Sarawak Bumi Kenyalang – sebaris nama yang meniti bibir sesiapa sahaja yang mengenali Sarawak dengan keunikan budayanya.
Burung Enggang Kenyalang telah dimeterai sebagai lambang negeri Sarawak serta menjadi kebanggaan seluruh penduduknya sejak sekian lama. Gelaran Burung Kenyalang dipetik daripada nama saintifiknya Buceros Rhinoceros atau Rhinoceros Hornbill, dan ia merupakan antara lapan spesis burung enggang yang boleh dijumpai di serata Sarawak, sekali gus menjulang Sarawak sebagai Negeri Bumi Kenyalang (Land of the Hornbills).
Pada tahun 1998, Burung Kenyalang diklasifikasikan sebagai spesis haiwan yang terlindung, sesuai dengan sifat semula jadi penduduk Sarawak yang amat mementingkan kehijauan alam sekitar. Saiz seekor Burung Kenyalang dewasa mampu mencecah purata 91-122 cm dan berat sekitar 2-3 kg. Ia mampu hidup sehingga 90 tahun lamanya.
Burung Kenyalang mempunyai ciri-ciri tersendiri, dan kehadirannya di Sarawak banyak mempengaruhi cerita-cerita rakyat dan kepercayaan di masa lalu.
Hikayat Ketupong dan Inchin Temaga
Kehadiran Burung Kenyalang di bumi Sarawak sering dikaitkan dengan kisah-kisah dongeng masa lampau yang masih dipercayai oleh sesetengah masyarakat kini. Antara hikayat legenda yang berkisahkan Kenyalang yang digelar burung suci dalam kalangan etnik Iban adalah tentang seorang pemuda bernama Ketupong yang bertemu Inchin Temaga, seorang dewi dalam jelmaan burung enggang dari kayangan.
Pada suatu hari, Ketupong yang handal berburu masuk ke hutan untuk berburu. Setelah menyumpit seekor burung enggang, beliau pergi memeriksa tetapi yang dijumpai adalah seorang perempuan dalam kesakitan. Menurut legenda ini, Ketupong akhirnya menikahi perempuan yang bernama Inchin ini, tanpa sedar bahawa Inchin adalah anak perempuan kepada Dewa Singalang Burong yang berasal dari kayangan.
Setelah Inchin kembali ke kayangan dengan izin Ketupong untuk menziarahi ayahanda yang dirindui, beliau tidak lagi pulang ke bumi. Sehinggalah Ketupong memakaikan dirinya dan anak lelaki mereka dengan pakaian yang ditinggalkan Inchin, pakaian itu menukar diri mereka kepada dua ekor burung enggang dan membawa mereka berdua naik ke kayangan.
Walaupun pertemuan kedua itu penuh dengan kegembiraan, Ketupong diminta kembali ke pangkuan keluarga tanpa anak lelakinya, bersama janji Dewa Singalang Burong yang akan turun ke bumi untuk membantu sekiranya masyarakat Iban berdepan dengan masalah hidup.
Janji itu dipegang dan ditunaikan Dewa Singalang Burong, malah dipuja masyarakat Iban sebagai penjaga dan pemberi semangat kepada mereka. Dewa Singalang Burong juga dianggap sebagai dewa paling berkuasa, dewa perang, dan asas kepada semua adat. Jadi tidak hairanlah sekiranya Burung Kenyalang menjadi simbol kebanggaan dan kekuatan rakyat Sarawak.
Kuasa luar biasa si Kenyalang
Selain menjadikan Burung Kenyalang sebagai lambang penghormatan masyarakat Iban kepada alam semula jadi, kehadiran burung ini juga ditafsirkan dengan pelbagai kepercayaan. Sebagai masyarakat yang pernah mengamalkan kepercayaan animisme, mereka yang berketurunan Iban banyak melakukan upacara memuja, misalnya Gawai Kenyalang.
Ketika Gawai Kenyalang diadakan, patung Burung Kenyalang dijampi supaya kuasa-kuasa luar biasa masuk ke dalam patung tersebut serta menjemput dewa-dewi alam ghaib untuk menyertai upacara itu. Ia dilakukan untuk mencari keberkatan serta melindungi penghuni-penghuni ruai rumah panjang daripada bahaya.
Selain dipuja untuk mendapat keberkatan, masyarakat Iban juga menggunakan legaran burung sebagai petanda yang mesti dihormati kerana tindak-tanduk penghuni rumah panjang dipengaruhi oleh semua perlakuan burung, seperti bunyi, cara legaran penerbangan, dan pergerakan-pergerakan.
Kebergantungan hidup masyarakat kepada Burung Kenyalang ternyata sangat utuh, tetapi peredaran zaman telah banyak mengubah cara hidup masyarakat pada hari ini. Patung Burung Kenyalang tidak lagi dipuja ketika Gawai Kenyalang, sebaliknya dibuat untuk tujuan perhiasan.
Secara ringkasnya, Burung Kenyalang bukan cuma dicintai rakyat Sarawak kerana fizikalnya yang menawan – pelindung kepalanya yang cantik berwarna oren kemerah-merahan, paruh berwarna putih serta ekor bulu putih yang dipisahkan oleh takuk hitam, tetapi juga kerana legenda-legenda unik yang mencerminkan keindahan budaya-budaya mereka.
Burung Kenyalang besar maknanya buat rakyat Sarawak, dan haruslah dipelihara selagi Sarawak mampu berdiri teguh mempertahankan identiti keindahan alam semula jadinya.