kisah benar, pastinya ia boleh memberi sedikit pengajaran kepada orang ramai, contohnya untuk kanak-kanak tidak bermain-main berdekatan tasik kerana dikhuatiri bakal berlaku sesuatu yang buruk.
Walau apa pun, kisah legenda ini tentu akan terus dikenang sebagai lambang Tasik Chini dalam sejarah Malaysia.