Istimewanya kurma

Dalam banyak-banyak buah, buah kurma yang paling mendapat perhatian apabila Ramadan tiba. Apa istimewanya buah kurma ini?

Sebelum Ramadan tiba, antara persediaan yang dilakukan orang ramai sudah pastilah membeli buah kurma.

Walaupun berbuka puasa dengan buah kurma dipercayai bermula sebagai tradisi masyarakat Muslim di Timur Tengah, kurma telah menjadi praktis yang juga diamalkan oleh rakyat Malaysia di bulan Ramadan, malah menjadi ikutan golongan Muslim tanpa mengira negara.

Berbuka puasa dengan kurma merupakan sunnah Nabi Muhammad saw

Ramadan adalah bulan rahmat yang dikhaskan untuk ibadah, keluarga, komuniti, dan amal sedekah. Dalam erti lainnya, Ramadan adalah masanya umat Islam mendekatkan diri mereka dengan agama.

Antara salah satu caranya ialah mengikut sunnah Nabi Muhammad saw, dan ini termasuklah berbuka puasa dengan tiga biji kurma (khajur) dan segelas air. Di samping itu, buah kurma juga disebut sebanyak 20 kali di dalam kitab suci al-Quran, dan ia juga dipraktikkan dalam tradisi tahneek, iaitu mencalit sedikit kurma pada lelangit bayi yang baru lahir.

Oleh sebab Ramadan bermula sebagai memperingati peristiwa turunnya al-Quran, maka tidak hairanlah jika sunnah Pesuruh Allah swt ini menjadi ikutan, lebih-lebih lagi apabila buah kurma itu sendiri mengandungi pelbagai khasiat yang boleh mendatangkan kebaikan kepada mereka yang berpuasa.

Kurma kaya dengan karbohidrat yang memperlahankan pencernaan

Muslim berpuasa dari mula terbit fajar sehingga terbenam matahari. Oleh itu, mudah untuk seseorang mendapat masalah kesihatan ringan seperti sakit kepala, paras gula yang rendah, dan kelesuan. Apabila makanan pertama yang diambil ketika berbuka ialah kurma, kandungan serat, gula, magnesium, kalium, dan karbohidrat yang ada mampu membantu mengekalkan kesihatan tubuh badan.

Selain itu, kurma juga kaya dengan karbohidrat yang boleh memperlahankan proses pencernaan dalam badan, tidak seperti makanan bergoreng dan berlemak yang dicerna dengan cepat dan membuatkan seseorang itu cepat lapar semula. Secara tidak langsung, kurma juga boleh mengelakkan pengambilan makanan yang berlebihan.

Tambahan pula, kurma bukan sahaja baik untuk dijadikan makanan ketika berbuka tetapi juga hidangan ringkas ketika bersahur.

Menjadi buah tangan sempurna antara masyarakat

Sudah menjadi tradisi rakyat Malaysia yang gemar mengadakan jamuan makan-makan untuk meraikan bermacam-macam jenis sambutan, seperti rumah terbuka, majlis perkahwinan, atau sekadar himpunan ringkas. Ia juga sudah menjadi amalan untuk saling bertukar-tukar buah tangan pada sesuatu majlis atau apabila tetamu datang melawat.

Justeru, apabila Ramadan hampir tiba, buah kurma menjadi buah tangan yang sempurna untuk diberikan kepada ahli keluarga jauh dan dekat, rakan-rakan, dan juga jiran tetangga.

Untuk mereka yang tidak mampu membeli kurma sendiri pula, hadiah yang diterima pastinya lebih bermakna.

Imej dari: dubai-online.com

Ramadan menggalakkan perlakuan yang mendatangkan pahala dan faedah kepada semua umat Muslim. Walaupun mungkin seseorang itu tidak mampu beribadah lebih seperti mereka yang lain kerana masalah kesihatan, setidak-tidaknya memakan buah kurma mampu sedikit sebanyak menampung apa yang kurang.

Want More Story From Us?