Institusi Beraja di Malaysia

Malaysia adalah antara negara di dunia yang masih mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Ia merupakan warisan sistem politik yang masih kekal sehingga ke hari ini.

Institusi Raja di Malaysia adalah satu institusi traditional yang sedia ada sebagai teras sistem pemerintah dan pentadbiran sesebuah kerajaan Melayu, yang telah muncul berabad-abad lamanya.

Sistem Pemerintahan Kukuh

Institusi raja telah membentuk satu sistem pemerintahan yang kukuh dalam sejarah tamadun manusia. Kedudukan institusi raja bertunjang kepada rakyat yang mendaulatkan raja mereka. Bermula dengan Kesultanan Melayu Melaka sebagai kuasa pemerintahan yang meletakkan Raja memerintah dan mentadbir kerajaan. Kesinambungan dari sistem ini telah menubuhkan beberapa negeri di Tanah Melayu yang diperintah oleh Raja-raja Melayu.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka, institusi pemerintahan beraja diteruskan dengan beberapa pindaan, disesuaikan konsep Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Sistem Raja Berperlembagaan 

Menurut konsep Raja Berperlembangaan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Negara. Perlembagaan Persekutuan telah digubal dengan mengadakan syarat-syarat sedemikian untuk membolehkan pelaksanaan sistem ini. Salah satu kriteria sistem Demokrasi Berparlimen adalah pembahagian kuasa kepada tiga bahagian di dalam pemerintahan iaitu Perundangan, Kehakiman dan Eksekutif (Pentadbiran).

Dalam sistem Raja Berperlembagaan, Raja harus bertindak mengikut peruntukan perlembangaan yang telah ditetapkan, sekali gus menutup ruang kepada kuasa mutlak. Menerusi sistem Raja Berperlembagaan, DYMM Raja-Raja bagi negeri-negeri hendaklah bertindak atas nasihat Majlis Eksekutif yang diketuai oleh Menteri Besar.

Sementara di peringkat Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Jemaah Menteri yang diketuai oleh Perdana Menteri dalam semua perkara kecuali dalam beberapa perkara yang disebut sebagai kuasa budi bicara.

Raja dan Rakyat

Institusi Raja tidak dapat dipisahkan dengan masyarakat Melayu. Kedua-dua pihak, sama ada Raja mahupun rakyat saling memerlukan antara satu sama lain.

Jatuh bangun sesebuah kerajaan seperti dibuktikan dalam sejarah kerajaan atau kesultanan Melayu, terletak kepada kerjasama antara kedua-duanya.

Justeru, Raja yang memerintah memerlukan kebijaksanaan, manakala rakyat wajar memberikan ketaatan kepada Raja atau Sultan bagi memastikan ketahan dan keunggulan sesebuah kerajaan.

Institusi Raja juga telah diterima sebagai simbol perpaduan. Menerusi Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 153 iaitu menjaga kedudukan orang-orang Melayu tanpa mengabaikan kedudukan dan kepentingan bangsa lain.

Ini bermaksud, Raja bukan hanya Raja kepada sesuatu bangsa atau golongan tertentu sahaja. Raja adalah payung kedaulatan negara untuk memberi naungan saksama kepada setiap warga tanpa mengira kaum, agama dan politik. Raja yang bersemayam di puncak struktur pemerintahan merupakan lambang kuasa dan simbol perpaduan.

Masih Relevan

Kewujudan sistem beraja dan kedudukan Raja-Raja Melayu hari ini masih relevan, sekalipun berlaku perkembangan dan peredaran zaman.

Ini kerana Institusi Raja adalah sebagai kesinambungan agama, budaya, adab resam dan cara hidup. Kerajaan dan dasar boleh bertukar setiap lima tahun, namun ada beberapa perkara perlu dikekalkan untuk kestabilan dan kesinambungan agama, identiti, budaya dan cara hidup masyarakat di negara ini. Sejak berkurun lamanya budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia adalah cara hidup budaya Melayu dan Islam.

Sikap tekun memajukan diri, berkongsi kekayaan dan membuat penegasan dalam beberapa perkara adakalanya sangat diperlukan. Walaupun kedudukan Institusi Raja dalam Perlembagaan dan sistem perundangan negara agak menyerlah, rakyat tidak boleh mengharapkan apa yang terpahat dalam undang-undang itu tidak terhakis. Ini kerana apa yang disebut mengenai Perlembagaan ialah, ia undang-undang organik yang boleh diubah serta bergantung dan berpunca kepada tatarajah politik.

Selain daripada itu, sistem monarki dan beperlembagaan tidak patut dijadikan alasan menyekat sumbangan Raja kepada negara. Melonjakkan kredibiliti sebagai Raja; mendekatkan diri dengan masalah rakyat serta meningkat taraf hidup rakyat adalah juga boleh ditakrifkan sebagai maksud tersirat dalam Raja Berperlembagaan.

Raja Berperlembagaan bukan hanya merujuk kepada Raja yang bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri semata-mata hatta dalam hal yang begitu jelas bermotifkan politik. Raja Berperlembagaan harus bijaksana mempastikan konsep perlembagaan ,terutamanya penyalahgunaan kuasa, dilaksana sepenuhnya.

Want More Story From Us?