Ibarat duri dalam daging, perpisahan Singapura daripada Malaysia

Malaysia dan Singapura, dua buah negara yang berasal daripada satu rumpun yang sama namun terpaksa berpisah kerana berbeza perfahaman ideologi politik.

Meskipun kini telah berpisah namun kedua-dua negara ini masih mempunyai hubungan yang baik dan saling bantu-membantu antara satu sama lain.

Pembentukan awal Malaysia

16 September 1963 adalah satu tarikh bermakna kerana sebuah negara yang dinamakan Malaysia telah dibentuk. Terdiri daripada 14 buah negeri termasuk Singapura, penyatuan ini membolehkan negeri selat itu akhirnya bebas daripada cengkaman kolonial British.

Singapura melihat gabungan dengan Malaysia sebagai langkah penting untuk memastikan kesinambungan wilayahnya berkembang maju memandangkan Singapura tiada sebarang sumber asli.

Lee Kuan Yew, seorang ahli politik berpengaruh di Singapura ketika itu, percaya bahawa gabungan tersebut dapat menghasilkan perdagangan yang lebih bebas dan luas untuk produk dan servis merka. Malah, gabungan ini juga akan menguatkan lagi perlindungan keselamatan dan ketenteraan Singapura, terutama dalam pertempuran melawan komunis.

Disebabkan ketakutan terhadap ancaman dan pengambilan Singapura oleh komunis, pemimpin utama Malaya ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj digesa untuk mempertimbangkan idea penggabungan Singapura dan Malaya, meskipun terdapat ketidakseimbangan kaum dalam entiti gabungan tersebut (Singapura majoriti kaum Cina, Malaya majoriti kaum Melayu).

Perbezaan ideologi membawa keretakan

Kegembiraan hasil gabungan tersebut hanyalah sementara apabila perbezaan ideologi politik membawa beberapa konflik.

Di Singapura, People’s Action Party (PAP) yang menerajui kerajaan negeri itu percaya bahawa semua bangsa adalah sama, tidak kira Melayu, Cina dan India. Mereka turut menggunakan slogan Malaysian Malaysia iaitu Malaysia untuk semua bangsa.

Lain pula ideologi bagi kerjaan persekutuan yang lebih mengutamakan agenda pro-Melayu, iaitu lebih mengutamakan penduduk asal Malaya, termasuklah Bumiputera yang lain.

Pelanggaran perjanjian

Hubungan Malaysia dan Singapura semakin terancam apabila kedua-duanya melanggar perjanjian untuk tidak menyertai dalam politik wilayah masing-masing.

United Malays National Organisation (UMNO), sebuah parti paling dominan di Malaysia ketika itu, melanggar perjanjian apabila terlibat dalam sebuah pilihan raya di Singapura pada tahun 1963, di bawah sepanduk Singapore Alliance Party.

Begitu juga dengan PAP yang melanggar perjanjian apabila menyertai Pilihan Raya Persekutuan di Malaysia tahun berikutnya dengan menghantar sebanyak sembilan orang wakil untuk bertanding bagi kerusi parlimen, namun hanya memenangi satu kerusi di Bangsar.

Imej dari: Iluminasi
Rusuhan tanda kritikal

Kedua-dua PAP dan UMNO mempromosikan ideologi masing-masing dalam politik, PAP dengan agenda Malaysian Malaysia dan UMNO dengan agenda pro-bumiputera.

Namun, penghapusan perkampungan Melayu di Singapura telah mengakibatkan beberapa pergaduhan berlaku. Pada bulan Julai 1964, kira-kira 114 persatuan orang Melayu telah bertemu dengan Othman Wok, Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura, untuk membincangkan kepincangan orang Melayu di Singapura.

Pada waktu yang sama, sebanyak 12 ribu orang Melayu sedang mengadakan perarakan untuk merayakan Maulidur Rasul di jalan-jalan raya Singapura yang kemudiannya, tercetus rusuhan kaum antara Melayu dengan Cina. Lebih 22 orang terbunuh, 200 cedera dan 1130 ditangkap. Sekali lagi, pergaduhan berlaku pada September 1964, mengakibatkan lapan terbunuh dan 60 cedera.

Para ekstremis disalahkan kerana telah menyebar khabar angin yang menyebabkan ketegangan antara kaum sehingga berlaku insiden sebegitu.

Manakala PAP adalah antara penggerak utama Melayu dalam persidangan solidariti yang berlangsung pada Mei 1965, yang dilihat oleh kebanyakan ahli UMNO sebagai konspirasi bimbingan kaum Cina untuk mencabar hak istimewa kaum Bumiputera menerusi sebuah perancangan menentang kerajaan persekutuan.

Imej dari: Iluminasi
Perpisahan adalah caranya

Melihat keadaan semakin kritikal, Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Pertama Malaysia, yakin bahawa perpisahan dengan Singapura adalah satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah perbezaan ideologi tanpa sebarang tumpahan darah dan juga mengelakkan rusuhan kaum yang lebih dahsyat.

Pengumuman perpisahan telah dibuat secara langsung pada 9 Ogos 1965, yang mana Tunku Abdul Rahman berkata:

“Kadangkala, terdapat perbezaan pendapat antara kerajaan pusat dengan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri Singapura, dan perbezaan ini datang dalam pelbagai bentuk, dan sudah banyak kali ianya gagal untuk diselesaikan. Jadi, kami membuat keputusan bahawa kita (Malaysia dan Singapura) perlu berpisah.”

Selepas perpisahan dengan Malaysia, Lee Kuan Yew dalam sebuah temuduga berkata:

“Setiap kali kita melihat kembali, kepada ketika di mana menandatangani perjanjian ini yang memutuskan Singapura daripada Malaysia, ianya menjadi sebuah waktu kesedihan, bagi saya ianya adalah waktu kesedihan kerana sepanjang hidup saya, saya sentiasa percaya akan gabungan dan perpaduan kedua-dua wilayah ini.”

Lee Kuan Yew dan Tunku Abdul Rahman
Imej dari: Iluminasi

Dalam sekelip mata, segala usaha untuk menubuhkan sebuah negara Malaysia yang bersatu sudah lebur dan semua ini berlaku kerana berbeza fahaman politik. Kini, Malaysia dan Singapura adalah dua buah negara tersendiri yang masing-masing sedang berusaha untuk berkembang lebih maju di persada dunia.

Meskipun Singapura sudah tidak bersama Malaysia, tarikh 16 September tetap adalah tarikh penting untuk negara kerana pada tarikh itulah, wujudnya sebuah negara bernama Malaysia. Disebabkan oleh itu, setiap tahun negara akan menyambut Hari Malaysia pada 16 September untuk memperingati hari bersejarah itu.

Want More Story From Us?