Disebalik Gelaran Untuk Raja

Istilah ke bawah Duli Yang Maha Mulia sering kedengaran dalam upacara-upacara diraja. Ia merupakan istilah yang diguna pakai secara khusus merujuk kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Seringkali rakyat mendengar penggunaan bahasa istana dalam menggelar raja atau Sultan. Pelbagai persepektif yang sering berlegar dalam minda masyrakat mengenai konsep dan makna disebalik gelaran tersebut.

Raja sebagai bayangan Tuhan

Menurut laman web rasmi Mufti Wilayah Persekutuan, sultan atau pemerintah merupakan tonggak utama dalam sesebuah negara. Tanpa mereka, keadaan masyarakat di negara tersebut akan menjadi huru-hara kerana tidak ada orang yang bertanggungjawab untuk menguruskan.

Pernahkah terfikir mengapa gelaran zillullah fil Alam sering digunakan oleh raja-raja Melayu tidak mendapat tentangan daripada para ulama yang lebih muktabar pada zaman itu?

Hal ini demikian kerana terdapat hadis daripada Abi Bakrah RA, yang mendengar Rasulullah SAW bersabda:

“Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi barangsiapa yang memuliakan nya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya”

Namun, hadith tersebut adalah dhaif (tidak diketahui kesahihannya) dan makna hadith ini menunjukkan bahawa pemerintah mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding rakyat yang berada di bawahnya.

Tambahan pula, pemerintah atau sultan ini digambarkan sebagai bayangan Allah adalah diumpamakan pemerintah itu seperti tempat berteduh bagi orang yang mencari tempat untuk berteduh dan teduhan itu diumpamakan apabila pemerintah itu melaksana atau memerintah dengan adil. Selain itu juga, bayangan ini juga membawa maksud kemuliaan dan kekuasaan.

Duli bermaksud debu?

Menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkataan ‘duli‘ membawa maksud kaki, debu atau abu. Sementara itu, frasa ‘Maha Mulia’ pula merujuk kepada Allah SWT. Justeru, menurut penulis buku Empayar 2, yang popular dengan nama Teme Abdullah, istilah Duli Yang Maha Mulia bukanlah mengagungkan sultan setaraf tuhan, tetapi lebih kepada menggambarkan kedudukan seorang raja di sisi tuhan yang Maha Kuasa.

Namun ada yang berpendapat bahawa memang salah satu makna duli adalah debu tetapi makna utama adalah para raja itu sendiri, sebab itu ada gelar Duli Yang Teramat Mulia atau Duli Yang Amat Mulia. Disebut makna duli adalah debu tapi terlepas pandang makna duli yang asal adalah diri Raja itu sendiri.

Maha hanya untuk Allah?

Ramai orang berhujah ‘Maha’ hanya untuk Allah, syirik dipakai. Namun sebenarnya, Maha ini cerita Bahasa Melayu yang kemudian.

Gelar ‘Maha’ adalah penerusan kaedah terjemahan kekayaan Bahasa Melayu. Contohnya dalam Bahasa Arab hanya menyebut (قال) pada Allah, Rasul dan manusia lain. قال الله ، قال رسول الله ، قال المصنف. Akan tetapi dalam bahasa Melayu diterjemahkan firman bagi Allah, sabda bagi Rasul dan berkata bagi manusia.

Walhal diterjemahkan dari satu perkataan iaitu قال. Bahkan dalam Inggeris hanya ada ‘say’ atau ‘said’ untuk perkataan “kata”.

Gelar-gelar beraja Maha Mulia ini sudah terpakai sejak berabad di Kesultanan Nusantara dan tiada bantahan dari para ulama sejak dulu sebab mereka faham itu kaedah terjemahannya.

Maknanya, penggunaan ungkapan “Duli Yang Maha Mulia” kepada Sultan sememangnya tidak salah untuk digunakan kerana ianya adalah simbol ataupun lambang bahawa sultan-sultan adalah hamba ataupun khalifah kepada Allah di bumi untuk menjalankan hukum-hukum Allah.

Gelaran Seri Paduka Baginda

Menurut Kamus DBP, istilah paduka pula bermaksud alas kaki, kasut atau sepatu. Lagi sekali memetik penulis buku Empayar 2 itu, ‘Seri Paduka Baginda’ melambangkan pengharapan agar sultan dapat menjadi ‘penyeri sepatu Rasulullah S.A.W’ dengan memerintah secara adil dan saksama.

Maka, gabungan ayat yang merujuk kepada gelaran Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda adalah bermaksud ‘Sebutir Habuk Tuhan Dari Cahaya Capal Nabi’. 

Begitulah berseninya ketamadunan Melayu dalam menyampaikan laras bahasa. Maka sebagai generasi baru hari ini janganlah cepat melatah tanpa melakukan sebarang pengkajian usul periksa. Sesungguhnya ilmulah yang membezakan di antara mereka yang cerdik dengan mereka yang dangkal.

Want More Story From Us?