BURASAK: MAKANAN TRADISI KAUM BUGIS

Malaysia merupakan sebuah negara harmoni yang mempunyai pelbagai kaum dengan warisan dan keunikkan yang tersendiri.

Salah satu kaum yang tidak asing lagi adalah kaum Bugis yang terdapat di Sabah, Sarawak malah di Semenanjung seperti Johor dan Terengganu. Jika dipersoalkan apakah perkara yang mampu menyatukan semua kaum, jawapannya sudah tentu makanan.

Kaum Bugis juga memiliki makanan tradisional mereka yang tersendiri. Bukan sahaja digemari oleh kaum Bugis, burasak juga digemari oleh kaum – kaum lain.  Ini kerana keunikkan rasa dan kombinasi lauk-pauk yang dihidangkan bersama mampu membuatkan sesiapa sahaja yang merasainya terus menggemarinya.

Asal Usul

Tidak dapat diketahui asal usul burasak, namun ianya dipercayai berasal daripada Indonesia. Ia merupakan makan istimewa Bugis dan Makasar di sana. Burasak juga dijadikan makanan utama untuk menggantikan nasi atau ketupat. Apa yang menarik, burasak bukan sahaja dimakan bersama satu lauk namun ianya boleh dimakan dengan pelbagai jenis lauk atau begitu sahaja!

Tidak lengkap sesebuah perayaan atau majlis istimewa tanpa terhidangnya burasak atau turut dikenali sebagai “Buras”. Burasak berasakan beras dan santan. Tempoh untuk menyediakan burasak ini juga mengambil masa yang lama namun prosesnya tidak merumitkan.

Cara Penyediaan

Untuk menghasilkan tekstur burasak yang lembut dan tahan lebih lama, ianya harus direbus antara tujuh hingga sepuluh jam. Burasak dibungkus menggunakan daun pisang namun daun pisang nipah sahaja yang disarankan. Bukan tidak boleh menggunakan daun pisang yang lain tetapi dikhuatiri nasi akan menjadi pahit.

Daun pisang pula harus dipilih di bahagian pucuknya atau paling muda. Daun pisang yang tua tidak boleh digunakan kerana keras dan mudah koyak. Ia juga mempunyai teknik ikatannya yang tersendiri. Ini bagi mengelakkan burasak tersebut terburai semasa direbus.

Burasak yang telah diikat
Imej dari: Facebook

Proses penyediaannya tidak begitu sukar. Beras dan santan perlu dimasak dahulu sehingga separuh masak sebelum ia dibungkus menggunakan daun pisang. Selepas itu, burasak diikat dan sedia untuk direbus.

Jika diteliti cara masakan hidangan bagi kaum Bugis ini, kebanyakannya hampir kesemua juadah utamanya mengambil masa yang lama untuk dimasak. Ini kerana untuk memastikan makanan tersebut mampu bertahan dengan lebih lama. Menurut sejarahnya, makanan yang tahan lama berasal dari Kepulauan Sulawesi ini sering menjadi pilihan pedagang Bugis sebagai bekalan pelayaran.

Pelengkap Burasak

Secara tradisinya, burasak dihidang bersama nasu metti atau asam pedas ikan parang. Ia juga boleh dimakan dengan lauk yang lain seperti ayam lingkuas, rendang, serunding kelapa,ayam atau daging mahupun bersama sambal udang atau ayam.

Burasak dihidang bersama asam pedas ikan parang dan serunding kelapa.
Imej dari : Facebook

Burasak tidak jauh beza seperti ketupat dan lontong, tetapi rasanya lebih berlemak kerana campuran santan yang ada di dalam burasak. Oleh itu, ia juga boleh dimakan begitu sahaja.

Want More Story From Us?