Harmoni di bawah satu bumbung

Rumah panjang Iban dan suku kaum yang lain di Sarawak telah menjadi identiti mereka, apatah lagi dengan ciri-ciri binaannya yang unik serta keistimewaan rutin harian di bawah bumbung yang sama.

Di kampung-kampung orang Melayu, identiti masyarakat yang tinggal jauh dari bandar dicerminkan melalui reka bentuk rumah tradisional atau rumah adat. Malah rumah-rumah kayu tradisional ini masih biasa terlihat dalam drama-drama di kaca TV, terutama apabila kisahnya berlatarkan suasana kampung.

Tetapi di Sarawak, suku kaum Iban menghuni struktur tinggalan tradisi turun-temurun mereka iaitu rumah panjang. Bukan sahaja Iban, tetapi kaum Melanau, Orang Ulu, dan Bidayuh juga menetap di rumah panjang dan setiap satunya mempunyai keunikan tersendiri.

Rumah panjang Iban jauh di pedalaman.
Imej dari: Borders of Adventure
Ciri-ciri istimewa rumah panjang

Rumah panjang terdiri daripada deretan berpuluh-puluh rumah kelamin (rumah yang dihuni sesebuah keluarga atau pasangan berkahwin). Sebuah rumah mampu menampung antara 200 hingga 800 penghuni.

Rujukan rumah panjang.
Imej dari: Delta-Ilmu
Terdapat sedikit perbezaan antara rumah panjang Iban dan Bidayuh.

Di rumah panjang Iban, sudut ruang dalam setiap rumah panjang dibahagikan kepada tiga; tanju (serambi atau beranda terbuka), ruai (ruang terbuka), dan bilik yang boleh memuatkan antara 20 hingga 80 buah keluarga.

Sementara itu, bahagian di atas bilik dan ruai dipanggil sadau (peran) – tempat untuk anak dara tidur juga untuk menyimpan bijian dan perkakas.

Dinding rumah diperbuat daripada kulit kayu seperti terentang atau buluh yang dikelar, bumbung dibina menggunakan daun rumbia dan jenis daun tebal, tangganya daripada sebatang kayu bulat yang ditakik, dan tiangnya teguh berdiri kerana diperbuat daripada kayu belian dari Kepulauan Borneo yang tidak mudah reput.

Bilik utama menyimpan barang berharga kaum Bidayuh

Manakala di rumah panjang Bidayuh pula, tiga bahagian yang ada termasuklah bilik utama, awah, dan tanju. Bilik utama ialah tempat di mana para penghuninya menyimpan barang peribadi milik keluarga dan keturunan mereka seperti gong, tempayan, dan tembikar. Selain itu, bilik utama ini juga digunakan sebagai tempat tidur apabila malam tiba.

Rumah panjang Bidayuh.
Imej dari: kujie2.com

Awah merujuk kepada bahagian pelantar di luar rumah yang biasanya beratap. Di sinilah tempat suku kaum Bidayuh menjalankan aktiviti harian mereka seperti menganyam, berbual, dan bertani, serta mengadakan upacara perkahwinan, pesta, dan pantang-larang.

Akhir sekali, tanju berfungsi sebagai tempat menjemur hasil tuaian seperti lada, padi, dan jagung.

Tuai Rumah menerajui rumah panjang

Setiap rumah panjang mempunyai seorang ketua, atau lebih dikenali sebagai Tuai Rumah. Tuai Rumah ini dipilih berdasarkan beberapa kriteria, antaranya kualiti kepimpinan dan pencapaian dalam hidup.

Pada zaman dahulu, Tuai Rumah dipilih dan dilantik kerana keberaniannya yang diserlahkan melalui kemahiran sebagai headhunter (pemburu kepala) serta jumlah tengkorak yang berjaya diburu.

Gelaran Tuai Rumah lazimnya diwarisi oleh anak lelaki dari generasi Tuai Rumah yang berikutnya, kecualilah anak lelaki tersebut tidak mempunyai kelayakan yang sama seperti bapanya. Jika ini berlaku, maka jawatan Tuai Rumah akan diserahkan kepada ahli keluarga yang lain seperti bapa saudara atau sepupu yang lebih layak untuk memimpin.

Tarian tradisi Ngajat memeriahkan rumah panjang

Di samping hidup harmoni di bawah satu bumbung, rumah panjang juga sentiasa meriah dengan pesta-pesta yang disambut oleh suku kaum di Sarawak. Misalnya, komuniti Iban mengadakan pesta tarian tradisi Ngajat, sama ada Ngajat Ngelalu Pengabang (Welcoming Dance) atau pun Ngajat Bujang Berani (Warrior Dance).

Mereka menari dalam pakaian kostum tradisi – yang lelaki mengenakan sirat, gagung, atau baju burung, manakala yang perempuan memakai sugu tinggi (hiasan kepala), rawai tinggi di dada, kain tenun di pinggang, gelang tangan dan kaki, dan anting-anting.

Pesta tarian ini bertambah meriah jika ada tetamu datang dan meraikannya bersama-sama.

Memastikan tradisi rumah panjang terus terpelihara

Hari ini, kewujudan rumah panjang di Sarawak diselarikan dengan usaha untuk menarik pelancong-pelancong dari luar negeri dan negara untuk datang menziarah. Oleh itu, sesiapa sahaja kini boleh merasai kehidupan sebenar masyarakat asli yang tinggal di pedalaman dengan bermalam di rumah panjang bersama penghuni-penghuni yang lain.

Orang Iban sukakan tetamu yang datang ke rumah mereka, bahkan lebih dari senang hati untuk berkongsi tradisi hidup mereka agar ia terus segar untuk banyak lagi generasi yang mendatang.

Want More Story From Us?