Para Sejarawan mempercayai bahawa Kota A Famosa di Melaka ini dibina dari batu bata Tanah Masjid Agung selepas mereka menakluki Melaka pada tahun 1511.
Selama 756 tahun kewujudannya, negeri ini ternyata menyimpan 1001 rahsia disebalik helaian sejarahnya. Kesultanan Melayu Melaka antara sejarah terpenting di dalam sejarah Melayu mahupun sejarah Islam sendiri.
Kota Melaka yang begitu masyhur hinggakan selat yang paling panjang di dunia ini dinamakan bersempena namanya. Kewujudan Kesultanan Melayu Melaka selama 249 tahun bermula dari 1262 sehingga 1511 sudah cukup membuktikan bahawa peradaban bangsa pernah ditegakkan diatas asas Islam sebagai pasak kedaulatan negara.
Kemasyhuran Kota Melaka
Sepanjang kurun ke-15, nama Melaka masyhur kerana peranannya seumpama Kota Venesia (Venice, Itali) di Timur. Sebagai sebuah kerajaan maritim Islam teragung pada zaman tersebut, pertumbuhan ekonomi Melaka mendapat sokongan padu daripada komuniti perdagangan Muslim khususnya daripada Arab, Parsi serta Turki Uthmaniyyah.
Ini kerana kedudukan strategik Melaka dikawasan perairan Selat Melaka yang merupakan laluan utama pedagang dari Timur ke Barat dan sebaliknya. Ia dikatakan Kota Melaka merupakan tempat tumpuan untuk berhimpun bukan sahaja para pedagang tetapi sesiapa sahaja dari seluruh dunia.
Kegemilangan dan kemasyhuran Melaka telah menarik perhatian kuasa Eropah untuk datang dan menakluki Kota Melaka. Raja Portugal Manuel I mengarahkan Diego Lopez de Sequiera merintis laluan ke Melaka ekoran penemuan laluan dari Lisbon ke pantai Malabar di benua kecil India oleh armada Vasco da Gama pada tahun 1498.
Penaklukan Portugis di Melaka
Kapal – kapal Portugis akhirnya tiba di perairan Selat Melaka pada 1509. Pada April 1511, Alfonso de Alburqueque memimpin armada 18 buah kapal perang dengan kekuatan sekitar 1000 anggota mara dari Gao, India menuju ke Selat Melaka.
Akhirnya pada 15 Ogos 1511, tersemat dalam lipatan sejarah bahawa Melaka kehilangan Masjid Agungnya setelah anak negeri bermandi darah setelah mempertahankannya. Masjid Agung tersebut dicatat dalam sejarah sebagai kubu pertahanan orang Islam untuk membalas serangan musuh.
Pembinaan Kota A Famosa
Kota A Famosa dibina sebaik sahaja Portugis berjaya menawan Melaka pada tahun 1511. A Famosa yang membawa makna ‘Yang Termasyhur’ dalam bahasa Portugis menggunakan buruh paksa untuk membina kota ini yang berfungsi sebagai kubu sementara bagi menangkis serangan daripada orang-orang Melayu.
Pembinaan kota A Famosa atas arahan segera Alfonso de Albuquerque mengambil masa lima bulan untuk dibina. Akibat suhu panas terik dan kekurangan makanan, ramai buruh paksa yang dikerah untuk membina kota ini meninggal dunia.
Pembinaan kota A Famosa ini sebagai persediaan bagi menghadapi serangan balas Sultan Melaka yang berundur. Ternyata kebimbangan Alfonso itu berasas kerana Sultan Melaka kembali mara cuba merampas semula ibu negerinya.
Dibina dari Batu Masjid dan Batu Nisan
Sinonim dengan reka bentuk sebuah masjid, Kota A Famosa jika dikaji dari segi reka bentuk bangunan sebenarnya mempunyai mihrab dan menghala ke arah kiblat. Catatan penulis Portugis banyak menceritakan tentang Masjid Agung Melaka yang mampu memuatkan 500 tentera Portugis untuk berehat selepas menawan Kota Melaka.
Selain batu – batu laterit yang diambil dari Pulau Upeh, batu – bata daripada masjid dan bangunan yang diruntuhkan serta batu – batu nisan di perkuburan digunakan bagi mendirikan tembok Kota A Famosa.
Pengurus Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) memberi penjelasan bahawa memang wujud Masjid Agung di zaman keagungan Kesultanan Melaka namun tapaknya bukan di pintu gerbang A Famosa atau dikenali sebagai Porta de Santiago.
Catatan sumber Portugis dan Melayu juga telah membuktikan bahawa Masjid Agung telah diruntuhkan dan dibakar oleh penjajah Portugis ketika menakluk Melaka pada 1511.
Sehingga kini kedudukan masjid itu masih menjadi tanda tanya dan ada yang mengatakan tinggalan gereja St Paul di atas bukit Melaka sebenarnya Masjid Agung ditempatkan.