Rakyat Malaysia dengan makanan memang tidak boleh dipisahkan ibarat isi dengan kuku. Tidak dapat dinafikan bahawa makanan telah menjadi simbol sinonim dengan negara kita.
Namun pada masa kini, makanan terutama sekali makanan tradisional boleh diibaratkan sudah di telan zaman. Rata-rata generasi pada masa kini sudah tidak tahu betapa tinggi nilai komersial sejenis makanan tradisional.
Setiap negeri mempunyai keunikkan makanan tradisionalnya sendiri. Begitu juga dengan Pahang yang cukup terkenal dengan salah satu makanan tradisi penduduk kampung iaitu gulai asam rong.
Asal Usul
Asal usul perkataan asam rong ini adalah daripada perkataan isirong yang merujuk kepada bahagian isi dalam buah. Manakala, asam pula digunakan kerana kaedah penyimpanan dan pembuatannya hampir sama dengan asam yang lain.
Gulai ini dahulunya sangat popular di Ulu Tembeling, Jerantut, Pahang kerana penduduk di sana yang menyumbangkan kepada kewujudan masakan tersebut. Kemudian gulai ini mula popular di daerah lain sepert Raub, Maran,Kuala Lipis serta Kuantan.
Bahan utama gulai ini adalah biji getah serta sayur-sayuran yang hanya boleh di dapatkan di kawasan kampung sahaja.
Pada asalnya, gulai ini menggunakan buah perah namun ianya sukar dicari dan digantikan dengan biji getah yang lebih mudah didapati. Biji getah juga menjadi sumber pendapatan di mana rata-rata penduduk sana menanam pokok tersebut.
Cara Memproses
Gulai ini mempunyai cara proses yang tersendiri yang mana membuatkan gulai ini lebih unik serta sedap, bak kata orang Pahang ‘popaleh sedap weh’.
Terlebih dahulu, biji getah ini akan dikutip lalu akan dipecahkan dan isinya dikumpul serta akan dijemur di tengah panas.
Proses penjemuran tersebut memakan masa tiga sehigga tujuh hari bergantung kepada keadaan kekeringannya dan setelah kering isinya, akan ditumbuk tetapi tidak terlu halus untuk dijadikan kuah seperti kuah kacang.
Tetapi isi tersebut perlu diperam terlebih dahulu di dalam bekas yang perlu ditutup rapat dan setelah itu barulah ianya sedia untuk dimasak.
Kebiasaanya, asam rong tersebut mampu bertahan sehingga berbulan-bulan lamanya walaupun tidak di simpan di dalam peti sejuk atau sejuk beku.
Pelengkap Gulai Asam Rong
Ramai yang menyangka bahawa juadah ini hanya berasakan sayur sahaja tetapi kenyataan tersebut ternyata meleset kerana ianya boleh di padankan dengna apa-apa sahaja sumber protein seperti ikan,sayur ataupun daging.
Kebiasaanya penduduk kampung akan menggunakan ikan sungai seperti ikan baung, patin,kenerak dan lain-lain. Oleh sebab itulah ianya digelarkan sebagai gulai asam rong.
Namun masyarakat kini lebih gemar memadankan gulai tersebut dengan ayam mahupun daging kerana ikan-ikan sungai tersebut sukar didapati dan lebih mahal berbanding daging serta ayam.
Keunikkan Rasa
Setiap orang mempunyai cita rasa yang berbeza, bagi yang menyukai makanan tradisional terutama sekali masakan kampung sudah pasti akan jatuh cinta dengan keunikkan serta keenakkan rasa gulai ini.
Penggunaan biji getah sebagai bahan utama dalam juadah ini membuatkan gulai ini amat berlainan dengan juadah yang berasaskan asam seperti asam pedas dan masak asam.
Bagi yang menggemari gulai ini, bau yang ‘umphh’ sudah cukup memberikan selera makan yang luar biasa kepada penggemarnya.
Gulai ini sememangnya sudah menjadi ikon makanan tradisional negeri Pahang kerana gulai ini memang wajib ada di dapur rumah terutama bagi penduduk Ulu Tembeling.
Gulai ini juga sering dijadikan juadah utama ketika penduduk membuat majlis seperti kenduri kesyukuran serta kenduri kahwin.
Jikalau rakyat negara lain bangga dengan makanan mereka, rakyat Pahang juga boleh berbangga dengan makanan tradisionalnya yang tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas.
Jika teringin hendak merasa juadah ini, bolehlah berkunjung ke negeri Tok Gajah dan mempunyai penggalaman merasa gulai yang tersedap ini.