Dari alam fizikal ke persemadian

Suku kaum Kadazan di Penampang, Sabah mengamalkan upacara pengebumian dengan penghormatan yang tinggi kepada si mati.

Dalam kehidupan kaum Kadazan di Penampang, Sabah, upacara pengebumian adalah istiadat yang ketiga terpenting. Mereka percaya bahawa selepas kematian, roh seseorang akan meninggalkan alam fizikal (physical world) dan memasuki tempat orang yang telah mati (land of the dead).

Tetapi rasa hormat kepada si mati masih ada, maka kerana itulah mereka mengamalkan ritual yang juga merupakan sebahagian daripada adat resam yang telah diwarisi sejak turun-temurun.

‘Bahu’ ditukar kepada keranda

Pada zaman dahulu, apabila seorang Tangaah Kadazan di Sabah meninggal dunia, upacara pertama yang perlu dilakukan ialah menutup tubuh si mati dengan kain yang dipanggil ‘bahu’. Dalam bahasa Tangaah Kadazan, ‘bahu’ bermaksud a place of the dead (tempat orang mati).

‘Bahu’ diletakkan di atas tubuh si mati dengan bentuk menyerupai sebuah gunung – Kinabahu atau Kinabalu – iaitu tempat di mana roh-roh yang telah mati bersemadi.

Tetapi praktis ini tidak lagi diamalkan pada hari ini. Sebaliknya, tubuh si mati akan diletakkan di dalam keranda tidak lama selepas kematian.

Berjaga selama tiga hari, tiga malam

Tubuh si mati yang telah diletakkan dalam keranda mestilah menghadap ambang pintu, arah timur, atau Gunung Kinabalu – bergantung kepada destinasi dan tempat persemadian abadi si mati. Sebelum pengebumian, keluarga dan saudara-mara si mati akan berkumpul dan berjaga selama tiga hari dan tiga malam.

Sebelum si mati dikebumikan, barang-barang peribadi kepunyaan si mati akan dikumpul dan diletakkan dekat dengannya, sebagai simbol perjalanan yang bakal dilalui oleh si mati, bermula dari alam fizikal ke alam berikutnya (afterlife).

Tempoh tujuh hari selepas pengebumian dipanggil fasa berkabung (mourning). Tempat di mana keranda si mati diletakkan di dalam rumah dianggap suci dan digunakan sebagai tempat ritual, di mana ahli keluarga dan sahabat-handai akan berdoa untuk si mati – sama ada yang baru dikebumikan sahaja atau juga mereka yang telah lama pergi.

Pengamal tradisional mengamalkan penawaran makanan dan minuman

Makanan dan minuman diletakkan di atas sebuah meja kecil dekat dengan kepala si mati sebagai pemberian (offering) kepada si mati. Mereka yang beragama Kristian pula meletakkan gambar si mati dan simbol salib (crucifix).

Di samping itu, semua gambar yang ada berdekatan tubuh si mati akan dihadapkan ke dinding untuk menghalang roh-roh jahat daripada mengecam wajah mereka yang ada dalam gambar seterusnya mengapa-apakan mereka. Ini kerana terdapat kepercayaan bahawa roh-roh, sama ada jahat mahu pun baik, sedang menjaga si mati sepanjang tempoh upacara pengebumian dijalankan.

Agama Kristian menolak beberapa tradisi

Ramai mereka dari suku kaum Kadazan telah menganut agama Kristian sejak berdekad-dekad lalu, oleh itu beberapa tradisi turun-temurun yang diamalkan ditolak demi menghormati agama. Antaranya, menyertai upacara yang melibatkan pemujaan roh-roh.

Jika mengikut tradisi Kadazan, pasangan si mati haruslah menuruti beberapa pantang-larang. Sebagai contoh, seorang isteri yang kematian suaminya perlu berjaga di sebelah tubuh suaminya dan tidak dibenarkan meninggalkan rumah atau pergi melawat sesiapa pun sebelum upacara pengebumian selesai.

Pun begitu, dengan campur tangan agama dan kelonggaran yang dibenarkan sesetengah keluarga, ramai yang telah mengabaikan pantang-larang dan kepercayaan yang telah lama diamalkan ini.

Tradisi setiap etnik semestinya kaya dengan nilai-nilai identiti. Justeru, ramai mereka yang berketurunan Kadazan pada hari ini terutamanya mereka yang menetap di kawasan kampung telah menemui jalan untuk terus mempraktikkan tuntutan agama tanpa melupakan adat resam tinggalan nenek moyang mereka.

Want More Story From Us?