Dongeng penyeri selera Ramadan

Antara juadah yang mendapat perhatian pada bulan Ramadan sudah tentulah kuih-muih tradisional yang kebanyakannya mempunyai nama-nama yang sangat unik. Tetapi apa sebenarnya kisah di sebalik nama-nama ini?

Bulan Ramadan atau bulan puasa adalah bulan yang mulia bagi orang Islam dan juga seluruh rakyat Malaysia. Bulan ini juga didatangi dengan bazar Ramadan di mana pelbagai makanan dan kuih tradisional dijual bagi kesenangan umat Islam mencari juadah berbuka puasa.

Malaysia merupakan ‘syurga’ makanan, jadi sudah tentu bazar Ramadan menyediakan kuih-muih tradisional yang melazatkan. Malah, mereka yang bukan beragama Islam pun menggunakan kesempatan ini untuk mencari kuih-muih yang sukar ditemui pada hari-hari biasa.

Keunikan nama kuih-muih tradisional

Walaupun bazar Ramadan pada tahun ini beralih dari tapak jualan ke dalam talian, masih ramai peniaga yang aktif menjual kuih-muih yang divariasikan mengikut citarasa dan selera para pembeli.

Lebih menarik lagi, kuih-kuih ini juga mempunyai nama tersendiri yang sangat unik.

Dayang melompat, Sultan menikam

Lompat Tikam dikatakan berasal dari kerajaan Majapahit, Jawa Timur. Kuih ini dihasilkan untuk dipersembah kepada kerajaan Kelantan dalam satu upacara pada sekitar tahun 1700, namun berlaku satu insiden semasa majlis tersebut sedang berlangsung.

Dayang-dayang yang membawa dulang berisikan kuih ini berjalan dengan berhati-hati menuju ke Sultan yang berada di depan mereka. Malangnya, seorang dayang tersadung kakinya pada bendul di istana, lalu membuatkan sultan tersebut terkejut lalu menikam dayang yang jatuh menuju ke arah baginda.

Kuih Lompat Tikam.
Imej dari: Flickr/ MunirahMardi

Begitulah cerita bagaimana kuih ini mendapat nama ‘Lompat Tikam’ – seorang dayang melompat dan Sultan pula menikam. Kuih ini mempunyai dua lapisan, lapisan tepung bewarna hijau dan lapisan santan berwarna putih, sesuai dimakan dengan air nisan. Kuih ini sangat terkenal di Kelantan, Pahang, dan Terengganu.

Rupa gadis berseri-seri

Antara kuih yang paling terkenal sudah tentulah Seri muka, iaitu kuih bewarna hijau dan putih yang biasanya dijual dalam talam. Dikenali juga sebagai ‘Pulut Sekaya’ oleh orang Utara dan ‘Tok Haji Serban’ oleh orang Terengganu (cuma warnanya kadang-kadang coklat dan putih), kuih ini laris dijual lebih-lebih lagi pada bulan mulia ini.

Kuih Seri Muka.
Imej dari: Kalori Makanan

Seri Muka mempunyai kisah dongeng yang berkenaan dengan seorang gadis. Menurut kisah itu, muka seseorang gadis ini telah berseri-seri seperti cahaya matahari selepas memakan kuih ini, lalu ia dinamakan Seri Muka.

Selain rupa kuih ini yang berseri dan mampu menarik perhatian orang ramai, ia juga sedap untuk dimakan. Lapisan bawah iaitu pulut bewarna putih dan lapisan atas pula hijau kerana warna itu datang dari daun pandan, rasanya juga ialah pandan.

Demam makan laksa

Kuih yang berasal dari Terengganu ini mendapat permintaan yang tinggi terutama sekali pada bulan Ramadan. Namanya Che’ Abas Demam (Encik Abas Demam), yang dipetik daripada kisah seorang lelaki bernama Abas yang demam tetapi masih teringin makan laksa di sebuah kenduri.

Laksa dipercayai boleh memburukkan demam seseorang, oleh itu untuk tidak mengecewakan Abas, isterinya telah memasak sagu sebagai ganti laksa untuk dimakan bersama kuah laksa. Sejak itu, kuih unik ini diberi nama Che’ Abas Demam atau Pak Abas Demam.

Kuih Che’ Abas Demam.
Imej dari: deskgram/ saji.my

Banyak lagi kuih yang lain, contohnya Tepung Pelita, Badak Berendam, dan Puteri Mandi, dan setiap satunya pasti mempunyai kisah menarik yang jarang diterokai.

Jadi benarlah kata orang bahawa Malaysia dikurniakan dengan pelbagai jenis kuih-muih yang melazatkan dan mempunyai cerita tersendiri. Mereka yang ke bazar Ramadan atau melawat laman bazar Ramadan atas talian pasti rambang mata melihat kuih yang dijual untuk juadah berbuka puasa.

Selain mengekalkan kesedapan asalnya, para penjual juga harus mengekalkan tradisi ini supaya makanan tradisional tidak hilang ditelan zaman.

Want More Story From Us?