Tarian Bharatanatyam ini adalah antara tarian klasik tradisional kaum India yang unik dan mampu memukau penontonnya.
Tarian klasik yang asalnya dari wilayah Tamil Nadu di bahagian Selatan India ini adalah antara seni tarian tertua yang terkenal kerana kelembutan dan penganjurannya.
Penciptaan Veda kelima permulaan Bharatanatyam
Tarian Bhataranatyam ini dikatakan telah wujud sejak 3,000 tahun yang lalu menurut Natya Shastra, iaitu disertasi tertua yang mengumpul catatan mengenai tarian. Menurut catatan tersebut, dewa-dewa dan dewi-dewi meminta Brahma (Pencipta mengikut kepercayaan Hindu) untuk membentuk satu lagi Veda yang boleh difahami, dilihat dan didengar oleh semua.
Permintaan mereka tertunai apabila Brahma mencipta Veda kelima, Natya Veda iaitu gabungan empat Veda yang sedia ada – Rig, Yajur, Sama dan Atharva Veda. Brahma menurunkan Veda kelima itu ke bumi melalui Sage Bharatha, yang menulisnya sebagai Natyashastra.
Setelah itu, Bharatha bersama-sama dengan kumpulan Gandharvas dan Apsaras mempersembahkan Natya, Nritta dan Nritya di hadapan Tuhan Shiva (Tuhan Tarian Ilahi). Disebabkan oleh itu, Natya adalah satu bentuk tarian klasik India yang unggul.
Asal usul namanya dari Tamil Nadu
Pada awalnya, tarian ini digelar dengan beberapa nama seperti Sadir, Chinnamelan dan Dasi Attam. Tarian ini asalnya daripada kuil Thanjavoor di Tamil Nadu yang sering dipersembahkan oleh devadasi iaitu wanita-wanita yang menumpukan seluruh kehidupan mereka kepada Tuhan. Dikatakan tarian ini adalah simbol kesetiaan kepada Tuhan mereka. Oleh itu, Bharatanatyam pernah digelar sebagai Dasi Attam.
Ia diberi nama Bharatanatyam kerana tarian ini mempunyai tiga elemen penting iaitu ekspresi (Bhava), melodi (Raga) dan ritma (Tala). Secara literalnya, Bharatanatyam ini bermaksud tarian India (Bharata). Ada juga mengatakan nama tarian ini adalah gabungan nama Bhartha dan Natyam (tarian).
Pernah dilarang oleh British
Suatu ketika dahulu, tarian Bharatanatyam ini pernah dilarang oleh koloni British kerana mereka menyangka bahawa tarian tersebut adalah sama seperti sistem devadasi yang dianggap menyokong pelacuran.
Asalnya, devadasi ini dirujuk kepada wanita yang mengabdikan diri mereka kepada Tuhan atau kuil sepanjang kehidupan mereka. Dedikasi ini boleh diibaratkan seperti perkahwinan. Tarian dan muzik adalah sebahagian perkara penting ketika penyembahan.
Seorang devadasi melakukan tarian itu dengan sepenuh jiwa secara bersendirian tanpa dilihat orang lain dan berserah diri kepada Tuhan. Walau bagaimanapun, raja-raja tempatan sering menjemput devadasi untuk menari di istana. Ini telah mewujudkan kategori penari yang digelar sebagai rajanarthaki yang bertujuan untuk hiburan semata-mata.
Wanita-wanita devadasi akan berkahwin dengan lelaki yang berharta atau pun raja dan akan meluangkan kebanyakan masa mereka untuk berlatih menari daripada melakukan kerja-kerja rumah. Kemudian, zuriat mereka juga akan diajar untuk menari bagi mengekalkan tradisi. Sistem devadasi ini sudah berkurun lamanya aktif di India tetapi apabila British datang menjajah, semuanya berubah.
Kedatangan British telah menyebabkan para reformis berusaha untuk melarang sistem devadasi atas dasar yang sistem tersebut menyokong pelacuran. British terus melarang sistem devadasi sekali gus dengan tarian Bharatanatyam kerana merasakan bahawa tarian itu juga termasuk dalam sistem devadasi.
Tetapi pada awal tahun 1900, Rukimini Devi, salah seorang ahli berpengaruh dalam keluarga Brahmin, mengkaji semula seni tarian tersebut dan bawanya semula ke pentas. Manakala sistem devadasi ini secara rasminya diharamkan pada tahun 1988.
Enam peringkat perlu dikuasai
Bagi seorang penari untuk mahir dalam tarian Bharatanatyam ini bukanlah mudah. Ia mengambil masa bertahun lamanya untuk seorang penari itu menguasai pelbagai pergerakan tangan, kaki dan mata.
Secara tradisinya, tarian ini adalah persembahan solo yang merangkumi enam peringkat – Alarippu, Jatiswaran, Sabdam, Varnam, Padam dan Thillana. Peringkat-peringkat tersebut menggabungkan dua elemen penting iaitu nritta (tarian tulen tanpa perasaan) dan nritya (tarian yang mempunyai perasan).
Kini, tarian klasik itu telah mengabungkan beberapa elemen moden seperti Tharanga Nritham dan Suddha Nritham. Apabila semua elemen tarian telah dikuasai sepenuhnya oleh penari, ketika persembahan, penari tersebut akan mempersembahkan Arangetram (debut).
Walaupun sudah beribu tahun lamanya, tarian klasik India ini masih dijadikan pilihan ramai untuk dipelajari kerana keunikannya yang mampu memukau mereka yang melihat.