Jata Negara Harus Dimartabatkan

Baru-baru ini, isu mengenai lambang tanah air, iaitu Jata Negara telah mendapat perhatian dari rakyat Malaysia.

Buku berjudul ‘Rebirth: Reform, Resistance & Hope in New Malaysia’ karya Kean Wong menimbulkan kontroversi dan kemarahan rakyat di Malaysia. Terbitan kulit buku tersebut mengandungi gambar yang serupa dengan Jata Negara; visual ini mempunyai muka seorang wanita pada tengah, seorang bayi kecil bogel pula disunting bersama matahari serta harimau pada kedua-dua bahagian gambar tersebut mengandungi muka manusia dan bahagian cogan kata pula terdapat seekor buaya merah.

Mengikut mengikut Perlembagaan, adalah termaktub di Akta 414, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, penyalahgunaan dan pengubahsuaian Jata Negara oleh mana-mana pihak tanpa kebenaran adalah kesalahan serius.

Hal ini telah memberangkan pelbagai pihak yang berpendapat bahawa buku tersebut adalah tidak sensitif, malah memperlekehkan identiti kebangsaan negara. KDN telahpun mengharamkan buku tersebut di Malaysia. Sejak insiden tersebut, Kean Wong, penulis buku itu dan Chong Ton Sin telah meminta maaf secara terbuka.

Modifikasi Jata Negara adalah perbuatan yang tidak sensitif dan memperlekehkan identiti kebangsaan negara.

Rakyat Malaysia pula berasakan kulit muka buku tersebut adalah keterlaluan, dan bersifat biadap kepada negara. Mereka turut berpendapat bahawa akan ada cara lain untuk memaparkan kreativiti dan satira (satire) tanpa mencemarkan imej Jata Negara.

Jata Negara (Coat of Arms) Malaysia mempunyai ciri-ciri dan nilai negara yang unik. Bintang yand berkedudukan ditengah Jata Negara menandakan 13 buah negeri seperti mana yang dikandung dalam Persekutuan Malaysia, termasuklah Kerajaan Persekutuan sekali. Seterusnya, bulan yang melingkupi bintang tersebut mewakili agama Islam sebagai agama rasi di Malaysia. Di bawah itu, terdapat lima bilah keris yang mewakili Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu negeri Johor, Kelantan, Perlis, Terengganu dan Kedah.

Jika dilihat pada belah kiri Jata Negara, kita dapat perhatikan pokok Pinang, yang sudah tentunya melambangkan Negeri Pulau Pinang, manakala di sebelah kanan jata pula terkandung pokok Melaka, yang melambangkan negeri Melaka. Pokok-pokok dua buah negeri ini mewakili Negeri-negeri Selat.

Seterusnya, Negeri-negeri Melayu Bersekutu asal pula dilambangkan oleh empat warna di tengah jata, iaitu, merah, putih, hitam dan kuning. Hitam dan putih melambangkan negeri Pahang, merah dan kuning melambangkan negeri Selangor, hitam, putih dan kuning melambangkan negeri Perak, merah, hitam dan kuning adalah warna melambangkan Negeri Sembilan .

Di bawahnya pula boleh dilihat lambang Sabah dan Sarawak; disebelah bahagian kiri, terdapat visual laut yang melambangkan Sabah manakala disebelah kanan terdapat visual burung Kenyalang untuk melambangkan Sarawak. Pada tengahnya pula mengandungi bunga Raya atau Hibiscus rosa-sinensis, iaitu bunga kebangsaan dan kebangaan negara.

Seterusnya, gambaran harimau, atau secara spesifiknya, Harimau Malaya digunakan untuk melambangkan keberanian. Akhir sekali, cogan kata dibawahnya ‘Bersekutu Bertambah Mutu’; ditulis juga dalam tulisan Jawi di sebelah kanan. Latar belakang cogan kata adalah warna kuning, iaitu warna Diraja.

Jata Negara Malaysia adalah inklusif dan merangkumi identiti setiap negeri serta wilayah di negara ini. Banyak usaha telah dicurahkan dalam pembikinan jata ini sejak 1965. Jata negara adalah kebangaan kita. Janganlah kita sebagai rakyat Malaysia memperlekehkan identiti kebangsaan kita. Sebaliknya, junjunglah martabat jata ini sebagai tanda penghormatan kepada negara.

Want More Story From Us?